PUNCA KEPADA JUTAAN RAKYAT MALAYSIA SALING BERCAKARAN SEMATA-MATA MENJAGA KEPENTINGAN PERIBADI MEREKA

3.5k
SHARES
10.6k
VIEWS

Semuanya bermula pada 2 September 1998 apabila Anwar Ibrahim dipecat keahliannya dari UMNO. Di sinilah bermulanya kemelut perang dingin sesama mereka; mereka bergaduh kemudian berbaik, kemudian bergaduh semula kemudian berbaik kemudian gaduh lagi, lepas itu berbaik semula… berlarutan selama 22 tahun dari tahun 1998 hingga 2020.

2. Semuanya kerana berebutkan kuasa dan pangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia. Inilah hakikat sebenarnya, manakala yang lainnya adalah perkara-perkara sampingan yang berlaku sepanjang pertelingkahan sesama mereka dengan keadaan tertentu melibatkan orang lain menjadi mangsa.

3. Kekalutan ini terus berlarutan berpanjangan, bukan hanya Anwar Ibrahim terpaksa menubuhkan satu parti lain, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi melawan kekuatan UMNO yang mempertahankan Dr. Mahathir yang masa itu adalah Presiden, malah Dr Mahathir sendiri juga kemudiannya terdesak dan terpaksa menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau BERSATU) kerana mahu menjatuhkan Dato’ Seri Najib yang masa itu adalah Presiden UMNO dan juga pemimpin BN (Barisan Nasional) dalam saingan sengit PRU-14.

4. Pakatan Harapan menang dan berjaya menumbangkan BN yang diterajui oleh UMNO buat pertama kali dalam sejarah tanahair sejak merdeka, setelah menguasai pentas politik Malaysia selama lebih 60 tahun.

5. Itupun setelah menggunakan segala bentuk propaganda yang menipu dan manifesto palsu, serta setelah PH berjaya mem-‘brainwash’ minda ramai orang Melayu untuk membenci UMNO. Dengan propaganda yang diulang-ulang melalui pendedahan skandal dan korupsi yang dikatakan pemimpin-pemimpin UMNO terlibat.

6. Senarai panjang maksiat yang sukar dipadam daripada catatan sejarah menjadi beban kepada UMNO apabila ada di kalangan pemimpinnya yang dikatakan terlibat dengan rasuah, zina, liwat, perempuan simpanan, bunuh, dan berbagai lagi selain amalan kronisme dan nepotisme yang seolah-olah sudah sebati. Dr. Mahathir sendiri dikatakan telah sekian lama mengamalkannya sehingga hati rakyat terutamanya orang Melayu hilang rasa hormat dan bangga untuk menghargai perjuangan UMNO yang terdahulu.

7. Dan apabila rakyat khususnya orang Melayu sudah mulai berpaling dan tertanam perasaan benci dan meluat dengan sikap segelintir pemimpin-pemimpin UMNO yang sengaja diperbesar-besarkan sehinggakan seolah-olah tidak ada ahli UMNO yang tidak terlibat – dari pemimpinnya hinggalah ke akar umbi.

8. Lanskap politik juga ketika itu turut berubah, kalau dahulu UMNO biasa menang dengan undi terbanyak daripada orang Melayu. Kali ini BN dan UMNO dan kehilangan lebih separuh penyokongnya kerana mereka sebahagiannya menyokong PKR, dan sebahagiannya menyokong BERSATU. Walhal asalnya penyokong PKR dan BERSATU adalah dari kalangan penyokong UMNO sendiri sebelum ini.

9. Begitulah kerosakan yang dilakukan oleh mereka berdua: Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim. Sedikit demi sedikit kekuatan dan kepercayaan orang Melayu yang dahulunya ada pada UMNO, kini terhakis secara perlahan-lahan oleh perbuatan tangan-tangan pengkhianat bangsa ini. Secara halus dengan mulut manis mereka berdua telah menghakis sedikit demi sedikit kekuatan orang Melayu dalam UMNO yang kini terpaksa bergantung kepada parti lain yang kelihatan seperti memperjuangkan orang Melayu di tanahair ini. Walhal parti-parti ini hanya bermain wayang semata-mata.

10. Kerana Anwar Ibrahim munculnya PKR dan kerana Dr. Mahathir muncul pula PPBM (BERSATU). Dan kedua-dua parti ini atau lebih tepatnya hanya mereka berdua sahaja, manakala yang lainnya hanya menumpang untuk kepentingan perut masing-masing sahaja, dan terpaksa juga bergabung bersama parti DAP untuk menjatuhkan parti UMNO parti keramat orang Melayu.

11. Dengan kekuatan ketiga-tiga parti ini, PKR, DAP dan BERSATU bergabung tenaga disertai dengan berbagai propaganda fitnah menipu dan palsu akhirnya mereka berjaya menguasai pentadbiran negara untuk tempoh 22 bulan. Orang Melayu harus sedar, setelah dilihat lebih 90 peratus orang Cina semuanya mengundi PH lebih tepatnya DAP dan calon-calon dari bangsa mereka sendiri. Orang Cina kekal dengan prinsip tidak akan mengundi melainkan calon Cina sahaja.

12. Kita tertanya-tanya, selama mana lagi orang Melayu mahu membiarkan diri mereka terus ditipu oleh PH? Bangkitlah wahai orang Melayu, sedarlah bahawa tiada bangsa lain yang akan mempertahankan nasib orang Melayu selain daripada orang Melayu itu sendiri.

13. Sudah sekian lama kita dikotak-katikkan oleh ahli politik yang hanya mementingkan diri mereka sendiri. Bukankah sudah terang lagi bersuluh, apabila mereka mahukan kuasa maka segala slogan yang enak didengar dihidangkan kepada kita. Tetapi apabila mereka dapat kuasa… segalanya senyap sunyi malah adakalanya mereka menyalahkan kita yang mengundi mereka.

14. Kita harus lebih peka, lebih kuat memperjuang dan membela nasib bangsa kita. Kita kena betul-betul serius dan bersungguh-sungguh menaikkan semula martabat bangsa kita. Jangan seperti orang politik yang manis di mulut tetapi busuk di hati. Kemenangan sebenar tidak akan tercapai apabila perjuangan semata-mata untuk habuan dunia. Jangan kemenangan kita itu dengan cara batil, dibimbangi kepenatan berusaha disudahi dengan tiada keberkatan.

15. Ayuh bangkit umat Melayu Islam, sedarlah generasi cucu cicit kamu mengharapkan pengorbanan kamu hari ini, di saat negara kini sedang berada dalam getir disebabkan kelibat mereka yang rakus mengaut keuntungan duniawi.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts