KEPIMPINAN ULAMA DAN UMARA, KOMPETEN SERTA AMANAH

343
SHARES
2k
VIEWS

1. Ulama umumnya bermaksud insan yang mempunyai pengetahuan baik dalam sesuatu bidang. Kamus DBP mendefinisikan ulama sebagai orang yang ahli (pakar) dalam pengetahuan agama Islam.

2. Manakala konteks kepimpinan ulama pula yang difahami umum adalah pemimpin dari golongan agamawan yang menerajui kepimpinan sesebuah wilayah.

3. Kita harus akui, sebagai manusia tidak semua perkara kita mahir dan pakar.

Tidak semua pemimpin mahir dalam selok-belok agama dan ia tidak menjadikan seorang pemimpin itu terkeluar dari Islam kerana tanggungjawab memimpin tidak wajar dilepaskan kepada yang bukan ahlinya.

4. Harus diingat pesanan Nabi Muhammad SAW “Jika amanah telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.” Sahabat bertanya, “Bagaimana maksud amanah disia-siakan?” Nabi menjawab, “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

5. Persoalannya, adakah hanya ulama sahaja yang layak dan boleh mentadbir? Sirah menunjukkan bahawa Khalid Al-Walid RA, baru sahaja memeluk Islam namun terus dilantik oleh Rasulullah SAW sebagai panglima tentera Islam.

Beliau dilantik atas kekuatan, kebijaksanaan serta kompetensi yang dimiliki dalam mengatur strategi peperangan. Ini menunjukkan walaupun baru memeluk Islam tetapi ada kemahiran kecekapan dalam mentadbir maka layak diberikan jawatan.

6. Pernah suatu ketika dahulu kita mendengar istilah gandingan ulama dan umara. Kerjasama ulama dan umara sangat diperlukan bagi memimpin rakyat ke arah lebih cemerlang. Peranan ulama dan umara bagai aur dan tebing, saling melengkapi bukan bersaing sesama mereka.

Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali Rahimahullah menasihati kedua-dua kumpulan ini dengan kata-katanya yang masyhur: “Sesungguhnya rakyat rosak disebabkan pemerintah (yang zalim) dan pemerintah pula rosak disebabkan ulama (yang jahat). Sementara ulama pula akan rosak jika mereka tamakkan harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apatah lagi kepada pemerintah dan pembesar.”

7. Dalam Islam, 2 ciri utama kepimpinan yang perlu diberi perhatian sebelum melantik seseorang iaitu insan mempunyai kekuatan kepimpinan (kompeten) dan amanah atau integriti. Ia selaras dengan firman Allah SWT;
Sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas: 26). Kuat bermaksud kuat aspek intelek, watak, strategi, mampu memimpin dan membuat keputusan.

8. Adakah dengan hanya memiliki 2 ciri kepimpinan utama ini, negara akan berjaya? Secara emperikalnya begitulah. Cuba kita perhatikan beberapa pemimpin dari negara-negara Barat atau Eropah, teliti ciri-ciri dan kualiti kepimpinan pemimpin mereka.

Kualiti pemimpin Eropah yang boleh dicontohi, ketika mana Kota London dikejutkan dengan peristiwa pengebomam manakala Jerman mengalami kemusnahan teruk disebabkan Hitler. Hari ini kita dapat melihat kereta buatan Jerman menjadi sebuah lambang kemewahan.

Manakala negara-negara di Asia Barat yang kaya dengan hasil petroleum tidak mampu menghasilkan jenama kereta sehingga kini. Betapa hebatnya kualiti pemimpin mengurus dan bangkit selepas berlakunya musibah dan peperangan.

9. Pembinaan negara bangsa pasca pilihan raya memerlukan sinergi dan kesatuan antara ulama dan umara. Kehadiran ulama sebagai pendukung dasar-dasar umara. Kedua-duanya saling berperanan sebagai mengimbangi kekacauan sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Tentunya Malaysia akan menjadi lebih baik jika sinergi kedua-dua ini diperkasakan. Rakyat Malaysia akan menikmati kehidupan harmoni, kemajuan serta kejayaan yang akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia kelak.

10. Kesimpulannya, kekuatan seseorang pemimpin diperlukan untuk meletakkan negara di landasan yang tepat melalui visi dan misinya. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk memilih pemimpin sama ada di peringkat tempatan mahupun nasional berdasarkan panduan ciri-ciri utama yang disebutkan.

11. Pemimpin yang memiliki ciri-ciri ini pastinya mampu menjayakan agenda Malaysia Madani. Marilah kita berikan sokongan dan dukungan sepenuh hati demi masa depan negara tercinta.

Ustaz Firdaus

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts