SANUSI JANGAN JADI BADUT – DR. RAMALAN YUNUS 

503
SHARES
3k
VIEWS

Sudah tiba masanya untuk beliau jaga sikap dan bawa diri sebagai seorang menteri besar dan bukannya badut” – DYAM Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, disiarkan oleh Berita Harian pada 6 Oktober 2022.

Bukan kita sahaja sebagai rakyat biasa yang menganggap Dato’ Seri Sanusi Md Nor seperti badut, bahkan Tunku Mahkota Johor juga menganggap beliau seperti badut. Bukankah ini sesuatu yang cukup mengaibkan Istana Kedah dan seluruh rakyat negeri Kedah?

Inilah padahnya akibat terlalu celupar dan sering membuat kenyataan-kenyataan bodoh untuk meraih populariti sebagai seorang politikus. Seharusnya Dato’ Seri Sanusi Md Nor meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah demi menjaga nama baik Istana Kedah dan seluruh rakyat negeri Kedah.

Itulah tindakan yang terbaik yang harus dilakukan demi menegakkan standard “Kesopanan dan Kesusilaan” yang tinggi sebagai seorang pemimpin politik dan Menteri Besar.

Mulakanlah amalan dan budaya beretika, berintelektual dan bermoral tinggi dalam berpolitik demi masa depan rakyat dan negara ini. Sampai bila rakyat Malaysia perlu disajikan dengan aksi-aksi seperti badut sarkas oleh para politikus di negara ini?

Teguran dari Istana Johor itu seharusnya mengingatkan semua pihak untuk menjunjung tinggi prinsip kelima dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang terburuk dalam sejarah moden. Seharusnya para politikus lebih serius mencari solusi untuk memulihkan keadaan ekonomi negara.

Lalu kenapa masih terus berselera untuk bersengketa? Apakah itu untuk membela nasib rakyat atau untuk membela nasib sendiri?

Pasca PRU-15 apabila tiada gabungan parti-parti politik yang mendapat majoriti mudah bukankah itu menunjukkan bahawa politik dan demokrasi sudah gagal? Lalu mahu apa lagi?

Lantas apabila Istana Negara menitahkan agar sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk bukankah itu merupakan peluang keemasan untuk semua pihak bersatu dan berkerjasama untuk memulihkan keadaan negara ini? Malangnya apabila ada segolongan rakyat yang enggan mematuhi titah Istana Negara maka peluang keemasan itu terlepas begitu sahaja.

Lebih malang lagi apabila golongan yang menentang titah tersebut ialah golongan yang kononnya memperjuangkan Islam dan Melayu di negara ini. Kalau titah YDP Agong yang menjadi Ulil Amri di negara ini tidak mahu dipatuhi lalu perjuangan Islam dan Melayu bagaimana yang ingin diperjuangkan lagi?

Pada bahagian mana dalam ajaran Islam yang membenarkan umat Islam menderhaka kepada Ulil Amri? Pada bahagian mana dalam adat-istiadat dan budaya orang Melayu yang membenarkan mereka menderhaka kepada Raja?

Kepada golongan yang masih mahu terus mengecam Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai peliwat dan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai penyamun, berhati-hatilah. Mereka dilantik oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan dengan perkenan dari Majlis Raja-raja Melayu sebagai solusi kepada konflik politik yang berpanjangan.

Kita jangan lupa bahawa mereka bukan dipilih oleh rakyat. Majoriti rakyat Malaysia telah menolak mereka pada PRU-15. Itu menunjukkan bahawa takdir Allah SWT yang telah meletakkan mereka di singgahsana kekuasaan negara.

Lalu kenapa tidak kita ambil pengajaran dan pelajaran dari peristiwa politik yang cukup besar dan istimewa ini? Seharusnya kita bersyukur ke hadrat Allah SWT dan menjunjung kasih kepada Duli-Duli Tuanku Raja-raja Melayu kerana menganugerahkan kita dengan Kerajaan Perpaduan.

Bukannya terus mengecam dan memperlekeh takdir Allah SWT dan anugerah Raja-raja Melayu. Itu tidak beriman dan kurang siuman namanya.

Perbuatan mengecam dan menghina mereka boleh dianggap sebagai perbuatan menghina Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu. Kalau tidak mampu menjadi rakyat Tuanku yang baik sekurang-kurangnya janganlah menjadi rakyat yang derhaka kepada Tuanku dan terus menghina anugerah baginda.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

22 Julai 2023

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts