KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
5 Mei 2020 | 12 Ramadan 1441 H
1. Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian seorang anggota Polis Koperal Safwan Muhammad Ismail dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang yang maut dilanggar oleh seorang pemandu yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol ketika bertugas di sekatan jalan raya berdekatan Plaza Tol Kajang Selatan Lebuh Raya LEKAS pada awal pagi Ahad 3 Mei 2020 yang lalu.
2. Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memandang serius insiden tersebut kerana insiden pengguna jalan raya dan orang awam maut dilanggar pemandu mabuk bukanlah pertama kali berlaku dan tidak sepatutnya berulang lebih-lebih lagi insiden tersebut berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berlangsung.
3. Pemuda PAS menggesa kerajaan untuk bekerjasama dengan pihak yang berwajib bagi mengemukakan cadangan yang holistik di dalam menangani isu ini. Sebagai suatu adaptasi kepada Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) maka Pemuda PAS mengemukakan beberapa saranan untuk dipertimbangkan sebagaimana berikut:
a) Pihak Kerajaan hendaklah meneruskan dan mempercepatkan proses pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta memperuntukkan hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan khususnya yang menyebabkan kematian.
b) Pihak Kerajaan hendaklah meminda peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi mengurangkan lagi had kepekatan alkohol (blood alcohol concentration) yang dibenarkan di dalam nafas, darah dan air kencing mana-mana orang yang memandu, cuba memandu atau menjaga sesuatu kenderaan motor.
c) Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hendaklah mengenalpasti dan mengawasi premis dan kawasan ‘hotspot’ yang menjadi titik mula kejadian kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk seterusnya membuat pemeriksaan terhadap mereka yang meminum arak bagi menguji tahap alkohol dalam badan.
d) Pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) hendaklah mempertingkatkan publisiti dan kempen kesedaran berhubung bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol khususnya di dalam media massa dan media sosial.
e) Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah mengawal dan mengehadkan permit dan lesen premis menjual arak seterusnya mengharamkan sama sekali segala bentuk penjualan secara terbuka khususnya di kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak, kedai runcit, pasar mini dan pasaraya.
f) PBT di setiap negeri hendaklah menggubal undang-undang kecil dan memperkenalkan kawasan larangan arak seterusnya mewartakan premis yang dibenarkan sebagai tempat penjualan, tempat untuk minum dan tempat yang dilarang untuk menjalankan sebarang aktiviti membabitkan arak termasuk promosi dan iklan sebagaimana yang dikuatkuasakan oleh semua PBT di bawah Kerajaan Negeri Kelantan.
4. DPPM menggesa pihak Kerajaan untuk mengambil tindakan yang tuntas dalam menangani isu kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh pemandu mabuk ini terutamanya yang melibatkan kehilangan nyawa orang awam dan pengguna jalan raya yang lain.
5. DPPM juga menggesa pihak PDRM untuk membuat siasatan bagaimana pemandu yang didakwa melanggar Allahyarham Koperal Koperal Safwan Muhammad Ismail tersebut boleh memandu dan berada tempat dan di luar waktu yang dibenarkan semasa perintah PKP sedang berlangsung.
AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
#PemudaPAS
#DemiIslam
#IslamMemimpinPerpaduan
#StayHome
#KitaJagaKita
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3558004620883381&id=479387615411779