KEPERLUAN MENGEKALKAN MALAYSIA SEBAGAI “DARUL MUHIBBIN” IAITU PENCINTA NABI MUHAMMAD SAW

153
SHARES
386
VIEWS

Dr Amran Muhammad

Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI)

Umum sedia maklum, yang jelas membedakan sifat, perangai dan tingkah laku umat Islam Melayu di Kepulauan Melayu dengan umat Islam Arab di Tanah Arab ialah sifat dan tabiat beradab dan berhikmah dalam beribadah dan bermuamalah juga berada dan istiadat. Psikologi dan sosiologi orang Melayu Islam yang banyak dipengaruhi oleh ajaran-ajaran Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazali khususnya sejak ratusan tahun dahulu diterjemahkan dalam kelembutan, perasaan malu, sopan-santun, tata-tertib dan tolak-ansur dalam kehidupan ubudiah dan muamalah orang Melayu dengan orang lain.

Keistimewaan sifat, perangai dan tingkah laku umat Melayu Islam ini tidak mungkin boleh kita pisahkan dari sifat-sifat kesempurnaan Nabi Muhammad SAW yang telah membenih, mengakar dan merimbun dalam diri peribadi orang Melayu. Para ulama silam nusantara dengan segala hikmah kebijaksanaan mereka mengolah dan mencanai jiwa/nafsu/ego dan diri orang Melayu supaya mengikuti, menepati dan menghayati keperibadian Baginda SAW dengan selawat, maulid dan qasidah dengan tujuan akhirnya menjadikan umat Melayu Islam sebagai ‘muhibbin’ atau pencinta Rasulullah SAW.

Ketika ini, muncul fenomena dan obsesi mempersoalkan kedudukan hadis dan bukan hadis Nabi Muhammad SAW dalam melaksanakan ibadah dan muamalah di kalangan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun fenomena dan obsesi ini bukanlah menjadi kelaziman atau tradisi bagi ajaran Islam di rantau Kepulauan Melayu sepanjang ratusan tahun sejarah perkembangannya di sini. Ini adalah fenomena dan obsesi baru yang didatangkan dari luar wilayah ini berdasarkan kepada aliran kefahaman Islam di sesuatu daerah yang berorientasikan kesahihan teks/matan hadis secara harfiah/literal sebagai satu-satunya cara mereka memahami dan menghayati Islam atau apa yang mereka sebut sebagai sunnah.

Meskipun fenomena dan obsesi terhadap hadis tidak menjadi kebiasaan ulama dan umat Islam di Kepulauan Melayu, bukanlah bermakna orang Melayu Islam buta hadis Nabi SAW dan para ulama nusantara jahil hadis Baginda SAW. Begitu juga tidaklah boleh kita menyangka golongan yang mencetus fenomena dan obsesi hadis ini sebagai benar-benar arif dan faqih lagi berhikmah dalam perkara ini. Kecenderungan kelompok neo-muhaddisin/neo-ahli hadis ini yang sering sahaja menggelar hadis-hadis yang dinukilkan oleh ulama nusantara sebagai hadis-hadis Melayu bukanlah bererti mereka lebih memahami hakikat dan matlamat hadis-hadis yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW tersebut. Golongan neo-muhaddisin/neo ahli hadis ini gagal untuk memahami Islam di Nusantara secara kefahaman dan penghayatannya lebih bertujuan melahirkan umat Islam sebagai insan-insan muhibbin atau para pencinta Nabi SAW bukannya umat neo-muhaddisin/neo-ahli hadis.

Fenomena dan obsesi mempertikaikan kedudukan hadis dan bukan hadis Nabi Muhammad SAW yang dinisbahkan sebagai hadis-hadis Melayu yang palsu ini juga dialami dalam penerimaan Kitab Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazali oleh kelompok neo-muhaddisin/neo ahli hadis semasa. Keseluruhan kekuatan dan keindahan Ihya Ulumuddin yang memberikan visi dan misi kehidupan Muslim yang sempurna diperlekehkan dan tertolak hanya kerana dakwaan terdapat terlalu banyak hadis-hadis daif dan palsu dalam karya agung Imam Al-Ghazali tersebut. Pengiktirafan umat Islam bahawa Imam Al-Ghazali sebagai ‘Hujjatul Islam’ ataupun Pembuktian Islam langsung tidak bermakna bagi kelompok neo-muhaddisin/neo ahli hadis ini semata-mata kerana Imam Al-Ghazali telah dianggap melakukan kesalahan menukil hadis-hadis daif dan palsu dalam mengarang Kitab Ihya Ulumuddin. Begitu jugalah para ulama nusantara dan kitab-kitab kuning mereka diperlekehkan dan ditolak oleh kelompok neo-muhaddisin/neo ahli hadis ini kerana mengambil hadis-hadis Melayu yang dikatakan tidak diketahui asal-usulnya.

Pokok persoalan yang cuba dikemukakan di sini ialah dalam kita mengungkapkan semula NARATIF ISLAM di Malaysia ini, apakah keutamaan bagi orang Melayu Islam ini dalam memahami dan menghayati salah satu dari 6 Rukun Iman iaitu beriman kepada para Nabi dan Rasul AS, khususnya dalam kita memahami kenabian atau nubuwwah Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Yang jelas tersurat dan tersirat dalam kitab-kitab muktabar akidah Islam perihal keimanan kepada Baginda Rasulullah SAW lebih merujuk bagaimana kita dapat menghayati dan menghidupkan ‘mahabbah’ atau kecintaan diri peribadi kita terhadap Baginda SAW, juga ahli keluarga Baginda dan para Sahabat dengan kita menanamkan sifat, perangai dan tingkah laku kesempurnaan Baginda SAW yang maaruf, ma’thur dan masyhur dalam mentransformasikan jiwa/nafsu/ego dan diri kita.

Kefahaman dan penghayatan keimanan kepada Rasulullah SAW dalam erti kata sebagai seorang muhibbin atau pencinta diri peribadi secara zahiriah dan rohaniah Baginda SAW dalam menghayati keseluruhan kehidupan Baginda SAW, yang penuh dengan kesempurnaan dan keistimewaan, sebelum dan selepas menjadi Rasulllah SAW malah peninggalan Baginda SAW sehingga ke hari ini berbeza sama sekali dengan pendekatan menjadi neo-muhaddisin/neo ahli hadis yang mengenal Rasulullah SAW sekadar melalui teks/matan hadis-hadis Baginda SAW. Terdapat jurang yang besar dalam hakikat dan matlamat keimanan kepada Baginda SAW melalui pendekatan seorang muhibbin dan seorang neo-muhaddisin/neo-ahli hadis.

Para ulama nusantara seperti juga Imam Al-Ghazali dengan penuh hikmah melihat bahawa visi dan misi Islam melalui keperibadian mulia lagi sempurna Rasulullah SAW jika ingin diterapkan kepada umat Islam bukanlah dengan pendekatan neo-muhaddisin/neo-ahli hadis yang tertumpu kepada soal kesahihan dan kedudukan hadis Baginda SAW. Perkara yang lebih utama bagi Imam Al-Ghazali dan para ulama nusantara ialah bagaimana sifat-sifat zahiriah dan rohaniah Baginda SAW tersebut diolah dan dicanai langsung dalam kehidupan seharian umat Islam dari kesempurnaan dan keistimewaan Nabi Muhammad SAW. Pendekatan muhibbin ini tertumpu kepada kefahaman dan penghayatan pembersihan dan penghiasan jiwa, adab, tertib dan hikmah dalam beribadah dan bermuamalah sesuai dan selari dengan pengharapan kepada barakah, syafaah dan nazrah Baginda SAW untuk kita diterima dan layak menjadi muhibbin yang sebenar.

Pendekatan keimanan muhibbin kepada Nabi Muhammad SAW inilah yang menjadi orang Islam Melayu unik dan berbeda dari segi tingkah laku dan sifat perangai mereka berbanding dengan orang Islam Arab semasa. Perasaan cinta kasih kepada Baginda SAW yang terpancar pada budaya selawat, maulid dan qasidah orang Melayu Islam inilah yang mencorak keimanan mereka kepada Baginda SAW berbeza dengan pendekatan neo-muhaddisin/neo-ahli hadis yang lebih bersifat fiqhiah-legalistik, jidaliah-polemikal yang kini sedang mabuk kuasa mencuba-cuba menunggang dan membonceng tampuk pemerintahan negara seperti yang kita saksikan ketika ini!

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts