Kami ingin menyuarakan kekhuatiran kami kepada skim rangsangan IKS, Prihatin Tambahan, berjumlah RM10 bilion yang baru diumumkan tidak memberi perhatian khas untuk membantu majoriti IKS Bumiputera terutama usahawan Melayu.
Ketiadaan bantuan khas ini akan mengenepikan majoriti IKS Bumiputera terutama Melayu yang belum berdaftar dengan LHDN kerana masih baru beroperasi dan bersaiz kecil di seluruh negara dengan pelbagai produk Halal dan Toyyiban. Mereka ini akan menanggung kerugian besar kerana tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP COVID-19 tetapi tiada bantuan khas kepada mereka.
Meletakkan syarat hanya usahawan yang berdaftar dengan LHDN sahaja yang akan dibantu akan mengenepikan majoriti IKS bumiputera.Majoriti IKS yang berdaftar dengan LHDN adalah bukan bumiputera. Jika diambilkira kempen membantu usahawan dengan pelbagai produk Muslim akan pasti ramai yang akan gulung tikar.Mereka akan menanggung kerugian besar apabila tidak dibenarkan beroperasi tetapi tiada bantuan kepada mereka.
Kami menggesa agar rintihan IKS dan perniagaan Melayu yang masih kecil dan baru menceburi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa melalui beberapa Dewan Perniagaan dan NGO Melayu Islam perlu didengari.
Jangan tunggu sehingga tamat riwayat usahawan IKS Bumiputera baru kerajaan mahu membantu. Kami mendapati ada ribuan IKS dibawah MARA, RISDA, FAMA, FELCRA, Amanah, Ikhtiar dan lain-lain sedang beroperasi secara kecil-kecilan.
Mereka adalah IKS bumiputera Melayu di peringkat Pusat selain yang di bawah bimbingan Kerajaan Negeri. Mereka baru mula berniaga tetapi masih belum berdaftar dengan LHDN kerana pendapatan mereka yang terlalu kecil iaitu di bawah RM5 ribu sebulan.
Sepatutnya semua usahawan IKS Bumiputera ini di bawah Kementerian dan agensi Kerajaan Pusat dan lainnya perlu dibantu dengan insentif RM3000 minima sebulan dan tidak hanya IKS yang berdaftar dengan LHDN sehingga akhir tahun lalu sebagai syarat. Jika syarat ini dikenakan iaitu berdaftar dengan LHDN, banyak IKS bumiputera akan tercicir dan rangsangan itu akan banyak membantu usahawan IKS bukan Bumiputera.
Kesannya ramai usahawan IKS Bumiputera di bawah bimbingan kerajaan yang belum berdaftar dengan LHDN akan tersisih dan dianaktirikan. Kami menggesa pihak kerajaan jangan meminggirkan hak usahawan IKS bumiputera Melayu yang berpotensi untuk maju dengan produk yang berkualiti.
Ketika PM mengumumkan rangsangan tambahan RM10 bilion itu, beliau ada menyatakan kira-kira lebih 700,000 IKS akan dibantu dari skim yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri .
Soalnya berapa peratus daripada bilangan tersebut adalah IKS Bumiputera termasuk Melayu yang layak menerima rangsangan tambahan itu jika syarat itu menjadi kriteria. Kami persoalkan kenapa tidak ada peruntukan khas untuk Bumiputera di bawah Kementerian yang berkenaan? Matlamat merapatkan jurang ekonomi Bumiputera dan bukan Bumiputera akan bertambah besar bila keadaan kemelesatan ekonomi akibat COVID-19 membiarkan usahawan Bumiputera cuba melangsungkan survival sendiri.
Kami mempersoalkan kenapa digunakan pendaftaran LHDN sebagai syarat wajib sedangkan majoriti pengusaha Melayu baru hendak berniaga. Sedangkan IKS Bumiputera untuk mendapatkan sijil halal melayakkan memperolehi bantuan Matrade itupun sangat sukar. Kami kesal jika berdaftar dengan LHDN dijadikan syarat oleh pihak Kementerian Kewangan sendiri yang menghalang puluhan ribuan IKS Bumiputera diselamatkan.
Oleh itu kami menggesa:
1. Program Usahawan IKS Bumiputera yang berada di bawah pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan negeri perlu dibantu dengan dana khas pemulihan perniagaan. IKS yang telah berdaftar dengan LHDN adalah sedikit memandangkan kebanyakkan mereka baru menceburi bidang masing masing. Mereka baru berada di peringkat mendapatkan premis kilang dan Persijilan Halal. Mereka inilah yang perlu dibantu kerana sumber kewangan amat bergantung kepada pengeluaran harian.
2. Kerajaan perlu mengiktiraf pengusaha IKS Bumiputera yang telah berdaftar dengan mana-mana Kementerian dan agensi Kerajaan yang diamanahkan untuk membantu mereka layak mendapat rangsangan tambahan dari dana khas untuk pemulihan perniagaan Bumiputera.
3. Syarat bantuan Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di mana usahawan IKS yang layak mesti telah berdaftar dengan LHDN sehingga akhir tahun 2019 perlu dikecualikan untuk sementara bagi IKS Bumiputera.
Pendaftaran baru agar usahawan IKS Bumiputera boleh memohon berdaftar dengan LHDN perlu dipermudahkan dan dilanjutkan masa pendaftaran kepada tempoh yang munasabah agar mereka tidak diabaikan.
4. Pelbagai agensi yang mendaftar usahawan IKS Bumiputera masing-masing perlu mewujudkan bantuan khas kepada usahawan-usahawan tersebut di bawah selian mereka. Pengecualian sementara perlu diberi untuk mereka yang belum berdaftar dengan LHDN sebagai syarat wajib. Semua agensi berkenaan perlu mengambil inisiatif membantu pemodalan semula (recapitalisation) perniagaan mereka untuk meneruskan perniagaan.
5. Kerajaan perlu mewujudkan skim membantu IKS Bumiputera untuk dipermudahkan dan difasilitasi untuk mereka mendapatkan sijil halal dan kelayakan memperolehi bantuan Matrade.
6. Semua agensi ekonomi kewangan Islam seperti YAPEIM, Majlis Agama Islam, wakaf, baitulmal, Tabung Haji, Yayasan Islam Negeri, Yayasan Hijrah perlu menggembleng sumber mengikut pelbagai skim yang sesuai dengan syariat Islam untuk menyelamatkan usahawan Islam dalam keadaan krisis dan kegawatan ekonomi COVID-19 . Bantuan dan pinjaman khas perlu disalurkan atas nama maslahat ekonomi ummah.
“DARI UMMAH UNTUK UMMAH”
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM & Teras Pengupayaan Melayu