BAKAL MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN WAJIB BERKELAYAKAN MENGEKALKAN NARATIF NUSANTARA SEBAGAI TENUNAN ISLAM ASLI UMAT ISLAM MALAYSIA
Pedoman terbuka dalam memilih bakal Mufti Wilayah Persekutuan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin.
Dr Amran Muhammad
Counter Narrative Centre for Countering Violent Extremism, Islamic and Strategic Studies Institute (CONCAVE-ISSI)
Kualiti tenunan yang asli terhasil dari gabungan jurutenun yang mahir menggunakan fabrik dari benang yang bermutu. Tenunan yang asli lagi berkualiti terbukti berkekalan lama, menarik pandangan mata serta menjadi sebutan dan ikutan orang ramai. Islam yang berkualiti tinggi juga terhasil dari tenunan kemahiran tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunannya dimanifestasikan oleh ratusan ulamanya yang tersohor, ribuan kitabnya yang muktabar serta jutaan umatnya yang terus menyebut dan mengikutnya sejak 1400 tahun yang lalu sehingga ke saat ini. Dalam konteks ini, umat manusia di alam Melayu tanpa diduga telah dianugerahkan keistimewaan yang tidak disangka dalam sejarah mereka dengan dipakaikan hasil tenunan tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam yang asli dan berkualiti tinggi dengan nama Tradisi Ahli Sunnah wal Jamaah bukannya sekadar Ahli Sunnah semata-mata seperti yang cuba dikelirukan oleh segelintir pihak hari ini.
Tenunan Islam tradisi Ahli Sunnah wal Jamaah di Kepulauan Melayu Nusantara yang dihasilkan dari fabrik dan jalur-jalur benang bermutu akidah Asha’irah, fekah Shafi’iyyah dan tasawuf Ghazzaliyyah sejak lebih 500-600 tahun yang lalu bukan sahaja telah mentransformasikan sifat zahiriah dan jasmaniah umat Melayu malah lebih penting telah merevolusikan sifat batiniah dan rohaniah mereka. Dengan tidak semena-mena melalui akidah Asha’irah, umat Melayu mengenal hakikat kewujudan yang pelbagai dari yang hakiki sehingga yang majazi. Dengan tiba-tiba melalui fekah Shafi’iyyah, umat Melayu memahami sifat dan kategori amal-perbuatan dari yang wajib di sisi agama sebagai bukti pengabdian sehingga yang sekadar adat kebiasaan masyarakat. Begitu juga halnya dengan tasawuf Ghazzaliyyah, umat Melayu menghayati nilai dan ahlak kehidupan yang tinggi dengan dialektika sifat mahmudah dan mazmumah yang mereka lalui selagi hayat dikandung badan.
Hasil tenunan Islam Ahli Sunnah wal Jamaah jalinan akidah Asha’irah, fekah Shafi’iyyah dan tasawuf Ghazzaliyyah yang membentuk visi dan wawasan semasa sebagai naratif nusantara ini bagi mendepani pergelutan dan pertempuran antara naratif-naratif Islam dan bukan Islam ketika ini jika ingin dibandingkan dengan gembar-gembur apa yang disebutkan Naratif Ahli Sunnah atau Naratif Ahli Hadith semata-mata itu jelas sangat mencolok mata-hati orang yang mengetahui sejarah kedua-dua naratif ini. Bila kita berbicara tentang sebuah naratif yang telah lama berakar, menjadi pokok dan menghasilkan buah untuk kehidupan individu dan kolektif umat Alam Melayu, naratif Ahli Sunnah atau naratif Ahli Hadith semata-mata bukan tandingan naratif Ahli Sunnah Wal Jamaah Asha’irah, Shafi’iyyah dan Ghazzaliyyah.
Untuk sekian lamanya Naratif Nusantara tenunan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan benang-benang Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazzaliyyah telah membina dan mencorakkan bukan sahaja pandangan dan pengalaman Islam umat Melayu malah telah mengatur dan menginstitusikan kegiatan-kegiatan politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan umat Melayu. Dalam istilah pemikiran dan peradaban, kita sebut Naratif Nusantara Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazzaliyyah telah mengemukakan keperluan-keperluan ilmiah bertahap tinggi seperti ontologi melalui Asha’irah dengan faham kewujudan, praksiologi melalui Shafi’iyyah dengan
faham amal-perbuatan dan aksiologi melalui Ghazzaliyyah dengan faham nilai dan kemuliaan insan. Kesemuanya ini terbina atas faham ilmu atau epistemologi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang memaknakan ontologi, praksiologi dan aksiologi kehidupan manusia sebagai “Kehidupan yang Rasional”.
Umat Islam ketika ini terutamanya umat Melayu di Alam Melayu perlu menginsafi dan menyedari cabaran sebenar kehidupan mereka lebih-lebih lagi bila kita menyaksikan depan mata-kepala kita tentang nasib kaum muslimin di wilayah geografi lain khususnya di negara-negara Arab Timur Tengah dan Afrika Utara, benua Indo-Pakistan-Bangladesh juga keadaan umat Islam di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia. Cabaran hakiki umat Islam sebenarnya
ialah mendepani cabaran dan serangan pemikiran dan peradaban, idea dan isme-isme dan juga nilai sains, teknologi dan organisasi politik, ekonomi dan sosial mereka. Ketika dunia pemikiran dan peradaban Barat sejak sekian lama tanpa henti-henti ingin melemahkan dan menjatuhkan kekuatan umat Islam, umat Islam masih lagi berpolemik tentang halal-haram, bidaah dan kesesatan sesama mereka.
Gagasan dan wawasan Naratif Nusantara tenunan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari benang-benang Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazzaliyyah dengan segala penambahbaikannya sesuai dengan perubahan zaman dan linkungan sudah mencukupi bagi umat Islam di Alam Melayu dallam menyediakan kita untuk menghadapi cabaran pemikiran dan peradaban Barat semasa. Naratif Nusantara tidak akan melemaskan dan mengheret umat Islam tentang bidaah yasin, maulid, tahlil, talkin dan segala macam hukum-hakam yang diobseskan oleh golongan Ahli Sunnah semata-mata itu. Naratif Nusantara tidak akan menyusahkan umat seperti golongan Ahli Sunnah untuk menjadi pakar-pakar hadis ‘mi segera’ dengan mendaifkan dan memalsukan hadis-hadis yang digunapakai umat Islam yang terbukti membina dan mengaturkan kehidupan mereka dengan penuh tertib.
Naratif Nusantara tidak akan mewujudkan fenomena membidaahkan, menyesatkan malah mentakfirkan sepertimana yang dilakukan oleh golongan Ahli Sunnah dalam mengharamkan mempelajari ilmu kalam dan falsafah, mengamalkan tarikat dan wirid-wirid, menziarahi perkuburan, memuliakan para wali dan pelbagai lagi yang boleh ditonton di Youtube secara berleluasa malah bermaharajalela!
Umat Islam wajiblah menginsafi dan menyedari ketika mana umat dunia pemikiran dan peradaban Barat telah dan sedang memanfaatkan segala potensi akal sebagai anugerah teristimewa untuk insan/manusia, umat Islam masih lagi berpolemik dan berbalah sama ada akal boleh atau tidak untuk memahami agama! Naratif Nusantara tenunan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan benang-benang Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazzaliyyah jelas sekali telah merumuskan perkara pengunaan akal ini dengan mengharmonikan antara keduanya akal dan naqal atau wahyu dan pemikiran. Dalam soal memanfaatkan warisan keilmuan dari mana juga mereka berasal juga merupakan tradisi amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang masih sukar untuk diterima oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai Ahli Sunnah sahaja ini.
Membina pandangan dan pengalaman Islam, mengatur kehidupan politik, ekonomi dan sosial umat, membina institusi pendidikan dan kebudayaan dan akhirnya melahirkan sebuah peradaban besar yang berkekalan bukanlah boleh dibuat dalam tempoh yang sekejap. Tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan segala kepelbagaian dan ciri-ciri inklusif dan keterbukaannya telah lebih 1400 berperanan meneruskan kesinambungan peradaban umat Islam. Faham atau aliran Ahli Sunnah semata-mata ini yang berusia dalam lingkungan 100—200 tahun ini belum memberikan apa-apa yang bermakna bagi umat dalam tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan mereka. Malah pecahan-pecahan dari golongan Ahli Sunnah ini seperti Taliban, Qaidah, ISIS, Salafi Jihadi dan segala macam itu jelas tidak membina apa-apa yang boleh dikatakan sebagai tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan malah kemusnahan dan penderitaan untuk umat Islam dan bukan Islam.
Umat Islam di alam Melayu wajar memikirkan pilihan naratif keislaman mereka. Jika mereka mahu meneruskan naratif yang telah sekian lama memaknakan kehidupan imaniah, amaliah dan rohaniah mereka, mereka mesti mengambil sikap dan pendirian untuk mempelajari dan mempertahankan Naratif Nusantara tenunan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan benang-benang Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazzaliyyah ini yang asli bagi umat Islam wilayah ini. Jika umat Islam di alam Melayu ingin memulakan cara-bagaimana untuk menghadapi cabaran ilmu dan pemikiran serta kehidupan dan peradaban barat yang sebenar-benar cabaran bagi mereka, mereka mesti tidak menyibukkan diri dengan soal-soal membidaah, mensyirik dan mengkafirkan orang Islam lain dan bukan Islam. Ini adalah zaman pertembungan pemikiran atau naratif akidah antara umat Islam melawan syubuhat dan kekeliruan pemikiran dan naratif ateis, agnostik dan anarkis bukan zaman polemik remeh-temeh tentang hadis sahih membaca qunut, yasin, tahlil, talkin dan doa!