Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Jho Low sangat ‘rapat dan akrab’ kerana sepinggan nasi goreng yang dimasak oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB bernama Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Kisah menggelikan hati seperti kisah kartun dan jenaka sahaja tetapi inilah kenyataan saksi di mahkamah demi menyabitkan Najib dan Jho Low sebagai kenalan rapat.
Shahrol yakin 100 peratus Jho Low sangat baik dengan Najib apabila masakan nasi gorengnya diminta ‘tapau’ oleh Jho Low untuk dibawakan kepada Najib bagi menjamunya.
Sungguh ‘kartun’ seorang pegawai tinggi GLC bertaraf CEO boleh percayakan kisah sebegini yang sekali dengar boleh tahu kisah ini dibuat-buat atau hanya bergurau.
Lebih menggelikan hati apabila Shahrol mengemukakannya sebagai hujah di mahkamah selaku saksi, yang membuatkan beliau ditertawakan.
Shahrol mendedahkan bahawa beliau tidak menerima arahan daripada Najib secara terus tetapi melalui Jho Low.
“Saya mempercayai Low kerana tindakannya … Najib berada di sekitarnya sejak awal. Dia nampaknya mempunyai akses (kepada Najib).”
“Satu anekdot yang dapat saya berikan kepada mahkamah, saya terkenal membuat nasi goreng yang enak. Saya memberikan sebahagian kepada Jho Low, dan dia bertanya kepada saya apakah dia boleh membawa beberapa kepada Najib.”
Namun peguambela Najib, Tan Sri Shafee Abdullah tidak yakin bahawa Najib benar-benar mencuba masakan Shahrol, sebaliknya nasi goreng tersebut yang kononnya akan diberi kepada Najib itu dimakan sendiri oleh Jho Low.
Shafee: Adakah Najib pernah berkata kepada anda “Shahrol, nasi goreng tu sedaplah”.
Shahrol: Tidak, beliau tidak pernah berkata demikian.
Shafee: Jadi anda mempunyai keyakinan yang penuh terhadap Jho Low. Tiada apa yang boleh membuatkan anda mempertikaikan beliau?
Shahrol: Ya.
Shahrol: Saya akan buat satu (nasi goreng) untuk anda.