Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
20 Julai 2020 l 28 Zulkaedah 1441
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) melahirkan rasa kecewa atas tindakan vandalisme yang menconteng mural yang dilukis di dinding U12 Shah Alam. Kejadian mengejutkan ini adalah tindakan yang tidak beradab bahkan memalukan kerana gambar yang diconteng tersebut merupakan tokoh pimpinan yang disifatkan sebagai barisan hadapan ketika negara berhadapan dengan kemelut politik tanah air serta pengurusan dalam menangani pandemik COVID-19.
2. Tindakan vandalisme tersebut jelas mencalarkan imej yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat Malaysia yang dikenali dengan sifat adab dan nilai sopan santun yang mulia. Sewajarnya tindakan vandalisme ini tidak berlaku di negara yang sedang membangun maju melainkan pelaku tersebut sama ada kurang siuman atau tidak waras.
3. Di saat dunia mengiktiraf pengurusan negara Malaysia antara salah satu negara yang terbaik dalam menangani pandemik COVID-19, namun ada pula ‘seseorang’ atau ‘segelintir’ yang bertindak dengan tindakan yang pastinya membuatkan seluruh rakyat negara marah.
4. Paling mendukacitakan apabila mural gambar SPB YDP Agong turut terpalit dengan contengan dan bahasa yang kesat lagi tidak senonoh. Jelas tindakan vandalisme ini telah melampaui garis sempadan yang tidak sepatutnya. Kebebasan dan demokrasi dalam negara tidaklah sampai ke tahap memalukan ini. Malah tidak bersetuju dalam isu sesuatu politik bukanlah dengan cara yang biadap!
5. DPPNS menggesa agar pihak polis dapat bertindak tegas menjalankan penyiasatan bagi mencari pelaku dan dalang di sebalik tindakan ini. Amat wajar pelaku dan yang terlibat dikenakan hukuman yang tegas agar menginsafi apa yang telah dilakukan tersebut kerana ia merupakan perbuatan yang merobek hati semua rakyat yang cintakan kesejahteraan dan keharmonian negara.
Demi Islam
Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah
Ustaz Hanafi bin Zulkapli
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
https://www.facebook.com/225685927482720/posts/3527390253978921/