Dunia politik hari ini semakin banyak menimbulkan persepsi negatif apabila seringkali menimbulkan perkara kontroversi terutamanya apabila melihat kepada sikap beberapa politikus yang seringkali berubah-ubah pendirian, akhlak yang buruk dan tiada prinsip dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
2. Sikap buruk ini dapat dilihat apabila politikus yang oportunis menzahirkan sisi hodoh sistem demokrasi. Kononnya mereka adalah wakil-wakil rakyat dipilih bagi memperjuangkan suara rakyat, hakikatnya rakyat yang diperkudakan. Setelah puas menabur janji dan fitnah melalui pilihanraya, golongan politikus ini telah diangkat sebagai pemimpin dan terus melupakan dan membelakangkan janji-janji yang telah dibuat. Harga diri seorang wakil rakyat dengan mudah tergadai kepada sesiapa yang mampu menawarkan laba harta dan jawatan tinggi.
3. Kejelekan kemelut ini telah menyebabkan kerajaan yang diberi mandat dalam pilihan raya boleh musnah dalam sekelip mata. Pertukaran kerajaan dalam masa yang singkat adalah petunjuk bahawa pengamalan politik negara dalam keadaan yang kacau-bilau dan tidak beretika. Ini tentunya memburukkan imej Malaysia di mata dunia.
4. Ketidakstabilan ini menimbullkan pelbagai kesan buruk. Yang paling terkesan ialah ia mengganggu orientasi dan fokus kakitangan awam kerajaan dalam mentadbir ke arah mencapai matlamat pembangunan negara. Tanpa kepimpinan yang teguh, polisi dan dasar negara tidak dapat ditentukan dan dilaksanakan sedangkan pembangunan negara perlu dilihat dalam jangka masa yang lama.
5. Selain itu, ketidakstabilan politik hari ini boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi, dengan hilangnya keyakinan para pelabur dalam bentuk pelaburan terus (direct investment) dan menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran saham. Keadaan ini seterusnya akan mempengaruhi pergerakan mata wang negara dan rantaian ekonomi secara keseluruhannya. Dengan keadaan ekonomi yang sudahpun buruk akibat wabak Covid-19, tidak mustahil Malaysia bakal bertambah malang lagi apabila dibebani oleh perkara yang tidak perlu seperti perebutan kuasa politik ini.
6. Malah apa yang lebih memburukkan adalah apabila wakil-wakil rakyat dilihat boleh dibeli, ini akan membuka ruang kepada pihak-pihak luar untuk campur tangan dalam politik negara dan mewujudkan ancaman dari sudut geopolitik negara.
7. Malangnya pemimpin yang sudah ‘kerak basi’ ini masih buta untuk memahami bahawa rakyat milenium sudah bijak menghidu ‘bau busuk’ yang biasa dijadikan hidangan apabila menjelangnya pilihan raya kemudian dicampak ke tong sampah apabila kuasa sudah berada dalam tangan. Itu belum lagi dengan gimik manifesto dan janji-janji manis yang digula-gulakan kepada rakyat. Namun, tidak dinafikan juga dalam keadaan begitu masih ada segelintir golongan jahil murakab yang mudah termakan umpan basi ini, walaupun majoriti rakyat sudah celik dari buta-tuli politik basi ini.
8. Amalan tidak sihat ini harus dihentikan segera jika rakyat mahu mencapai kemajuan dalam pembangunan negara. Perebutan kuasa “PM” demi kepentingan peribadi dan anak-beranak jelas menjuruskan negara ke dalam huru-hara politik. Retorik dengan slogan “suara rakyat” atau apa slogan sekalipun ia tidak lebih daripada propaganda politik semata-mata bagi mengaburi mata rakyat.
9. MUAFAKAT bersyukur dan sedikit lega apabila perancangan pihak pembangkang yang mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tergendala dan gagal ketika berlangsungnya persidangan pembukaan Parlimen pada 18 Mei yang lalu oleh YDPA. Jika dibiarkan perkara itu berlaku, tidak mustahil kerajaan akan bertukar lagi dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikembalikan semula kepada kerajaan PH yang gagal teruk dalam banyak perkara selama berkuasa selama 22 bulan hingga menjahanamkan negara. Persoalannya: benarkah rakyat mahu negara kembali ditadbir semula oleh golongan gagal teruk ini?
10. Rentetan dan kronologi sejarah berkenaan apa yang baru terjadi ke atas politik Malaysia adalah seperti berikut:
9 Mei 2018 – Yang Di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 setelah Pakatan Harapan memenangi PRU-14, sekaligus Tun Mahathir telah menyusun kabinet barunya dari pelbagai kementerian dengan pelbagai kaum atas nasihat yang dipersetujui dari semua parti dalam Pakatan Harapan.
24 Feb 2020 – Yang Di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan semula Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim sementara menanti siapa yang layak menggantikan kekosongan jawatan Perdana Menteri setelah Tun Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri secara mengejut.
27 Feb 2020 – Yang Di-Pertuan Agong menjemput semua Wakil Rakyat dari kalangan Ahli Parlimen hadir ke Istana Negara bagi mendengar sendiri pilihan mereka masing-masing siapakah yang layak menjadi Perdana Menteri menggantikan tempat yang dikosongkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
29 Feb 2020 – Yang Di-Pertuan Agong mengeluarkan Surat Lantikan Perkenan ke atas TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8.
1 Mei 2020 – Dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia.
15 Mei 2020 – Anwar Ibrahim mengaku mempunyai ‘numbers‘ atau cukup kerusi bagi membentangkan usul “Undi Tidak Percaya” terhadap PM pada Perasmian Majlis Sidang Parlimen yang akan berlangsung pada 18 Mei nanti dan sekaligus mengambil alih pentadbiran negara.
18 Mei 2020 – Yang Di-Pertuan Agong merasmikan pembukaan persidangan Parlimen yang ke-18 bagi tahun ini dan tiada sebarang usul dikemukakan ketika itu.
28 Mei 2020 – Keahlian Tun Dr. Mahathir Mohamed tergugur dari Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namun kekal sebagai Pengerusi Parti Pakatan Harapan tanpa parti.
11. Dan sementelah itu Tun Mahathir bersama rakan-rakan pembangkangnya mulai membuat berbagai perancangan dan provokasi menuntut semula jawatan Perdana Menteri dan menuntut kuasa pentadbiran negara diserahkan kembali kepada gabungan PH. Terbaru, mereka mendakwa mempunyai cukup ‘numbers‘ untuk merampas kembali Putrajaya.
12. Dalam keadaan begini, MUAFAKAT mencadangkan 2 pilihan terbaik ke arah penyelesaian kemelut ini iaitu:
a) Pilihan pertama: Bubar Parlimen;
b) YDPA memutuskan kerajaan PN terus mentadbir negara sehingga tarikh PRU-15.
13. Jika tidak, mereka yang kemaruk kuasa ini akan berterusan membuat onar politik dengan berbagai-bagai provokasi sehingga boleh menyebabkan kestabilan negara tergugat. Dan ini sangat tidak baik ke atas kerajaan PN dalam usaha mereka mahu menstabilkan bukan hanya ekonomi dalaman tetapi dagangan dengan luar negara.
Selain itu saranan oleh wakil NGO yang berpendapat Malaysia perlu mempertimbangkan kerajaan semi-demokrasi wajar diterokai dan dipertimbangkan. Saf kepimpinan dan jemaah menteri wajar diberikan kepada penjawat awam dan juga golongan profesional. Ini adalah salah satu usaha yang boleh diambil bagi mengurangkan “political fluctuation” yang kini berlaku di Malaysia dan memberikan tugas dan amanah kepada individu yang layak.
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT