BIAR LEBIH ISLAMIK – DR. RAMALAN YUNUS 

366
SHARES
2.2k
VIEWS

Saya menyokong penuh perlaksanaan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah-sekolah kerajaan. Kalau boleh bukan sekadar Hadis 40 tetapi sistem pendidikan negara seharusnya berasaskan kepada Islam. Ini kerana kita adalah sebuah negara Islam. Bukan negara sekular.

Saya juga berharap penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi tersebut hendaklah menurut tafsiran para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bukan aliran selain dari aliran itu.

Ini kerana aliran lain selain dari Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ia juga bertentangan dengan amalan majoriti umat Islam di negara ini sejak zaman berzaman.

Ini amat penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat umat Islam di negara ini. Dalam masa yang sama kita juga tidak boleh membiarkan pengaruh aliran-aliran lain berkembang luas di negara ini tanpa sebarang kawalan.

Perkara seperti itu tidak baik untuk kesatuan dan persatuan umat Islam di negara ini. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku setakat ini. Hari ini kita melihat bagaimana umat Islam berpecah belah kerana berpunca dari perbezaan aliran pemikiran dalam Islam.

Ini kerana aliran selain dari aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah agak ekstrem dan tidak sesuai diamalkan di negara ini yang secara tradisinya berpegang kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Saya juga berpendapat sebaiknya murid-murid bukan Islam juga turut dilibatkan dan digalakkan untuk mengikuti modul tersebut. Mempelajari Islam bukan bermakna mereka harus memeluk agama Islam atau akan dipaksa untuk memeluknya tetapi untuk lebih memahami ajaran Islam serta umat Islam itu sendiri.

Ada beberapa kebaikan yang akan mereka perolehi kesan dari mengikuti perlaksanaan modul tersebut. Paling utama, sebagai rakyat Malaysia, mempelajari tentang Islam itu sebenarnya adalah merupakan tanggungjawab kenegaraan.

Ini kerana berdasarkan kepada Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan secara jelas bahawa Islam adalah agama negara. Jadi negara ini mempunyai agama dan agamanya adalah Islam.

Sebagai sebuah negara, kenyataan tersebut membawa maksud bahawa Islam adalah merupakan cara hidup bernegara di negara ini. Sebagai warganegara Malaysia maka seluruh rakyat Malaysia terikat dengan akujanji itu.

Atas dasar itu bukankah menjadi sesuatu yang menghairankan apabila seorang warganegara dalam sebuah negara Islam tidak tahu apa-apa mengenai Islam?

Mengikuti modul tersebut juga akan dapat menambah kefahaman mereka tentang ajaran agama Islam yang sebenar. Pasti kelak mereka akan dapat membezakan antara Islam dan umat Islam.

Ini kerana pada hari ini, tidak ramai di kalangan umat Islam yang mampu menjadi ‘duta’ yang baik kepada agama Islam itu sendiri. Sikap umat Islam hari ini sudah jauh menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

Ajaran Islam yang sebenar bersifat moderate dan bertoleransi tinggi. Ia juga menitikberatkan soal adab dan akhlak yang mulia.

Soal adab dan akhlak sebenarnya begitu penting untuk hidup rukun dan damai dalam sesebuah negara khususnya negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Saya kira sudah sampai masanya Islam bangun untuk memimpin Malaysia. Ia harus dimulai dengan memimpin sistem pendidikan negara agar negara ini menjadi lebih Islamik. Bukannya menjadi lebih sekular dan demokratik.

Semoga anak cucu kita nanti lebih kenal selawat Nabi Muhammad SAW berbanding lagu-lagu pop.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts