SETAHUN PMX: REFORMIS, TRANSFORMIS ATAU REALIS?

108
SHARES
349
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Kerajaan dengan slogan Madani pimpinan PMX menghampiri tempoh setahun pemerintahannya pada 24 Nov 2023 nanti. Menghampiri detik itu, kita masih ternanti-nanti dasar konkrit atau pelan jangka panjang yang memberi kemudahan buat rakyat meneruskan kehidupan mereka. Adakah pembentangan bajet 2024 baru-baru ini ada berita gembira buat semua?

2. Menghampiri tempoh setahun ini juga, politik negara dilihat masih belum stabil. Banyak masa dihabiskan untuk berpolitik berikutan PRN 15 yang tidak dibuat serentak dengan PRU-15. Hasilnya, rakyat terus dihidangkan dengan kisah-kisah ‘fantasi’ bagi memancing undi parti-parti politik sehinggalah selesai PRN-15 yang baru lalu.

3. Selesai PRN-15, cerita mahu mengambil alih kerajaan persekutuan terus dijaja oleh pembangkang (diperingkat persekutuan dan negeri). Tidak mengejutkan kerana inilah tugas pembangkang (dakwa mereka). Tambah mereka lagi, PMX sebelum bergelar PM juga acapkali melakukan hal yang sama di peringkat pusat.

4. Kita kesampingkan dahulu ‘cakap-cakap’ dan kritikan dari pembangkang kepada PMX dan kerajaan selepas PRU 15. Kita tumpukan ‘cakap-cakap’ kurang enak atau kritikan terhadap kerajaan Madani yang datang dari penyokong mereka sendiri seperti Ambiga dan mereka yang menyokong PH mahupun PMX sebelum PRU-15.

5. Kelompok ini marah dan kecewa kerana kononnya Kerajaan Madani tidak mengotakan janji-janji yang mereka sendiri lafazkan sebelum dan ketika berkempen untuk PRU-15. Perkara berkaitan hak asasi manusia, ketelusan tatacara kewangan dan sistem kehakiman menjadi sasaran utama kritikan kelompok ini.

6. Dakwa mereka lagi, setelah menjadi kerajaan dan Perdana Menteri, PMX tidak patut menunggu lama untuk melaksanakan reformasi beberapa perkara yang seharusnya menjadi keutamaan beliau ketika menjadi Ketua Pembangkang.

7. Antara perkara paling asas yang boleh PMX ‘reform‘ (dakwa penyokong PH) ialah kebebasan bersuara. Namun menghampiri setahun pemerintahan Kerajaan Madani, masih tiada ‘bayang’ kebebasan bersuara. Sebaliknya yang ketara ialah ugutan dari pihak berkuasa serta tangkapan lalu didakwa di mahkamah kepada pengkritik PMX dan kerajaan.

8. Menurut mereka dan beberapa NGO pro PH, ‘kuku’ SKMM serta PDRM semakin mencengkam kebebasan bersuara. Segalanya dipantau dan tangkapan akan segera dibuat melibatkan hantaran-hantaran ke media sosial atau percakapan di tempat awam yang mengecam kerajaan dan PMX.

9. Tidak kurang juga penyokong PH yang kurang selesa apabila PMX menyaman pembangkang yang mengkritik beliau. Bagi mereka, ini budaya ‘drakonian’ yang menghalang kebebasan bersuara. Bagi PMX pula, beliau mendakwa serangan pembangkang keatasnya adalah fitnah, bukan kritikan. Menurut beliau lagi, budaya fitnah tidak harus dibiarkan.

10. Begitu juga dengan Akta SOSMA. PH pernah berjanji untuk menghapuskan akta yang kononnya terlalu zalim (bagi mereka ketika itu). Namun kerajaan Madani pimpinan PH meneruskannya setelah menjadi kerajaan. Lebih mengejutkan penyokong PH, menteri KDN dari PH menyifatkan SOSMA sebagai akta yang baik serta berkesan menangani keselamatan negara. Alasan ini tidak dapat diterima oleh penyokong PH yang sealiran dengan Ambiga dan sekutunya.

11. Beberapa program kerajaan terdahulu juga telah ‘dihidupkan’ kembali oleh kerajaan Madani. Program-program seperti Rakan Muda dan PERMATA kembali dilaksanakan. Program ini dikembalikan dengan transformasi atau ‘salin kulit’ untuk manfaat generasi mendatang rakyat Malaysia. PLKN juga bakal kembali nanti dengan wajah yang ‘sedikit’ lain.

12. BR1M cetusan idea PM ke-6 yang telah diteruskan oleh tiga Perdana Menteri selepas DS Najib, kini disambung pelaksanaannya oleh PMX. Biarpun nama apa yang digunakan menggantikan program ini (BR1M), bantuan ini sangat mendapat tempat di hati rakyat Malaysia yang memerlukan.

13. Ini belum mengambil kira cadangan GST dikembalikan ke dasar percukaian negara. Walaupun ada bantahan dari PH dan sekutunya, nada mereka terhadap GST sudah semakin ‘lunak’. Mereka sendiri tahu GST adalah sistem yang baik, namun mungkin belum masanya pemimpin dan penyokong PH menjilat kembali ‘ludah’ mereka yang lontar keluar sebelum PRU-14 dan PRU-15.

14. Ini hanya cebisan contoh yang mengambil kira tanggungjawab besar sesebuah kerajaan mentadbir negara. Ini juga mengambil kira kritikan terhad dari penyokong kerajaan sendiri. Belum lagi mengambil kira kritikan dari pembangkang yang sangat kritis serta penuh dengan muslihat.

15. PMX berada dalam situasi yang ‘tidak mudah’ untuk mentadbir negara. Mengurus bantahan penyokong sendiri adalah lebih sukar dari menguruskan kritikan pembangkang. Jika tidak diuruskan dengan teliti, ia bakal menjadi barah yang merebak dari dalam. Semuanya perlu ditangani dengan penuh berhemah.

16. Saya yakin semua pemimpin parti politik sentiasa sedar bahawa mereka perlu berpijak di bumi yang nyata bila berjanji. Namun mereka perlu mengangkat diri ke awang-awangan dan melontar gula-gula ‘fantasi’ bagi mengkhayalkan penyokong demi menang pilihan raya. Inilah sindrom yang melanda sebahagian penyokong PH terhadap PMX, kesan dari ‘gula-gula’ yang dilontarkan beliau dahulu.

17. Sebahagian pendukung PH kini terperangkap antara reformasi, fantasi dan realiti. Dakwa mereka juga, PMX telah berubah sekelip mata kerana tidak melaksana reformasi seperti janjinya dahulu. Sementara mereka masih hidup dalam dunia fantasi hasil janji retorik, PMX terus jalan ke hadapan mengharungi realiti tanpa mengambil serius kritikan mereka.

18. Hakikatnya, mengurus sebuah negara tidaklah semudah berkata atau berjanji sebelum mendapat jawatan. Melaksana perubahan memerlukan kesungguhan, keazaman serta keupayaan. Selain itu, banyak pertimbangan lain yang perlu diambil kira sebelum melaksanakannya. Ia tidak semudah lafaz, “hari ini menang, esok kita ubah semua”.

19. Walaupun tidak mudah, yang penting adalah terus bergerak ke hadapan. PMX sedang dalam proses evolusi dari reformasi ke transformasi langsung menuju realiti. Tiada lagi politik fantasi. Beliau telah ‘transform’ menjadi seorang yang pragmatik sambil mendakwa dirinya masih seorang reformis.

20. Berpada-padalah dalam berjanji. Politik fantasi sehingga penyokong taksub dan khayal seharusnya dihentikan. Suka atau tidak, PMX perlu terus bergerak ke hadapan sambil ‘menelan’ kembali kata-katanya yang ‘manis’ serta “cakap tidak serupa bikin” sebelum ini. Biarpun pahit, mungkin itulah ubat (pengajaran) bagi PMX, jika beliau mahu mengambil ‘ibrah’ dari situasi ini.

22. Seiring perjalanan PMX merintis realiti, segala usaha beliau ke arah kebaikan perlu diteruskan. Pembangkang dan segelintir penyokong PH perlu lebih fleksibel menunjangi dasar-dasar kerajaan yang memberi kebaikan kepada rakyat. Tidak perlu berpolitik sepanjang masa!

23. Hendaknya juga jangan ada lagi politik fantasi di kalangan kerajaan atau pembangkang selepas ini. Anjakan paradigma dalam spektrum politik Malaysia boleh bermula dengan kempen secara sihat berpaksikan realiti. Nilai tambahnya disertakan dengan janji apa yang mampu dilaksana sahaja. Tidak perlu yang retorik!

24. Mentadbir negara memerlukan elemen reformasi dan transformasi. Ianya proses evolusi serta saling berkait dengan kerajaan sebelumnya. Ia juga evolusi yang menuntut keazaman dan kecekalan jitu dari semua pihak. Ini perlu agar proses pembangunan negara tidak terbantut. Jika ini berlaku, rakyat yang menerima akibatnya.

25. Kini dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Apa yang diimpi PMX sudah tercapai. Sekarang masanya kata mesti dikota. Madani bukan sekadar kata-kata. Kerajaan Madani perlu berani mempertahan yang hak dan mengenepi yang batil. Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Akhirnya rakyat juga yang akan menilai PMX dan Kerajaan Madani serta kembali membuat keputusan empat (4) tahun lagi sama ada beliau seorang reformis, transformis, realis atau fantasis!

Selamat Menyambut Ulangtahun Pertama Pemerintahan Kerajaan Madani.

P/S : Khabarnya akan ada rombakan kabinet Kerajaan Madani dalam masa terdekat. Jika benar, moga ia pemangkin kepada penambahbaikan menangani isu rakyat.

_________________________

Penulis ialah seorang pemerhati politik yang pernah bertugas di beberapa agensi persekutuan dan badan berkanun dalam bidang media, advokasi dan pemantauan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts