SANUSI JANGAN JADI BADUT 2.0 – DR. RAMALAN YUNUS

370
SHARES
2.2k
VIEWS

Saya sudah mengingatkan Dato’ Seri Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dan juga hero baru PAS lebih awal lagi supaya jangan jadi badut.

Memang ramai para penyokongnya yang marah apabila saya nasihatkan Dato’ Seri Sanusi supaya jangan jadi badut. Beribu para penyokongnya yang marah dengan saya. Memang teruk saya kena maki secara berjemaah.

Kalau beliau mendengar nasihat saya mungkin beliau tidak akan didakwa kerana menghina Raja dan beliau juga tidak akan ditegur oleh Raja secara terbuka. Bila sudah kena seperti itu maka nampak sangatlah kita ini tidak beradab, beradat dan berakhlak. Memalukan diri, keluarga dan negeri.

Tidak cukup dengan itu semua, viral pula satu video kononnya Dato’ Seri Sanusi disambut secara besar-besaran di Johor. Alih-alih terbukti bahawa video itu diedit. Khalayak yang begitu ramai itu adalah khalayak satu program dakwah oleh seorang pendakwah terkenal dari negara jiran.

Jadi nampak sangat para penyokongnya juga mahu menjadi seperti badut. Tidak mungkin para pejuang agama dan bangsa bersikap seperti orang yang tidak berakhlak?

Sudah terlampau terdesak sangatkah mahu mengangkat Sanusi sebagai “Hero Malaya” sehingga sanggup menghalalkan apa sahaja cara?

Hidup ini satu ibadah yang panjang. Apa sahaja yang kita perkatakan atau perlakukan kalau ia adalah kerana Allah maka amalan itu akan menjadi satu ibadah. Atas dasar itu hidup ini ada batas-batasnya sebagaimana yang telah disunnahkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad Rasulullah SAW.

Ini sebagai pedoman untuk mempastikan agar seluruh kehidupan kita itu adalah satu ibadah. 

Jadi janganlah kerana harta, takhta dan wanita kita menjadi hamba kepada selain Allah. Bagaimana mahu Islam dihormati oleh penganut agama-agama yang lain jika golongan yang mendabik dada memperjuangkan Islam bersikap dan berakhlak seperti itu?

Kalau mahu bersikap dan berakhlak seperti itu jangan jadi ahli politik atau pejuang agama dan bangsa, memadai sekadar hanya menjadi seorang pengamat politik sahaja seperti saya.

Kalau mahu taksubpun, taksublah kepada Allah dan Rasul. Bukan taksub kepada para pemimpin politik.

Sekiranya taksub kepada Allah, Allah ada syurga. Kalau taksub dengan Rasul, Rasul ada syafaat yang boleh membawa kita ke syurga. Tetapi kalau taksub dengan para pemimpin politik, mereka ada apa? Nasib mereka sendiri di akhirat kelak belum tentu ada sebarang jaminan.

Sebagai orang Melayu yang beragama Islam, berpada-padalah kalau mahu berpolitik. Politik Islam tidak menghalalkan semua cara. Ini kerana dalam Islam berpolitik juga satu ibadah. Sudah pasti ada batas-batasnya yang tersendiri.

Jadi janganlah kita menjadi seperti badut atau membadutkan diri kita sendiri kerana politik dan orang politik. Kehidupan di dunia ini hanya sementara. Di akhirat juga yang kekal dan abadi.

Kalau mahu berjuang untuk agama dan bangsa, silakan. Tetapi jadilah seorang pejuang agama dan bangsa yang benar di sisi Allah SWT. Bukan di sisi manusia.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts