KEMELUT TABUNG HAJI: PENJUALAN ASET BUKAN PENYELESAIAN TUNTAS

420
SHARES
2.5k
VIEWS

Oleh Shehdi Hazrik Shamsudin

Ada banyak cara untuk menyelesaikan kemelut hutang Tabung Haji Plantation Bhd (THP) yang besar itu dan mengikut pengalaman saya dalam sektor perbankan komersial, solusi penjualan aset sepatutnya menjadi jalan terakhir walaupun ia jalan paling mudah selepas kegagalan beberapa kaedah penyelesaian hutang sesebuah syarikat.

Kita bercakap soal penjualan aset milik anak syarikat di bawah Badan Berkanun yang dijamin kerajaan, ditambah pula ia sebuah perbadanan tabung milik umat Islam sepenuhnya sudah pasti kita perlu jaga sensitiviti setiap penjualan aset milik TH tersebut.

Namun nasi sudah menjadi bubur apabila 14 anak syarikat Tabung Haji Plantation yang memiliki ladang kelapa sawit seluas 79,975 hektar dari keseluruhan 100,976 hektar telah diumumkan untuk dijual semasa pemerintahan Pakatan Harapan dengan alasan mahu menyelesaikan hutang yang tinggi.

Antara kaedah yang boleh dicadangkan kepada THP adalah dengan penstrukturan semula bayaran hutang anak syarikat THP berdasarkan perolehan semasa, dan ia boleh dilaksanakan dengan memindahkan hutang tersebut kepada pembiayaan baru dengan terma dan syarat yang lebih ringan beserta jaminan sukuk atau syer sedia ada.

Menurut Timbalan Menteri YB Ahmad Marzuk Shaary, 75 peratus hutang THP adalah dari TH sendiri, maka ia sepatutnya lebih mudah diselesaikan melalui rundingan bukan penjualan, ditambah pula isu sensitif umat Islam apabila Bumi Suria Ventures (BSV) telah diumum untuk dijual kepada syarikat bukan Islam iaitu Tamaco Plantation Sdn Bhd.

BSV mempunyai hutang sebanyak RM247 juta kepada THP melalui langganan sukuk dan wang ini datang daripada Tabung Haji iaitu “Parent Company” sendiri yang sepatutnya urusan pembaharuan terma hutang lebih mudah tanpa tempoh yang terhad malah strategi “write off” atau penghapusan sebahagian hutang juga boleh dilaksanakan mengikut strategi perakaunan. Tidak perlu sampai dijual di bawah paras harga pasaran sehingga RM170 juta sahaja.

Kaedah penyelesaian lain yang boleh dipertimbangkan adalah melalui “Merger and Acquisition” (M&A) yang bermaksud “Penggabungan dan Pengambilalihan”. Perlu difahami bahawa ia adalah 2 urus niaga yang berbeza iaitu ‘penggabungan’ yang bermaksud dua syarikat berasingan digabungkan menjadi satu syarikat bersama yang baru. Sementara itu, ‘pengambilalihan’ pula merujuk kepada penguasaan satu syarikat ke atas satu syarikat yang lain.

Penggabungan antara anak syarikat THP seperti THP-YT Plantation Sdn. Bhd, Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd boleh dilaksanakan tanpa melibatkan transaksi wang tunai tetapi lebih kepada mencairkan kekuatan aset dan aliran tunai setiap syarikat dan disatukan menjadi lebih kukuh, dan jika ia dapat dilaksanakan seluruh saiz ladang 6,514 hektar milik BSV dan 2,594 hektar milik THP-YT akan terus kekal menjadi milik THP.

Lazimnya, penggabungan dan pengambilalihan ini dilakukan untuk mengurangkan kos operasi, dan ia juga mampu membawa syarikat berkembang ke pasaran baru dan seterusnya meningkatkan pendapatan dan keuntungan syarikat. Penggabungan anak syarikat THP sangat mudah kerana ia dibuat dengan sukarela dan melibatkan syarikat yang mempunyai ukuran dan skop perniagaan yang hampir sama di bawah pemilikan yang sama.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts