Majlis pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14 telah selesai dijalankan hari ini.
Pihak Istana Kedah memaklumkan bahawa Baginda Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebelum itu memperkenan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada awal hari ini dan berkenan melantik Sanusi sebagai Menteri Besar baharu bagi menggantikan Mukhriz.
Baginda turut memperkenan peletakan jawatan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang juga berkuat kuasa hari ini.
Sebelum itu Mukhriz telah mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar, selepas hilang majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikutan dua ADUN PKR yang hilang kepercayaan terhadap Pakatan Harapan.
Mukhriz pada sidang medianya di Wisma Darul Aman, turut mengumumkan peralihan kuasa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Kedah dan kedudukan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) turut gugur secara automatik.
Dalam alasan peletakan jawatannya, Mukhriz turut menyalahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang mendapat kecaman ramai apabila rakyat melihat alasan tersebut sebagai ‘lapuk’ dan sudah tidak relevan sama sekali.
Sebagai rekod, kerajaan Pakatan Harapan tumbang hanya selepas 22 bulan memerintah apabila Tun Mahathir tersalah langkah dengan meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu pada 24 Februari lepas.
Tindakan itu juga membuatkan Pakatan Harapan berkubur sekelip mata hasil dari percaturan politik yang salah.
Jika hendak mencari salah, Mukhriz hanya perlu menyalahkan ayahnya yang enggan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mengakibatkan kemelut politik tidak berpenghujung di negara ini.
Namun kemelut tersebut berakhir apabila YDP Agong memperkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.