MALAYSIA KELAM-KABUT KERANA TIADA TIMBALAN PERDANA MENTERI?

663
SHARES
2.1k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Semalam keadaan di dalam negara memang kelam-kabut. Rakyat keliru arahan siapa yang patut diikuti. Sejurus selepas pengumuman PM mengenai ‘kawalan pergerakan’, tiada kenyataan susulan penjelasan tentang pengumuman PM.

Apakah yang perlu agensi-agensi lakukan sesuai dengan arahan PM?

Hakikatnya, tiada! Sebaliknya, agensi-agensi mengeluarkan arahan tanpa garis panduan yang jelas.

2. Inilah yang terjadi semalam. Ketua Polis Negara mengeluarkan arahan perlu ada kebenaran polis untuk merentas sempadan negeri di dalam negara.

Pihak universiti pula mengeluarkan arahan mengosongkan kampus kepada para pelajar. Ada juga universiti yang mengeluarkan arahan mengosongkan asrama di kampus. Jadinya, mahu ke mana para pelajar ini pergi, melainkan pulang ke kampung. 

Perlu pula kebenaran polis jika mahu pulang ke kampung (merentas negeri). Makanya berpusu-pusulah pemohon ke balai polis mahu mendapatkan borang kebenaran merentas sempadan. Pertama kali dalam sejarah Malaysia, rakyat membanjiri balai-balai polis seperti pesta. Barang kali tertekan dengan situasi semalam, KPN menarik balik arahan tersebut. 

3. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dengan perintah ‘kawalan pergerakan’ adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN). Agensi ini adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ia tanggungjawab langsung Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Namun di bawah kabinet TS Muhyiddin, jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diisi. 

Yang ada adalah empat orang menteri kanan dengan potfolio tersendiri. Bermakna Majlis Keselamatan Negara adalah di bawah tanggungjawab Perdana Menteri. Menteri di JPM dengan potfolio tugas-tugas khas pula masih samar-samar bidang tugasnya.

4. Makanya, segala pengumuman berkaitan perintah kawalan pergerakan perlu datang dari Perdana Menteri atau Ketua Pengarah MKN (setelah diperturunkan kuasa kepadanya oleh Perdana Menteri.

Para menteri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara dan lain-lain jawatan berkepentingan seharusnya tidak memberi apa-apa kenyataan. Ini bertujuan mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir.

5. Di masa lalu, seorang TPM, mewakili PM boleh diberi tanggungjawab membuat apa-apa pengumuman dalam keadaan seperti ini. Kini ia tidak berlaku kerana Malaysia tiada TPM.

Dari segi politik pula, menurunkan kuasa kepada mana-mana menteri kanan bakal mengundang konflik politik di kemudian hari.

6. Tentunya menteri kanan yang dipertanggungjawabkan mewakili Perdana Menteri akan muncul memberikan pengumuman. Ini akan memberikan ‘mileage‘ secara politik kepada penyandangnya. Mahu dibuat secara bergilir kepada empat menteri kanan pula sangat tidak praktikal. Jangka masa kawalan pergerakan hanyalah dua minggu.

7. Rakyat bawahan adalah golongan yang paling terkesan dengan situasi begini. Tentunya rakyat keliru dengan keadaan begini akibat tiadanya komunikasi dan koordinasi yang berkesan antara agensi. Rakyat bingung. Apakah perintah semalam masih diguna pakai untuk hari ini? Apakah perintah hari ini masih terpakai untuk hari esok?

Pemimpin meminta rakyat bertenang. Bagaimana mahu bertenang jika arahan yang diterima berubah-ubah? Saluran komunikasi sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh kerajaan.

Lantiklah seorang jurucakap untuk memberi maklumat dan arahan. Jelaskan, hanya arahan dan maklumat jurucakap tersebut yang terpakai. Sumber selain jurucakap ini adalah tidak terpakai. 

8. Rakyat sedang menilai kerajaan baru ini. Alasan Muhyiddin dan barisan kabinetnya masih baru tidak boleh diterima lagi untuk masa hadapan. Perkemaskan segala jentera kerajaan agar maklumat sampai kepada rakyat dengan jelas.

Buat PM, jika perlu dilantik TPM untuk membantu tugas PM, buatlah dengan segera. Jika tiada keperluan, lantiklah seorang jurucakap dari Majlis Keselamatan Negara untuk menyampaikan arahan dan maklumat yang sah. Ketua Pengarah atau Setiausaha MKN adalah calon paling sesuai berbuat demikian.

9. Semua ini adalah komunikasi dan koordinasi rantaian perintah dari agensi-agensi yang terlibat dengan perintah kawalan pergerakan. Moga dipermudahkan.

Segalanya adalah DEMI RAKYAT! 

#berubahutkkebaikan

Dipetik dari laman blog “Anuar Shaari Menulis” beliau di pautan;

http://anuar-shaari.blogspot.com/2020/03/malaysia-kelam-kabut-kerana-tiada.html?m=1

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts