‘FALASI’ KERAJAAN PINTU BELAKANG MAHATHIR – ISHAM JALIL

756
SHARES
4k
VIEWS

Kelmarin ada orang memaklumkan saya bahawa gabungan kerajaan pintu belakang di antara UMNO dan PAS dengan Mahathir mampu memperoleh melebihi 112 orang Ahli Parlimen untuk mendapat majoriti mudah dan membentuk kerajaan baru secepat mungkin tanpa pilihan raya.

Ada yang sehingga berkata bahawa mereka yakin akan memperoleh sehingga 130 orang Ahli Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat.

Saya melihat pengiraan mereka ini adalah ‘too good to be true‘ atau tidak berpijak di bumi nyata.

Sejak minggu lepas hingar diuar-uarkan oleh penyokong-penyokong cadangan kerajaan pintu belakang ini bahawa cadangan ini dibuat atas dasar kononnya untuk menolak DAP demi “menjaga dan memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam”.

Namun demikian, jika dilihat dengan lebih mendalam, daripada 130 Ahli-ahli Parlimen yang dikatakan oleh mereka kononnya akan menyokong gabungan kerajaan pintu belakang “Melayu-Islam” ini, 28 daripada Ahli-ahli Parlimen ini adalah bukan Melayu dan bukan Islam.

Soalan saya: Adakah mereka yang bukan Melayu dan bukan Islam ini bersetuju untuk membentuk kerajaan pintu belakang atas dasar memperjuangkan Melayu-Islam, lebih-lebih lagi Ahli-ahli Parlimen bukan Melayu dan bukan Islam daripada Sabah dan Sarawak?

Dan daripada 15 orang Ahli Parlimen PKR yang dikatakan menyokong Azmin, 9 daripada mereka adalah bukan Melayu dan bukan Islam:

Adakah YB Sivarasa, YB Xavier Jayakumar, YB Baru Bian, YB Santhara, YB Steven Choong, YB Jonathan Yasin, YB Milly Mongin, YB Ali Biju, dan YB Maria Chin Abdullah dari PKR akan masih mengikut Azmin untuk membentuk kerajaan pintu belakang Melayu-Islam bersama Mahathir dan UMNO serta PAS?

Sebelum ini mereka mungkin boleh menyokong Mahathir dan Azmin selagi Mahathir berada dalam PH.

Namun demikian, besar kemungkinan mereka tidak akan sanggup keluar PH bersama Azmin dan Mahathir untuk membentuk kerajaan Melayu-Islam pintu belakang ini.

Sebelum ini dalam Barisan Nasionalpun tidak mudah untuk kita meyakinkan hanya dua Ahli Parlimen bukan Islam BN dari MCA dan MIC dan kepimpinan dan akar umbi parti mereka untuk menyertai Muafakat Nasional.

Berdasarkan pengalaman ini, boleh dibayangkan bahawa adalah tidak semudah yang disangka untuk Mahathir meyakinkan 28 orang Ahli Parlimen bukan Melayu dan bukan Islam dan akar umbi mereka untuk menyertai kerajaan pintu belakang yang kononnya berasaskan Melayu-Islam ala Mahathir tersebut lebih-lebih lagi Ahli-ahli Parlimen dari PH dan dari Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, adakah selepas menyedari hal ini kempen penyokong-penyokong kerajaan pintu belakang ini akan bertukar tagline pula kepada bukan lagi memperjuangkan soal Melayu dan Islam tetapi perjuangan lain yang lebih sesuai untuk menarik Ahli-ahli Parlimen bukan Melayu dan bukan Islam ke dalam kerajaan pintu belakang mereka tersebut?

Dan jika ini berlaku, tanpa asas perjuangan Melayu-Islam dalam cadangan kerajaan pintu belakang ini, adakah ia cukup kuat untuk meyakinkan Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk memanjat pagar dan melompat kepada Mahathir meninggalkan akar umbi mereka untuk membentuk kerajaan pintu belakang dan mengejar jawatan kerajaan?

Tanpa 28 orang Ahli-ahli Parlimen bukan Melayu dan bukan Islam di atas, Mahathir perlu mendapatkan kesemua 39 Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menyertai kerajaan pintu belakang ini.

Ini termasuklah YB Dato’ Seri Najib, YBM Tengku Razaleigh Hamzah, YB Azeez Rahim, YB Nazri Aziz, YB Tajuddin Rahman, YB Noraini Ahmad, dan lain-lain.

Dan katakan kesemua 39 Ahli-ahli Parlimen UMNO ini bersetuju secara berjemaah untuk menyertai kerajaan pintu belakang ini, Mahathir akan mendapat jumlah keseluruhan sebanyak 102 orang Ahli Parlimen, iaitu masih tidak cukup 10 orang Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Dan cadangan kerajaan pintu belakang ini akan gagal sebelum ia bermula, ab initio.

Oleh itu, sekiranya cadangan ini tidak diperhalusi betul-betul dan hanya berdasarkan congak-congak atas kertas tisu di McDonald, besar kemungkinan apa yang Tok Mat Hasan kata semalam akan berlaku iaitu, “Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran”.

Namun kesan yang lebih buruk adalah UMNO akan berpecah dan Presiden akan mendapat malu dan terpaksa atau dipaksa mengundur diri.

Mungkin ini yang sesetengah pihak yang berniat jahat mahu.

……..

Penyokong-penyokong cadangan kerajaan pintu belakang ini juga berkata bahawa sebab mereka perlu menyertai kerajaan ini adalah kerana mereka tidak mahu menjadi pembangkang bersama DAP apabila Mahathir menendang DAP keluar daripada kerajaan kelak.

Namun demikian, alasan ini adalah singkat.

Kerana tidak semestinya jika kita (UMNO) kekal menjadi pembangkang dan DAP pun menjadi pembangkang, kita akan bersama-sama bersekutu dengan DAP.

Dalam Parlimen bukan ada dua pihak sahaja iaitu satu kerajaan dan satu pembangkang.

Ada juga kuasa ketiga. Contohnya, ada pihak ketiga iaitu Ahli Parlimen bebas yang tidak menyokong kerajaan dan tidak juga menyokong pembangkang.

Dan pembangkang bukan sahaja tertakluk kepada satu.

Pada PRU-8 pada tahun 1990, sebelum kewujudan Barisan Alternatif pada tahun 1998 dan Pakatan Rakyat pada tahun 2008, PAS dan DAP adalah kedua-duanya pembangkang namun mereka tidak bekerjasama atau bersekutu antara satu sama lain dalam satu gabungan.

PAS membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama Semangat 46, BERJASA, HAMIM dan KIMMA, manakala DAP membentuk Gagasan Rakyat (GR) bersama Parti Rakyat Malaysia (PRM); Kedua-duanya menentang Barisan Nasional (BN) yang diterajui Mahathir.

Oleh itu tanggapan bahawa jika UMNO dan DAP sama-sama menjadi pembangkang bermaksud UMNO bersekutu dengan DAP, ia adalah satu tanggapan yang tidak betul dan tersasar.

……..

Saya yakin bukan Mahathir sendiri yang menyampaikan cadangan kerajaan pintu belakang ini kepada Presiden UMNO.

Sepatutnya untuk langkah yang sebesar dan se-signifikan ini, kedua-dua ketua perlu berjumpa dengan bersemuka dan bukan melalui wakil atau broker.

Sebab kita tidak tahu sama ada wakil itu adalah genuine atau broker yang betul mendapat mandat dan membawa maklumat yang betul, ataupun membawa agenda lain.

Perkara sekritikal ini seeloknya datang dari mulut Mahathir sendiri bukannya dari perantara.

Sehingga hari ini Mahathir tidak membuat sebarang pengesahan atau apa-apa komen berkenaan cadangan kerajaan pintu belakangnya ini.

Tentunya dia tidak mahu rakan-rakannya dalam PH memanggilnya pengkhianat sebelum tiba masanya.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan cadangan kerajaan pintu belakang Mahathir ini, dari segi matematik dan politik seperti di atas dan dari segi rasional akal.

Besar kemungkinan langkah ini sebenarnya adalah satu lagi muslihat Mahathir dan DAP untuk melemahkan pembangkang selepas kita menang lima kali berturut-turut dalam pilihan raya kecil.

Biasanya, jika beliau tidak boleh mengalahkan kita, beliaulah sepatutnya yang menyertai kita, bukan sebaliknya.

Tidak masuk akal untuk Mahathir berhempas pulas berunding dengan 67 orang Ahli Parlimen (39 daripada UMNO dan 28 daripada Ahli Parlimen bukan Melayu dan bukan Islam) untuk mengekalkan kuasanya dan menidakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri apabila beliau (Mahathir) hanya perlu menjaga 6 orang Ahli Parlimen DAP sahaja dalam Majlis Presiden PH.

Sehingga hari ini DAP pun tidak bersuara berkenaan hal kerajaan pintu belakang ini walaupun hebat diuar-uarkan bahawa cadangan gabungan kerajaan pintu belakang ini terbentuk kononnya adalah untuk menolak DAP daripada kerajaan.

Jika benar Mahathir ingin menendang DAP, tidak mungkin DAP tidak risau dan senyap sahaja?

Oleh itu besar kemungkinan cadangan gabungan kerajaan pintu belakang ini adalah satu lagi taktik dan muslihat Mahathir dan DAP untuk memecahbelahkan UMNO dan memalukan serta menjatuhkan air muka Presiden UMNO.

…….

Saranan saya ialah supaya pembangkang dan UMNO tidak tergesa-gesa dan tidak terburu-buru untuk terus bersetuju dengan cadangan kerajaan pintu belakang ini.

Adalah lebih baik jika kita tunggu sementara dan lihat bagaimana perkembangan perkelahian dan perebutan kuasa di antara Mahathir dan Anwar ini terselak satu persatu sebelum kita membuat keputusan yang sebesar ini, sebab kita tidak mahu menjadi “pawn” atau alat pencaturan mereka berdua ini dalam permainan kuasa mereka.

Saya bukan ahli Majlis Tertinggi UMNO ataupun Ahli Parlimen namun hanya marhaen dalam parti.

Oleh itu terserah kepada kepimpinan parti sama ada mahu mempertimbangkan atau tidak pandangan saya di akar umbi ini.

Dalam hal ini, “Good things come to those who wait.” Kita perlu bersabar. Dan sabar itu separuh daripada iman.

Isham Jalil

Marhaen UMNO

6 Februari 2020

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/648419322580262/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts