1. Kronologi kerjasama Tun Mahathir selepas keluar UMNO
2016 – Bekerjasama dengan DAP dan PKR bagi menjatuhkan Barisan Nasional dalam PRU-14
2018 – Bekerjasama bersama DAP dan PKR mewujudkan kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi PRU-14
2020 – Berkemungkinan bekerjasama dengan UMNO dan PAS bagi mewujudkan Kerajaan Perpaduan
2. Antara tujuan kerjasama yang popular
Masyarakat terbahagi dua antara menerima atau bersikap skeptikal dengan keikhlasan pelawaan Tun Mahathir untuk bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan.
Antara tujuan kerjasama yang paling popular dikemukakan ialah;
i. Mengelakkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan
ii. Menyelamatkan keluarga dan kroni beliau daripada apa jua tindakan selepas ketiadaannya, yang ada hubungi kait dengan tujuan pertama di atas
iii. Memastikan anaknya Datuk Seri Mukhriz berada dalam ‘laluan’ untuk menjadi Perdana Menteri
iv. Mengekang kemaraan DAP yang tidak mempedulikan ‘rule of law’ dan Perlembagaan demi mencapai cita-cita ‘Malaysian Malaysia’
v. Memulihkan negara yang sedang menuju menjadi ‘failed state’, hasil kerakusan dan kelemahan Pakatan Harapan memerintah
vi. Meletakkan kembali negara ke landasan yang sepatutnya seperti sebelum ini
3. Apa muslihat di sebalik tawaran kerjasama, setelah pelbagai ketidakadilan dilakukan terhadap UMNO?
Membekukan akaun, cubaan merampas aset-aset, cubaan mengharamkan parti, dakwaan demi dakwaan ala witch hunt, membocorkan perbualan antara Putera Mahkota UAE dan pemimpin UMNO yang ketika itu masih bergelar Perdana Menteri dengan niat semata-mata untuk memalukan, apa lagi yang tidak dibuat oleh Tun Mahathir terhadap UMNO?
Maka kenapa tawaran bekerjasama dihulur ketika ini apabila tempoh menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir tamat?
4. Bukti Tun Mahathir semakin terdesak?
Ramai yang tidak bersetuju bekerjasama dengan Mahathir yang diumpamakan sebagai ‘biawak hidup’ apatah lagi apabila beliau bekerjasama dengan DAP menumbangkan kerajaan yang diterajui oleh pemimpin Islam pada PRU-14 lepas.
Angkara beliaulah negara menjadi huru-hara seperti yang dapat kita saksikan sendiri pada hari ini.
Sama ada beliau terdesak ataupun ikhlas menawarkan kerjasama dan insaf dengan perbuatan bersekongkol dengan DAP, adalah satu perkara yang wajar diperhalusi.
5. Merasionalkan kerjasama
Jika tujuan dan matlamat utamanya demi membangunkan negara dipenuhi, maka ia wajar disambut.
Jika sebaliknya, hanya agenda peribadi yang dipenuhi, maka kerjasama ini hanyalah satu kesilapan.
Rakyat akan hilang percaya kepada penyatuan ummah atau Muafakat Nasional dan berterusan mengkritik kerajaan.
Atau lebih buruk lagi ia adalah satu perangkap bagi melemahkan Muafakat Nasional, yang akan menjadi mimpi ngeri di PRU-15 kelak.
6. Rasional kerjasama vs. logik Lokman Adam
Logik Lokman Adam; cukup-cukuplah terpedaya dengan Tun Mahathir.
Beliau tidak berpuas hati apabila individu yang selama ini menyusahkan UMNO dan malah bertindak kejam dengan membekukan akaun mereka, kini dilihat ‘terhegeh-hegeh’ membuat tawaran setelah tersepit.
Sedangkan inilah individu yang sama selama dua tahun ini langsung tidak memberi muka dan berlembut dengan UMNO, mengalahkan kebenciannya terhadap DAP.
Maka tindakan Lokman Adam ini hanya berlandaskan situasi dan jangan lupakan jasa-jasa beliau dalam membela bekas Perdana Menteri, mengikutnya ke mana sahaja sedangkan dalam masa yang sama, ada beberapa pemimpin UMNO yang menjarakkan diri daripada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Sehinggalah ‘bosku’ kembali popular dan diterima rakyat tanpa disangka sehingga mencetuskan fenomena dalam negara.
Sekali gus mengembalikan populariti UMNO di mata masyarakat.
7. Agenda kerjasama demi agama, bangsa dan tanahair
Namun setakat ini, apa yang penting adalah menyelamatkan kembali negara dari tangan-tangan mereka yang tidak sepatutnya diberi kuasa.
Yang terhasil dari eksperimen gagal para pengundi yang ingin “mencuba ubat baharu”, menjadikan ekonomi negara semakin merudum, hutang bertambah dan aset strategik negara terjual.
Ini yang perlu dipulihkan kerana negara akan musnah jika dibiarkan lebih lama diperintah oleh Pakatan Harapan.
8. Waspada menerima pelawaan
Tidak salah berhati-hati dan berwaspada bagi mengelakkan diri daripada tipu daya, helah ataupun perangkap.
Ditambah dengan sikap ‘zalim’ beliau sebelum ini terhadap musuh-musuh politiknya yang akan ditekan dengan pelbagai cara.
Hatta rakan-rakannya sendiri yang berada di dalam UMNO, tetapi tidak sehaluan dengannya juga tidak terlepas.
9. Oportunisme Mahathir?
Sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Tun Mahathir melihat wujudnya peluang menyelamatkan keluarga dan kroni-kroninya, selain peluang membersihkan dirinya.
Jika beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, beliau akan tetap dicemuh sehingga ke akhir hayat.
Manakala jika membubarkan Parlimen, beliau tetap dilihat ego dan tidak mahu membetulkan keadaan yang beliau sendiri telah rosakkan.
Sebaliknya jika beliau bekerjasama dengan PAS dan UMNO bagi membentuk kerajaan perpaduan tanpa DAP, PAN dan PKR, rakyat akan melihat beliau seolah-olah penyelamat negara.
Walaupun keributan dan kekacauan ini dicipta sendiri olehnya.
10. Oportunisme pemimpin UMNO?
Ada juga beberapa pihak beranggapan kemungkinan jalinan kerjasama ini dilaksanakan kerana ramai dalam kalangan pemimpin UMNO kini didakwa di mahkamah.
Maka bagi mengelakkan kerumitan sekiranya pendakwaan diteruskan, ditambah dengan akaun dibekukan dan sumber kewangan terhad, mereka tiada pilihan selain menerima pelawaan kerjasama.
Dalam keadaan kiri dan kanan diasak, malah ramai pekerja pula terpaksa diberhentikan, maka pemimpin UMNO tiada pilihan yang lebih baik, melainkan menjalin kerjasama politik bersama Tun Mahathir.
11. Adakah kerjasama ini satu-satunya pilihan bagi menyekat DAP dan Anwar Ibrahim?
Sekiranya alasan ini yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin dalam UMNO dan Muafakat Nasional untuk menjusfikasikan tindakan kerjasama ini, maka terdapat satu pilihan lain iaitu melalui pembubaran Parlimen yang seterusnya mengakibatkan berlakunya pilihan raya.
Namun cara ini agak lambat dan berbaki lagi tiga tahun, serta tiada jaminan Muafakat Nasional akan menang.
Walaupun cara ini paling popular dan digemari dalam kalangan rakyat, selain terlihat ‘gentleman‘ kerana bertarung dalam gelanggang sebenar dan bukan melalui ‘pintu belakang’, tetapi tetap mempunyai risiko.
Ditambah dengan jangka masa yang lama, apa-apa sahaja boleh berlaku.
12. Apakah risiko jika menunggu pembubaran Parlimen?
Risiko jika menunggu Tun Mahathir membubarkan Parlimen dan bertarung di PRU-15 ialah dalam jawapan terhadap persoalan;
“Apa yang akan berlaku sekiranya Tun Mahathir terlebih dahulu meninggal dunia sebelum sempat membubarkan Parlimen?”
Ini kerana jika PAS dan UMNO menolak kerjasama yang ditawarkan, maka Tun Mahathir pasti akan melengahkannya sehingga habis penggal ataupun selagi beliau terdaya.
Apa yang pasti Anwar Ibrahim akan naik menggantikannya sebagai Perdana Menteri kerana beliau sememangnya telah dijanjikan sebagai Perdana Menteri kelapan oleh Majlis Presiden.
13. Atas dasar meminimakan risiko kemusnahan ke atas negara
Selain itu, lebih lama menunggu, aset negara semakin banyak terjual, UMNO sendiri terkekang dengan kewangan yang terhad dan kekurangan tenaga kerja.
Ini membuatkan pilihan kerjasama ini tidak popular dan tidak digemari oleh segelintir pihak yang tidak boleh bertoleransi lagi dengan kezaliman yang Tun Mahathir lakukan terhadap UMNO dan rakyat sejak beliau menjadi Perdana Menteri.
Walaupun begitu, sesuatu tetap perlu dilakukan bagi menghentikan kerajaan Pakatan Harapan yang berterusan ‘memusnahkan negara’.
14. Sekiranya kerjasama terjalin, adakah Tun Mahathir akan terus menjadi Perdana Menteri?
Jika beliau berdaya meneruskannya selepas kerjasama dimeterai, maka kemungkinan beliau akan melepaskan jawatannya selepas Sidang Kemuncak APEC 2020 yang dijadualkan hujung tahun ini.
Tidak mungkin beliau akan meneruskannya lagi selepas itu kerana dibatasi oleh usia melainkan beliau benar-benar ‘kemaruk’ kuasa.
Walau bagaimanapun, seperti biasa Tun Mahathir hanya akan melepaskan jawatannya selepas beliau benar-benar pasti rancangan dan matlamatnya berjaya dicapai.
15. Bagaimanakah kedudukan pemimpin PPBM apabila kerjasama Mahathir – UMNO/Muafakat Nasional dimeterai?
Buat sementara, parti beliau iaitu PPBM atau Bersatu akan diberikan sedikit ‘muka’ dan beberapa menteri partinya akan kekal menjadi Menteri buat sementara waktu.
Namun tiada jaminan selepas itu selepas ketiadaan Tun Mahathir, apatah lagi jika mereka tidak berupaya menerajui kementerian masing-masing dengan baik dan tidak lagi membuat perkara-perkara bodoh.
Bagi Menteri-menteri yang menipu kelulusan dan hanya menimbulkan masalah dari membuat kerja, mereka wajar berhati-hati.
Tiada lagi lantikan ‘tangkap muat’ ala Pakatan Harapan.
16. Bagaimana pula kedudukan Hishammuddin, Hamzah dan pemimpin UMNO lain yang melompat sebelum ini?
Rakyat terutama akar umbi UMNO pasti menolak sepupu Najib iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan juga Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Masyarakat tidak akan lupa dua nama ini yang telah dilabel sebagai pengkhianat parti.
Satu kerana secara bersendirian bersekongkol dengan Datuk Seri Azmin Ali menubuhkan kerajaan pintu belakang dan satu lagi kerana melompat parti dan melobi Ahli Parlimen lain agar menyertai mereka.
Termasuk Datuk Mustapa Mohamed, Datuk Mas Ermieyati dan beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO termasuk di Sabah.
Ini semua akan bersama Kerajaan Perpaduan dan kedudukan mereka perlu diselesaikan.
17. ISU KEGAGALAN MENYELESAIKAN MASALAH RAKYAT, EKONOMI MENJUNAM, TIDAK TUNAI MANIFESTO AKAN DI’SPIN‘ SEBAGAI MASALAH KERAJAAN PERPADUAN
Semua kegagalan kerajaan Pakatan Harapan selama lebih dua tahun memerintah ini akan ‘dipindahkan’ ke bahu Kerajaan Perpaduan.
Pakatan Harapan akan memberi alasan bahawa selama ini kegagalan mereka mengemudi negara dengan baik dan berkesan serta tidak menunaikan janji-janji manifesto adalah kerana Tun Mahathir.
Maka semua ini akhirnya akan di’spin‘ oleh cybertrooper termasuk RBA DAP dengan memperlihatkan ia sebagai kegagalan Kerajaan Perpaduan.
i. “Beri peluru percuma kepada musuh”
Melalui tawaran kerjasama oleh Tun Mahathir, UMNO dan Muafakat Nasional perlu fikirkan segala kemungkinan termasuk isu menteri dan pemimpin bermasalah dalam Pakatan Harapan yang berlaku sebelum ini.
Semua isu dan masalah ini, kecil ataupun besar akan digunakan kembali untuk menyerang Kerajaan Perpaduan.
ii. Isu ketidakcekapan dan kebrobokan menteri dan pemimpin Mahathir
Ini termasuk isu tidak perform, mengeluarkan kenyataan tidak cerdik, menipu ijazah, masalah parti dadah, lari panjat pagar, isu tidak konsisten, pemberian projek secara terus kepada kroni dan pelbagai lagi ‘pakej masalah’ yang datang sekali bersama Tun Mahathir.
Ini semua akan menjadi ‘modal spin‘ yang amat berguna buat DAP dan sekutunya seperti PKR dan PAN dalam Pakatan Harapan.
Ironinya Lim Kit Siang mungkin akan membuka kembali buku-buku tulisan lamanya mengenai Skandal Forex.
iii. Isu menteri bersemburit juga terpaksa diselesaikan
Isu semburit ini akan diulang-ulang dan dijaja seperti 1MDB, Altantuya dan lain-lain sehingga rakyat kembali menghentam kerajaan.
Isu lama Anwar dituduh meliwat termasuk isu terbaru melalui pengakuan bersumpah Muhammed Yusoff Rawther yang menuduh Anwar mengajak beliau melakukan seks luar tabie, akan ditenggelamkan oleh ‘isu pindahan’ ini.
18. Menilai risiko kerjasama
Seumpama membeli kereta terpakai, segala masalah yang diketahui dan nampak, wajar diatasi.
Penilaian yang baik sebelum membeli kereta tersebut perlu dilakukan agar tidak tersalah pilih.
Kereta tersebut mungkin cantik luaran dan dalamannya, kelihatan gah dan bangga apabila dipandu, namun menyembunyikan 1001 masalah yang akhirnya hanya mampu dipakai selama dua tiga tahun sahaja.
Lebih malang, ia tidak mampu dibaiki lagi dan terpaksa dibuang terus.
Kerajaan Perpaduan perlu menilai pelbagai risiko ini dan bersedia menghadapinya.
Jangan melalui kerjasama ini, menjadi penyebab kepada penolakan rakyat pada PRU-15 kerana dilihat hanya memenuhi agenda peribadi.
Segala aspek di atas malah banyak lagi perkara perlu diambil kira dalam menilai sebarang risiko kerjasama dengan Tun Mahathir.
Mungkin keputusan bagi mengelak kemudaratan lebih besar dari berlaku dapat diambil kira dalam proses penilaian ini.
19. Masa suntuk untuk memulihkan negara sebelum PRU-15
Sekiranya tawaran Tun Mahathir diterima, maka kerajaan yang terbentuk melalui pintu belakang sebegini mempunyai tugas yang mencabar.
Selain itu dibatasi oleh masa yang suntuk untuk menyelamatkan negara dan untuk mengembalikan ia ke landasan sepatutnya, atau “to make Malaysia great again“.
Cabaran ini terpikul atas pundak kerajaan baharu, jika berjaya memulihkannya maka rakyat akan menerima, namun sekiranya gagal maka padah buruk menanti pada PRU-15 kelak.
20. Mesyuarat dan buat keputusan demi agama, bangsa dan tanahair
Jika niatnya benar kerana agama, bangsa dan tanahair tercinta, In sha Allah akan mendapat ‘nusrah’ atau bantuan Allah.
Rakyat akan bersatu hati kerana sudah tahu “mana intan mana kaca”.
Jika sebaliknya, matlamat peribadi yang terpahat dalam hati diutamakan, padahnya akan terserlah tidak lama lagi, tidak perlu menunggu lama.
Bermesyuaratlah, selawat dan Amir atau Ketua buat keputusan dengan meletakkan kepentingan agama di hadapan.
Jemaahnya, iaitu ahli dan pemimpin serta rakyat di bawahnya pula taat apa yang Amir atau Ketua akan putuskan.
Apapun, sebarang keputusan wajib disertai dan dipersetujui bersama oleh kedua-dua parti utama dalam Muafakat Nasional iaitu UMNO dan PAS.
Mesyuarat, selawat, buat keputusan, dan semua wajib taat.
Di sebalik segala perancangan makhluk, Allah Taala adalah sebaik-baik perancang.
Wallahualam.