KONGRES PKR 2019: ANWAR BERJIWA KERTAS, AZMIN BERHATI TISU

259
SHARES
702
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Kongres PKR yang berakhir tengahari tadi pastinya menimbulkan seribu satu persoalan. Kongres 2019 kelihatan telah berakhir namun hakikatnya ia adalah satu permulaan keretakan dalam PKR secara terbuka. Seolah-olah mahu membalas dendam, kumpulan pro Azmin akan bertemu atas nama majlis makan malam untuk berucap dan berbahas. Ini lantaran hak mereka sebagai perwakilan dinafikan oleh kumpulan pro Anwar seperti yang didakwa.

2. Tentunya makan malam ini bakal dihiasi dengan ucapan-ucapan menghentam Anwar yang dikatakan gagal menunaikan janji-janji untuk mengelakkan terjadi dua kongres berasingan pada tarikh yang sama. Kumpulan pro Azmin nampaknya berdendam apabila menerima layanan ‘kelas tiga’ walaupun mereka hadir sebagai perwakilan yang sah semasa kongres tersebut. 

3. Sama ada Anwar atau Azmin, tentunya mereka berdua tahu ‘game‘ apa yang mahu mereka mainkan. Apabila Azmin mahu mengadakan kongres berasingan di Kuala Lumpur, beliau tahu apa yang mahu ditawarkan (bargain) dengan cadangan itu. Begitu juga Anwar, apabila beliau mengajak Azmin berbincang konon atas nama perdamaian, Anwar tahu buah catur mana yang mahu digerakkan dan ke arah mana mahu digerakkan.

4. Masing-masing ada strategi biarpun terpaksa senyum, gelak, menutup muka dan sebagainya di hadapan kamera. Kedua-dua mereka berlakon dengan baik walaupun kita telah menjangkakan ia adalah ‘drama’ mahu memerangkap satu sama lain. Anwar mungkin mahu Azmin hadir ke kongres di Melaka dan memulakan serangan ke atas Azmin secara berhadapan. 

5. Azmin juga mungkin tahu risiko jika beliau hadir ke kongres tersebut setelah sekian lama tidak hadir mesyuarat-mesyuarat utama PKR. Namun Azmin perlu hadir memulakan gerakan memalukan Anwar dari dalam. Masing-masing dengan strategi licik untuk menjatuh dan memalukan satu sama lain. 

Yang menjadi buah catur dalam permainan ini adalah penyokong masing-masing. Para penyokong diatur gerak mengikut tujuan Anwar dan Azmin. Penyokong yang diupah atau benar-benar menyokong menjadi mangsa dalam percaturan ini. Merekalah yang bergaduh hingga berdarah, kejar-mengejar dan memaki hamun sesama sendiri.

6. Pemimpin jenis apa yang memperalatkan penyokong mereka sedemikian rupa. Mereka ini pemimpin oportunis, mengambil kesempatan atas ketaksuban penyokong. Demi mahu menjadi Perdana Menteri, penyokong dan rakyat dimanipulasi. Tidak kedengaran isu-isu berorientasikan rakyat dibincangkan dengan serius. Kenaikan harga barang, keadaan ekonomi tidak menentu dan isu rakyat yang lain hanya menjadi ‘picisan’ semasa kongres tersebut. 

7. Tidak mahu ekstrim, namun ada yang menganggap kongres PKR 2019 seperti ‘pesta badut’, mempamerkan kebodohan masing-masing demi menarik perhatian. Sepatutnya pada usia 20 tahun penubuhan parti, pemimpin dan penyokong PKR lebih matang. Namun keadaannya terbalik bagi PKR. PKR dilihat seperti parti ‘barbarian‘, ganas dan tidak bertamadun.

8. PKR sebenarnya semakin menuju arah ‘parti kian rapuh’. Seumpama dua pemimpin utama mereka, Anwar yang berjiwa kertas dan Azmin yang berhati tisu. Kedua-duanya nipis dan senang koyak. Perangai merajuk dan bergaduh umpama kanak-kanak bawah umur walaupun masing-masing dah bercucu. 

Walaupun PKR sebagai pemegang kerusi Parlimen terbanyak dalam PH, tiada jaminan PKR akan kekal selamanya begitu. Sampah-sampah yang mereka sapu ke bawah karpet semakin meninggi. Sampah busuk itu hanya menunggu masa sahaja untuk melimpah keluar. Mungkin sudah tidak lama..

Kita nantikan hasil dapatan perhimpunan ‘Majlis Makan Malam’ kumpulan pro Azmin nanti…

(Dipetik dari blog “Anuar Shaari Menulis“)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts