Apabila YAB Perdana Menteri membuat pengumuman mengenai Perintah Kawalan Pergerakan pada dua malam lepas, banyak pihak yang tidak faham sepenuhnya akan arahan tersebut termasuklah agensi pelaksana yang terkial-kial mencari penyelesaian terbaik.
Keadaan ini menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan resah. Antara isu yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan orang ramai adalah:
1. Pergerakan antara negeri dan keluar masuk ke negara jiran.
Pihak berkuasa perlu memperhalusi dan membuat perincian mengenai kaedah pelaksanaan perjalanan yang telah dihadkan, berdasarkan akta sedia ada.
2. Pelajar diarah mengosongkan asrama apabila universiti ditutup.
Para pentadbir universiti sepatutnya lebih prihatin akan keadaan pelajar yang kampung halamannya jauh. Pekeliling baru perlu dikeluarkan tanpa rasa malu supaya pelajar tidak perlu berpusu-pusu untuk mengosongkan asrama.
3. Restoran, kedai makan dan warung.
Pihak kerajaan perlu memberi satu panduan yang jelas mengenai pengoperasian sektor F&B semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Jangan berasa malu untuk menyediakan penerangan berterusan kepada rakyat. Sekiranya terdapat pembetulan terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru sahaja mengambil alih krisis menangani COVID-19 mesti pantas dan bertindak segera memperbetulkan keadaan.
Pasukan media MKN perlu agresif dalam menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat.
Tidak perlu malu untuk melakukan pembetulan.
DATO’ SERI MAHDZIR KHALID
Naib Presiden UMNO 18 Mac 2020