ANTARA MAHKOTA KUASA ABRAHAH DAN KUMAN MAHKOTA ABABIL: MENGAPA TIDAK AMBIL IKTIBAR DAN HIKMAH DARI WABAK CORONAVIRUS?

454
SHARES
2.7k
VIEWS

Oleh Dr Amran Muhammad

Coronavirus atau literalnya ‘Kuman Mahkota’ yang telah menjangkiti lebih 6 juta manusia dan membunuh lebih 300,000 nyawa diuar-uarkan akan mencipta kelaziman/kebiasaan baru bagi umat manusia atau ‘new normal’. 

Bagaimanapun kelaziman atau kebiasaan baru yang dicanangkan ini nampaknya hanya sekadar perubahan rutin harian tingkah laku luaran semata-mata. Adakah kelaziman atau kebiasaan baru ini akan mengubah sikap, pemikiran, jiwa dan hati-budi umat manusia, sukar untuk dipastikan melihat kepada kelaziman atau kebiasaan lama yang masih terus berleluasa seperti sebelum wabak ‘Kuman Mahkota’ ini melanda kita semua.

Adakah penghayatan kuarantin selama 40 hari dan lebih itu yang dikatakan dipelopori oleh tokoh perubatan Islam Ibnu Sina dan penghayatan ibadah berpuasa sebulan Ramadan yang mulia pada waktu kuarantin tersebut benar-benar telah memberi kesedaran dan keinsafan baru kepada umat manusia khususnya umat Islam di Malaysia sukar untuk dirasai oleh kita semua.

Hakikatnya wabak politik tanah air semasa dalam merebut ‘Mahkota Kuasa’ melenyapkan peluang kita mengambil iktibar dan hikmah dari wabak ‘Kuman Mahkota’ bagi umat Islam di Malaysia sebaik sahaja selepas mereka berkuarantin dan berpuasa!

Sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya umat Islam ketika ini sedang mengharungi kepayahan dan kesempitan hidup kesan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan sehingga kini yang menutup mata pencarian dan sumber pendapatan mereka.

Di saat kesukaran ekonomi rakyat ini jugalah perebut-perebut ‘Mahkota Kuasa’ nampaknya saling tidak berhenti-henti mengatur langkah, tipu-daya dan perang saraf bagi mengejar puncak kuasa dan tampuk pemerintahan tanpa menawarkan sedikitpun simpati atau mencari jalan tuntas memperbaiki kedudukan ekonomi rakyat.

Para pejuang barisan hadapan sektor perubatan, keselamatan dan pertahanan ketika ini masih berhempas-pulas memutuskan rantaian dan rangkaian Covid-19 tanpa mengenal penat lelah berbulan-bulan lamanya di segenap pelusuk tanah air bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteran rakyat Malaysia terus terpelihara dari wabak ‘Kuman Mahkota’. 

Bukti kesungguhan para pejuang ini telah meletakkan Malaysia menjadi antara negara terbaik dunia dalam menangani krisis wabak Coronavirus. Malangnya ketika para pejuang barisan hadapan bertarung nyawa untuk kita semua, para perebut ‘Mahkota Kuasa’ pada setiap saat dan ketika saling mencari peluang dan ruang untuk menumbangkan satu sama yang lain.

Isu utamanya bukanlah soal mandat rakyat yang dahulu atau legitimasi kerajaan sedia ada buat sementara ini yang sering dimomok-momokkan, tetapi isu yang lebih utama ialah apakah pandemik global ‘Kuman Mahkota’ yang telah menjangkiti sekian ramai manusia dan membunuh sekian banyak nyawa serta melumpuhkan kehidupan ekonomi manusia tidak langsung mengajar rakyat Malaysia khususnya umat Islam apa-apa tentang keinsafan diri, tentang kesedaran iman, tentang pertolongan dan tentang peringatan Allah, tentang takdir dan ketentuan, tentang untung nasib orang lain, tentang pelbagai perkara yang dalam tradisi Islam disebut muhasabah, taubat dan kembali kepada Allah?

Terlalu keraskah hati umat Islam di Malaysia khususnya para perebut ‘Mahkota Kuasa’ ini sehingga tidak ada sesama mereka sekelumit kefahaman dan penghayatan tentang kesabaran, tolak-ansur, tempoh bertenang, reda atas ketentuan, buang yang keruh ambil yang jernih, membina masa depan yang lebih bermakna dan seumpamanya.

Bagaimana kuarantin lebih 40 hari dan puasa 30 hari tidak mendekatkan mereka kepada kesedaran dan keinsafan risalah kenabian tentang ketuhanan dan kebangkitan yang menjadi teras atau pokok utama keimanan yang berupaya merubah sikap, pemikiran, jiwa dan hati-budi sesama umat manusia jika mereka benar-benar memahami dan menghayatinya!

Mengapa kita tidak mengambil iktibar dan hikmah dari peristiwa gerombolan tentera bergajah Abrahah yang dimusnahkan oleh sekumpulan kecil burung Ababil yang menandakan kedatangan risalah kenabian atau nubuwwah dengan kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW.

Peristiwa Abrahah dan Ababil ini sangat menentukan dalam sejarah Islam sebagai kemunculan ‘new normal’, kebiasaan atau kelaziman baru justeru dinamakan Tahun Gajah, Tahun kematian “Mahkota Kuasa Abrahah” dan Tahun Kelahiran “Risalah Nubuwwah Nabi Muhammad SAW” dengan “Kuman Mahkota Ababil” sebagai pemisahnya.

Sekiranya umat Islam di Malaysia mengambil iktibar dan hikmah dari Peristiwa Abrahah dan Ababil ini sebagai ‘new normal‘, kelaziman atau kebiasaan baru pasca wabak Coronavirus ini sudah tentu kita mula menyedari dan menginsafi bahawa ‘Mahkota Kuasa’ atau perebutan kuasa politik yang tiada kesudahan ini perlulah diredakan jika tidak dimatikan buat sementara waktu sebagai tempoh-bertenang atau ‘cooling period’.

Manakala kesedaran dan keinsafan terhadap risalah nubuwwah yang terkandung bersamanya risalah ketuhanan atau Ilahi dan kebangkitan perlu mula dipupuk dan dikembangkan dalam kehidupan umat Islam di negara ini yang semakin hari semakin kering kontang dari jiwa mereka.

Justeru iktibar dan hikmah kematian “Mahkota Kuasa Abrahah” dan kelahiran “Risalah Kenabian, ketuhanan dan kebangkitan” mestilah diusahakan menjadi kelaziman atau kebiasaan baru dalam kehidupan pasca coronavirus umat Islam di Malaysia. Abrahah adalah lambang ketamakan dan kegilaan kuasa dan kepentingan politik. Abrahah dan tentera bergajah beliau adalah penzahiran kebongkakan dan keyakinan berlebihan kepada kekuatan fizikal manusiawi semata-mata untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu serakah manusia haiwani.

Ababil adalah lambang kekuatan dalaman yang tidak nampak zahir sekadar haiwan-haiwan burung kecil yang berterbangan tetapi menjadi mukjizat sebagai bukti kekuatan dan kebesaran Tuhan Maha Berkuasa. Ababil bukan sahaja memusnahkan kesombongan Abrahah tetapi juga menghancurkan batang tubuh Abrahah dan tentera bergajah beliau.

Ababil sepatutnya mengingatkan para pemburu ‘Mahkota Kuasa’ tentang kekuasaan Yang Maha Berkuasa yang murka kepada ketamakan dan kegilaan kuasa dan kepentingan politik. Ababil sewajarnya menginsafkan para perebut ‘Mahkota Kuasa’ mengenai kemurkaan Yang Maha Berkuasa kepada pemenuhan tuntutan hawa nafsu serakah tanpa batasan.

Inilah sebenarnya iktibar dan hikmah ‘Kuman Mahkota’ atau Coronavirus yang sepatutnya menyedarkan dan menginsafkan rakyat Malaysia khususnya umat Islam terutamanya para perebut ‘Mahkota Kuasa’ atau kuasa dan takhta tidak kira di sebelah manapun mereka berada.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts