KENYATAAN MEDIA GPMS
10 April 2020
1. Hari ini YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan ke fasa yang ke-3 sehingga 28 April 2020. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyambut baik tindakan ini untuk memastikan virus Covid-19 benar-benar dihapuskan.
2. Oleh yang demikian GPMS menyarankan agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan dan membantu mahasiswa yang terkandas di kampus untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
3. GPMS amat menghargai kerja keras pihak KPT dan universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa terbela sepanjang PKP Fasa 1 dan 2.
4. Kerajaan telah menanggung kos makanan dan minuman serta keperluan asas lain kepada mahasiswa sepanjang dua fasa ini. Tindakan ini dilihat sangat efektif demi menjamin kebajikan mahasiswa.
5. Namun demikian, perbelanjaan menangung kos makan minum mahasiswa ini adalah sangat tinggi. Oleh kerana wabak COVID-19 ini masih dalam fasa pembendungan penularan. Kita masih belum mendapat kepastian sehingga bila wabak ini dapat dibendung sepenuhnya. Oleh sebab itu, kos menangung kebajikan mahasiswa akan semakin bertambah.
6. Dengan itu, GPMS menyarankan pihak KPT untuk membantu menghantar mahasiswa ke kampung halaman masing-masing untuk menjalani perintah kawalan pergerakan bersama keluarga tercinta. Tindakan ini dilihat mampu untuk meringankan kos yang ditanggung oleh pihak universiti dan kementerian. Sekurang-kurangnya tindakan ini juga mampu meredakan kegusaran ibubapa terhadap keadaan anak-anak mereka. Kementerian juga dapat menumpukan perhatian untuk proses pembelajaran atas talian dan fasa pengstrukturan semula pasca COVID-19.
7. Tindakan penghantaran pulang ini dilihat wajar memandangkan tempoh PKP Fasa 1 dan 2 telahpun melebihi tempoh kuarantin 14 hari. Risiko untuk para pelajar menjadi ejen penularan COVID-19 ke kampung halaman dilihat sangat rendah memandangkan para pelajar telahpun melalui tempoh pengasingan selama lebih 21 hari. Sebaiknya, proses penghantaran pulang dilakukan sendiri oleh pihak KPT dan mengikut prosedur kesihatan dan keselamatan yang perlu.
8. Akhir kata, GPMS akan sentiasa menyokong dan memberi saranan-saranan yang praktikal kepada pihak kementerian demi memastikan kebajikan pelajar terjaga. Syabas dan tahniah kepada pihak KPT yang sentiasa turun padang dan peduli akan nasib mahasiswa dikala dunia dilanda wabak ini. Semoga keadaan bertambah pulih dan sejahtera.
Sekian.
Salam Hormat.
MOHD ALIF ANAS MD NOOR
Presiden GPMS