Mungkin ada yang tidak kena dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Haji Abd. Latiff Bin Ahmad yang juga Ahli Parlimen Mersing daripada parti UMNO yang kemudiannya melompat masuk ke parti Bersatu bersama 5 “rakan-rakan seperjuangan” yang lain.
Jika sebelum ini beliau menyifatkan kumpulan 6 orang yang melompat masuk parti Bersatu ini sebagai kumpulan “Enam Jahanam yang berani” termasuk Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang kini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ikmal Hisham yang kini Timbalan Menteri Pertahanan, Rosol Wahid, Shahabudin Yahaya dan juga Fasiah Mohd. Fakeh.
Rujuk artikel “Hanya 6 Jahanam Yang Berani Keluar UMNO” –https://m.malaysiakini.com/news/46099
Namun hakikatnya kenyataan tersebut amat menggelikan hati dan mengundang pertanyaan ramai kerana sama ada 6 Jahanam ini benar-benar berani ataupun sebenarnya takut dikenakan tindakan? Ini kerana mereka hanya berani keluar UMNO setelah parti tersebut kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Rujuk artikel “Enam Jahanam: Berani Atau Takut? – https://editormalaysia.com/7258
Terkini beliau menyindir UMNO secara terbuka kononnya sudah tidak laku, sedangkan UMNO dan PAS selaku Muafakat Nasional sedaya upaya menyokong peralihan kuasa kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri kelapan apabila Tun Mahathir meletakkan jawatan dan mencetuskan krisis buat seketika – sebelum Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bertindak bijak memanggil semua 222 Ahli Parlimen bagi mendapatkan kesahihan siapakah yang mendapat sokongan majoriti tertinggi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.
Tanpa sokongan UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional yang telah dibentuk lebih awal, tentunya Muhyiddin sendiripun tidak akan berjaya menjadi Perdana Menteri dan Latiff tidak akan diangkat menjadi menteri.
Jika tidak mahu menghormati Muafakat Nasionalpun tidak mengapa, asalkan jangan membuat kenyataan yang boleh merosakkan hubungan dalam Perikatan Nasional – yang membuatkan banyak pihak termasuk rakyat yang memerhati sepanjang masa akan mula hilang rasa hormat terhadap Bersatu sedangkan Muhyiddin selaku Perdana Menteri sudah membuat pelbagai perkara yang baik untuk rakyat dan ekonomi negara.
Jangan biarkan menteri seperti Latiff ini berleluasa bercakap seperti “budak tidak cukup akal” – beliaulah yang mencetuskan polemik tetapi tiba-tiba pula berlakon kononnya memberi nasihat agar ‘jangan bercakaran’ sedangkan beliaulah yang cuba ‘menjahanamkan’ dan menjadi dalang mencucuk sesama Ahli Parlimen dalam Perikatan Nasional.
Apa yang beliau buat boleh menimbulkan ‘percakaran’ sebenar dan mujur UMNO bertindak matang dengan tidak melayan kerenah kebudak-budakan beliau. Perkara ini turut disindir Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan menjadi bahan ketawa ramai pihak terutamanya netizen.
Namun Latiff ‘terselamat’ kerana dari awal berkata tidak mempunyai media sosial sedangkan dalam dunia tanpa sempadan ini, seorang Ahli Parlimen apatah lagi yang bergelar menteri, jika tidak aktif atau tidak mempunyai media sosial, ia bukanlah satu tindakan bijak malah boleh dikatakan sebagai satu kebodohan.
Perdana Menteri perlu menegur Latiff agar jangan bersikap kebudak-budakan, yang terang-terangan tidak menjaga permuafakatan antara Muafakat Nasional dan Bersatu dalam Perikatan Nasional yang boleh mencetuskan masalah di kemudian hari kelak.
Sikap tidak matang beliau ini memualkan ramai pihak dan ini hanya akan menimbulkan kebencian rakyat terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional manakala Muafakat Nasional akan terus kukuh – kerana PAS dan UMNO sama-sama matang menjaga permuafakatan malah Piagam Muafakat Nasional telah lama dibentuk sebelum Langkah Sheraton diwujudkan.
Perjanjian ini malah lebih kukuh, lebih dihormati kerana dibentuk ketika waktu sukar dan ketika itu ditekan daripada segenap arah, ketika Pakatan Harapan masih lagi berkuasa dan bukannya selepas kerajaan Perikatan Nasional terbentuk.
Latiff dan Bersatu perlu lebih berhati-hati dan belajar menghargai semangat setiakawan.