ASASI PERTIKAI KENAPA PPSMI INGIN DILAKSANAKAN KEMBALI

216
SHARES
688
VIEWS

KENYATAAN MEDIA AKADEMI SAINS ISLAM MALAYSIA (ASASI) 

31 Januari 2020

Akademi Sains Islam Malaysia ingin melahirkan rasa terkejut dan kecewa yang amat sangat terhadap kenyataan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan Malaysia tentang pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pada satu sesi mesyuarat tertutup dengan pegawai-pegawai KPM pada hari Khamis 30 Januari 2020.

Mengapa sekarang setelah melantik dirinya Menteri Pelajaran, YAB Tun masih berdegil untuk melaksanakan semula PPSMI walaupun PPSMI 2003-2009 (-2012) telah gagal?

Kami menolak alasan “Sains dan Matematik datang dari luar…… melalui medium Bahasa Inggeris” yang didakwa oleh YAB Tun untuk melaksanakan semula PPSMI.

Sains dan matematik telah diajar dalam Bahasa Melayu sejak tahun 70-an dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

Kami juga menolak alasan YAB Tun PPSMI “tidak akan mengelirukan rakyat” tetapi sebaliknya kami yakin PPSMI akan mengelirukan murid dalam memahami Sains dan Matenatik.

Kami juga menolak dengan tegas pandangan YAB Perdana Menteri bahawa “mereka yang belajar Sains dalam Bahasa Melayu sukar untuk mendapatkan pekerjaan di tempat Bahasa Inggeris digunakan”.

Menurut Laporan Bank Negara Malaysia 2018, pengangguran graduan bukan kerana kemahiran Bahasa Inggeris tetapi kerana jumlah graduan jauh melebihi jumlah pekerjaan yang ditawarkan oleh kedua-dua industri dan kerajaan.

Sepatutnya adalah tugas YAB Tun Mahathir untuk mencipta lebih banyak pekerjaan untuk para graduan dan belia yang menganggur dengan mengurangkan pengambilan pekerja asing dan mewajibkan semua projek mega mengambil lebih banyak pekerja Malaysia.

Kami ingin mengingatkan YAB Tun Mahathir bahawa tindakannya memaksa KPM menjalankan PPSMI pada 2003-2012 telah merosakkan masa depan hampir 3 juta murid.

Kegagalan PPSMI 2003-2009 (-2012) telah terbukti dalam ujian antarabangsa TIMSS dan PISA.

Prestasi murid Malaysia dalam TIMSS berada di atas Purata Dunia pada 1999 dan 2003, tetapi ia telah menjunam hampir 100 mata ke bawah purata dunia pada 2007, 2011 dan 2015.

Prestasi pada 2015 naik sedikit kerana PPSMI sudah dimansuhkan pada 2012.

Malaysia berhenti masuk TIMSS dan beralih kepada PISA sejak 2009.

Prestasi PISA pada 2009, 2012, 2015 dan 2018 masih di bawah Purata Dunia walaupun Malaysia memilih murid-murid DLP BI untuk menduduki ujian PISA.

Prestasi murid-murid PPSMI dan DLP BI dalam BI dan Sains serta Matematik tidak meningkat tetapi menjunam di bawah Purata Dunia.

Prestasi mereka dalam TIMSS dan PISA jauh di bawah berbanding dengan prestasi pelajar Vietnam yang belajar dalam bahasa Vietnam, yang jauh lebih tinggi.

Kami hairan mengapa Tun Mahathir ingin mengulang PPSMI yang terbukti gagal dalam ujian antarabangsa TIMSS dan PISA?

Akademi Sains Islam menggesa YAB Tun Mahathir segera menarik balik dasar pengulangan semula PPSMI ini demi masa depan anak-anak kita.

Prof. Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud

Presiden

Akademi Sains Islam Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts