MUJAHID: PERBUATAN LGBT HARAM

367
SHARES
2.2k
VIEWS

Segelintir masyarakat Malaysia salah faham dan berkata bahawa  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyokong LGBT apabila kelihatan bersikap lunak terhadap isu tersebut sedangkan sebenarnya Datuk Dr Mujahid bersikap tegas mengenai isu LGBT namun undang-undang membatasinya. Salah faham berlaku apabila beliau dipetik berkata;

“Walaupun perbuatan golongan LGBT itu berdosa namun sekiranya ia tidak mencabar undang-undang negara, pihak kami tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan.”

Kenyataan di atas disalahertikan sebagai bersikap lembut walaupun sebenarnya Datuk Dr. Mujahid memberikan perbezaan antara hukum yang jelas dan batasan undang-undang.

“Perbuatan LGBT haram. Kalau buat sembunyi-sembunyi pun tetap haram tetapi itu antara dia dan ALLAH. ALLAH akan membalas di atas perbuatan mereka tetapi kalau secara terang-terangan beritahu dan kata seronok dengan perbuatan itu, kita boleh ambil tindakan.” 

Beliau bertegas mengatakan LGBT itu adalah haram walaupun dilakukan secara sembunyi serta dengan jelas Datuk Dr. Mujahid membezakan antara batas undang-undang yang boleh diambil dengan hukum haram ke atas golongan tersebut.

“Contohnya, minum arak berdosa, haram. Kalau dia minum secara terbuka dan berkata “suka hati aku nak minum” itu jenayah. Kerana mencabar undang-undang, ruang personal, ruang publik,” katanya dengan membandingkan pelaku LGBT dan peminum arak.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Serai itu, beliau akan terus melakukan dialog serta mendekati golongan berkenaan bagi memberi penjelasan bahawa perbuatan dilakukan mereka bercanggah dengan ajaran Islam.

“Di sini kita perlukan dialog. Dialog bukan bermakna menyokong. Kita tak sokong LGBT, ia perbuatan bercanggah dengan Islam, melanggar moral dan adat. Tetapi dengan dialog kita akan dapat banyak faedah untuk saya jelaskan pada mereka,” katanya lagi.

Sebenarnya bagi sesiapa yang memahami bagaimana usaha dakwah dijalankan pasti akan berlapang dada kerana usaha dakwah Rasulullah SAW dijalankan tidak secara menghukum namun secara berhemah mengajak seluruh manusia kepada Allah tanpa mengira siapapun yang diajak.

Apa yang dilakukan secara sembunyi wajar ditutup sebagai aib dan yang mana terang-terangan wajar dihalang juga secara terang-terangan, bahkan Datuk Dr. Mujahid memberi jaminan pelaku LGBT secara terang-terangan akan ditangkap.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts