TUN JUGAH: ‘APAI’ PENYATU BUMIPUTERA SARAWAK

409
SHARES
2.4k
VIEWS

1. Tokoh Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggung Jugah Anak Barieng merupakan antara tokoh terawal yang menyokong pembentukan Malaysia kerana mengetahui akan faedah yang bakal diperoleh oleh rakyat Sarawak dari pembentukan tersebut.

2. Beliau yang dilahirkan pada tahun 1903 di Rumah Panjang Sungai Merirai, Kapit, Sarawak tidak menerima pendidikan formal kerana pada ketika itu, pendidikan moden tidak dititik beratkan oleh Kerajaan Brooke. Namun pendidikan tidak formal berkaitan budaya masyarakat Iban, teka-teki, peribahasa, nilai-nilai murni serta kisah tauladan yang diterima dari ibu, Menti anak Melintang, ayah, Barieng anak Gawing serta datuknya, Melintang telah membuka mindanya dan menjadikan beliau sangat arif tentang budaya masyarakat Iban.

3. Satu hal yang amat dikagumi berkaitan Tun Jugah ialah mengenai ketajaman fikiran serta pandangan realistik yang dimilikinya walaupun tidak terlahir dari keluarga yang berpendidikan. Beliau juga mempelajari Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris melalui pergaulan dengan masyarakat luar.

4. Seawal usia 26 tahun, Tun Jugah telah menggalas tugas sebagai Penghulu bagi kawasan Merirai dan Baleh setelah dilantik ke jawatan tersebut pada 1 Januari 1928. Pada 24 April 1952 pula, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri (Majlis Undangan), sebelum menyandang jawatan sebagai Temenggong bagi bahagian Kapit pada 8 Februari 1955.

5. Pada tahun 1955 beliau dilantik sebagai Pengerusi bagi Majlis Daerah Kapit manakala pada tahun 1963, Tun Jugah dilantik sebagai Ahli Parlimen.

6. Beliau kemudiannya menggalas tugas sebagai Menteri Hal Ehwal Sarawak di peringkat Kerajaan Persekutuan antara tahun 1970 hingga 1974 setelah menang dalam pilihan raya dan pada 1 Oktober 1974, Tun Jugah telah dilantik sebagai Presiden Majlis Adat Istiadat.

8. Sifat kepimpinannya terbukti apabila beliau terlibat dalam mengadakan upacara Perdamaian Kapit 1924 antara orang Iban dengan Orang Ulu (Kayan, Kenyah dan Kajang) pada 16 November 1924.

9. Pada 15 Januari 1962, beliau telah mengadakan pertemuan dengan 51 orang Penghulu dan Pegawai Daerah di Kapit bagi mendapatkan persetujuan untuk menyertai Tanah Melayu, Sabah dan Singapura bagi membentuk negara Malaysia serta beliau telah diberikan sokongan penuh.

10. Tun Jugah merupakan entiti yang bertanggungjawab dalam mengasaskan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) pada tahun 1962 dan telah mengetuai Perikatan Sarawak yang dianggotai Parti PESAKA, Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA), Persatuan Cina Sarawak (SCA) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada tahun 1963 bagi menghadapi Pilihan Raya Pertama di Sarawak. Beliau merupakan tokoh penting yang berjuang bagi memerdekakan Sarawak melalui penubuhan Malaysia.

11. Tun Jugah juga pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa State Operation Committee (SOC) ketika negara menghadapi ancaman komunis dan pada tahun 1966, beliau turut terlibat dalam Rundingan Damai Indonesia-Malaysia di Bangkok, Thailand yang diketuai oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

12. Tamatnya Konfrontasi Malaysia-Indonesia, Tun Jugah telah mengadakan satu upacara perdamaian di Kapit, Sarawak dengan penglibatan semua Ketua Kaum Kayan dan Kaum Kenyah pada 11 Ogos 1966.

13. Maka tidak hairanlah beliau yang digelar ‘Apai’ atau ayah di dalam bahasa Iban ini dipandang tinggi sehingga diangkat menjadi wira agung yang menyatukan masyarakat Bumiputera di Sarawak, sekali gus menjadi antara individu penting yang mencorakkan masa depan Sarawak pada hari ini.

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts