Selepas insiden Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya memecat 5 individu secara serentak iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang memberi kesan rantaian kepada pemecatan Suhaimi oleh bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya, terkini Tun Mahathir pula ingin memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Rujuk: https://editormalaysia.com/15304/
Nampaknya masing-masing menggunakan kedudukan dan kuasa masing-masing namun pemecatan dalam Bersatu ini sangat cacamarba. Tidak diketahui siapakah sebenarnya yang layak memecat siapa walaupun secara jelas Tun Mahathir dan empat yang lain itu bukan lagi Bersatu ketika ini kerana Bersatu kini bukan lagi sebahagian daripada Pakatan Harapan seperti ketika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu memainkan peranan segera dengan menjelaskan kepada umum siapakah yang sebenarnya kini layak menerajui Bersatu dan jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh ROS selepas itu hendaklah berlapang dada menerimanya ataupun boleh membawanya ke mahkamah untuk mencabar keputusan ROS.
Jika ROS menyebelahi Muhyiddin maka Tun Mahathir dan individu yang menyokong beliau boleh memohon untuk menjadi ahli DAP seumur hidup dan kemungkinan Tun Mahathir akan diberi jawatan tinggi setaraf Lim Kit Siang bagi menghormatinya yang memecah belahkan bangsa Melayu dan UMNO sehingga mewujudkan banyak persengketaan sejak sekian lama.
Jika ROS mendapati Tun Mahathir sebagai penerajunya yang layak maka Muhyiddin juga perlu berlapang dada dan beliau serta penyokong-penyokongnya boleh menubuhkan parti baharu bersama Azmin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan lain-lain yang menyokongnya. Mereka boleh juga memohon untuk masuk kembali UMNO dan terpulang kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan UMNO lainnya sama ada ingin menerima mereka kembali ataupun tidak.
Kemungkinan besar UMNO tidak mahu campur tangan dalam kemelut dalaman Bersatu ini ditambah dengan komitmen Barisan Nasional hanyalah menyokong Perikatan Nasional sehingga PRU-15 demi menyelamatkan negara daripada kemusnahan yang dibuat oleh Pakatan Harapan sebelum ini dan melihat negara kembali stabil – demi agama, bangsa dan tanahair.
Namun kebarangkalian pasukan Muhyiddin akan disahkan sebagai mereka yang lebih layak meneraju Bersatu oleh ROS, maka jika dilihat cara kepimpinan Tun Mahathir, beliau tidak akan menerimanya dengan mudah dan akan mencabar keputusan ROS di mahkamah.
Walaupun mungkin ia akan berlarutan selepas itu tetapi setidak-tidaknya selepas ROS membuat keputusan, rakyat sendiri boleh menilai betapa kemaruk kuasanya Tun Mahathir.
Sehingga ‘meroyan’ teruk ingin mendapatkan kembali apa yang telah ‘dirampas’ daripadanya oleh beliau sendiri yang tersilap langkah meletakkan jawatan dan mengakibatkan kerajaannya tumbang dengan serta merta.
Sebenarnya kebodohan kerana tersilap langkah inilah yang tidak dapat diterima oleh Tun Mahathir dan Pakatan Harapan sehingga ke hari ini.