UTAMAKAN KEBAJIKAN MAHASISWA, SEMUA PIHAK HARUS MAIN PERANAN

378
SHARES
2.2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

3 Oktober 2020 | 15 Safar 1442 H

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia merasai kesukaran dan jerih payah yang terpaksa ditanggung adik-adik mahasiswa akibat keputusan penangguhan kemasukan ke sesi pengajian, seperti diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi semalam. Dalam keadaan yang sukar, pastinya keputusan yang sukar terpaksa dibuat bagi memastikan kebaikan untuk semua secara menyeluruh.

2. Pemuda PAS mendesak supaya setiap keputusan dan tindakan yang dibuat, sama ada oleh pihak kerajaan, pihak universiti atau mana-mana pihak sekalipun mestilah mengutamakan kebajikan mahasiswa. Golongan mahasiswa adalah yang paling terkesan dalam segala perubahan dasar dan polisi yang berlaku melibatkan pengajian tinggi. Justeru kebajikan mereka haruslah sentiasa diutamakan.

3. Sudah pasti ramai mahasiswa yang mengalami kesukaran, khususnya ketiadaan tempat tinggal dan kekurangan wang akibat keputusan penangguhan kemasukan yang dibuat dalam tempoh yang amat singkat. Oleh itu mahasiswa-mahasiswa ini harus dibantu. Pastinya kita tidak mahu adik-adik kita berlapar dan merempat kerana kelewatan kita dalam mengumumkan polisi dan tindakan.

4. Atas rasa penuh keprihatinan, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah memperuntukkan bantuan segera sebanyak RM15,000.00 bagi membantu mahasiswa-mahasiswa yang terkesan akibat penangguhan ini, serta terkesan dengan keadaan sepanjang wabak COVID-19. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga mengarahkan supaya semua Pemuda PAS di peringkat kawasan dan negeri menyediakan tabung infaq kecemasan khusus serta bantuan keperluan buat mahasiswa yang memerlukan bantuan kewangan atau tempat tinggal di kawasan mereka. Tidak kira sama ada mahasiswa itu tinggal di kawasan tersebut, atau yang belajar di institusi pengajian tinggi di dalam kawasan tersebut. Pemuda PAS Kawasan dan Negeri juga diarah untuk mendekati persatuan-persatuan mahasiswa dan pimpinan pelajar di universiti berdekatan bagi melihat keperluan yang boleh dibantu untuk meringankan beban mereka.

5. Dalam pada itu, suka Pemuda PAS ingin mengajak semua Menteri, Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Parlimen serta ADUN-ADUN PAS untuk bersama-sama membantu kami dalam hal ini. Penglibatan kepimpinan dalam membela kebajikan para mahasiswa adalah amat diperlukan. Biar mereka rasa bahawa kita turut bersama mereka, memahami dan merasai keperitan mereka, dan sentiasa ada dengan mereka. Bukan hanya rakyat jaga rakyat, tetapi kita jaga rakyat.

Sekian.

Ir. Khairil Nizam Khirudin

Ketua

Dewan Pemuda PAS Malaysia

#PemudaPAS
#MemimpinNegara
#KitaJagaKita

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts