Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bukti jelas
MTEM ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan di atas penubuhan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB).
Ia menjadi petanda pertama bahawa agenda ekonomi Bumiputera mendapat tempat tertinggi dalam kerajaan ini.
Persoalan kedua adakah MKB akan lebih berkesan daripada MEB yang ada sebelum ini?
Harapan MTEM, MKB akan mengambil iktibar daripada kejayaan dan kelemahan MEB serta DEB dengan
semangat dan kesungguhan baru yang luar biasa.
Laporan DOSM yang terkini jelas menunjukkan bahawa:
1. Pendapatan isi rumah Bumiputera masih corot berbanding masyarakat Cina dan India. Jika dibedah mengikut ‘decile‘ (setiap 10 peratus), Bumiputera corot pada setiap decile termasuk yang paling bawah atau yang termiskin. Negeri-negeri termiskin adalah negeri-negeri yang mempunyai paling ramai penduduk Bumiputera iaitu โ Kelantan, Sabah, Kedah, Pahang, Sarawak dan Perlis.
2. Jurang pendapatan isi rumah antara Bumiputera dengan Cina masih kekal dengan nisbah 0.72 :1 โ tidak berganjak sejak tahun 2009. Dari segi perbedaan absolut, jurang melebar lebih 2 kali ganda, iaitu dari RM15,432 setahun (1995) kepada RM33,624 (2019).ย
3. Bumiputera masih mempunyai kebergantungan besar terhadap gaji sebagai sumber utama berbanding dengan yang lain.
4. Hanya 20 peratus sahaja isi rumah Bumiputera memiliki aset yang memberi pulangan menokok pendapatan bulan isi rumah. Baki 80 peratus hanya bergantung kepada pendapatan dari pekerjaan dan perniagaan kecil-kecilan semata-mata dan tidak mempunyai aset. Dengan gaji Bumiputera hanya sebanyak RM2,300 sebulan (2018) dan dengan 60 peratus daripada isi rumah Bumiputera punyai baki pendapatan bulanan antara negatif dan RM1,000 sahaja โ kemungkinan besar isi rumah Bumiputera tidak akan mencapai apa-apa peningkatan bermakna dari segi aset kekayaan (wealth).
5. Berdasarkan ukuran ‘Ketidaksamarataan Gini’ (Gini Coefficient) kini bertambah tidak sama rata ke tahap 0.407 (2019) daripada 0.399 (2016)
Jika kita lihat dari sudut KDNK per kapita, Bumiputera hanya mencapai RM18,350 manakala bukan Bumiputera mencapai RM61,180 atau 3.4 kali ganda lebih besar (sumber: SAM 2014, DOSM)
Daripada segi pemilikan ekuiti (DEB): Pada tahun 2015, pemilikan ekuiti Bumiputera sektor korporat hanya tinggal 16 peratus jatuh dari 23 peratus pada tahun 2011 (sumber: WBK 2030)
Dalam erti kata lain, jika tidak ada tindakan radikal yang dilakukan dalam 10 tahun mendatang, orang Melayu dan Bumiputera akan terus mundur serta ketinggalan dalam menikmati kemakmuran negara. Dengan kesan pandemik Covid-19 ini, keadaan akan lebih terdesak dan mencabar bagi golongan Bumiputera.ย
Oleh itu harapan MTEM, MKB perlu melibatkan pelbagai pemegang taruh ekonomi Bumiputera termasuk NGO dan masyarakat sivil bukan sahaja dalam kalangan peniaga dan usahawan.
Persoalannya, apakah sasaran pencapaian ekonomi Bumiputera kali ini? Berdasarkan ekuiti di pasaran saham, pendapatan isi rumah atau sumbangan Bumiputera kepada KDNK?
MKB harus pastikan fungsi Teraju yang baru, tidak menggandakan fungsi agensi atau institusi yang sedia ada. Teraju baru juga perlu mengambil maklum kuasa akta atau undang-undang dan Perlembagaan Malaysia, bagi setiap agensi atau institusi yang sedia ada supaya semua pemegang taruh dapat berkerjasama untuk mencapai impak yang optimum terhadap ekonomi Bumiputera dan Melayu.
Kerajaan Perikatan Nasional perlu buktikan bahawa kejayaan program Bumiputera tidak lagi diukur dengan jumlah peruntukan belanjawan yang diberi tetapi keberhasilan kepada ekonomi negara.
Ia mestilah selari dengan WKB2030 yang tidak terhad kepada tindakan afirmatif tetapi juga pembangunan ekonomi yang strategik dan mampan disertai dengan penguatkuasaan yang lebih baik serta dilindungi daripada ketirisan atau kurang kompeten.
Oleh itu MTEM menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Redzuan untuk melihat kembali sasaran di dalam WKB2030 berdasarkan garis kemiskinan yang baru sebagai sesuatu yang wajar dipertimbangkan.
MTEM juga menyambut baik kenyataan YB Ong Kian Ming agar kerajaan perhalusi data Bumiputera supaya kerajaan dapat mengenal pasti strategi yang lebih sesuai untuk kumpulan yang berbeza untuk setiap negeri dan bukan sahaja untuk Sabah dan Sarawak.
Sindiket e-perolehan yang telah dibongkar SPRM baru-baru ini juga perlu menjadi sejarah yang hitam yang tidak boleh berulang semula. Ia adalah simbolik kepada segala ketirisan dan kegagalan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera selama ini.
Umum mengetahui MTEM pernah mencadangkan “Akta Anti Ali Baba” dahulu dan disambut baik di Kongres Bumiputera yang dianjurkan kerajaan yang lepas. Adakah MKB akan menggerakkan usaha memerangi gejala Ali Baba ini?
Hakikatnya komuniti ekonomi Bumiputera sudah bosan dengan pelbagai kongres dan seminar yang kita anjurkan jika aktiviti ini sekadar mengulangi kenyataan permasalahan yang sama. Kali ini bertindaklah dengan berani dan pantas supaya laungan kebangkitan ekonomi Melayu dan Bumiputera selepas ini tidak menjadi sia-sia dan retorik semata-mata.
Itulah harapan bangsa kepada pimpinan kerajaan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini. Masa untuk bertindak sudah tiba.
Ahmad Yazid Othman
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)