Kementerian Pendidikan akan tetap meneruskan rancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selaras manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas, walaupun ditentang oleh banyak pihak termasuk pakar bahasa dan ahli akademik.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, “Sehubungan itu, saya tidak rasa ada sebarang percanggahan antara kita dalam perkara ini. Yang bercanggah hanya antara pihak Barisan Nasional (BN). UMNO kata lain, (Datuk Seri) Wee Ka Siong kata lain, MCA kata lain dan (Datuk Dr.) Asyraf Wajdi Dusuki kata lain.”
“Dalam Pakatan Harapan, kita tidak bercanggah kerana kita telah bersetuju dalam manifesto yang ada,” katanya kepada pihak media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Kementerian Pendidikan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Selain terlihat masih berpolitik walaupun telah menjadi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee tidak sewajarnya mengheret pihak lain dalam isu ini serta adalah satu kesilapan besar apabila beliau berkata dalam Pakatan Harapan tidak bercanggah kerana kita telah bersetuju dalam manifesto yang ada yang membawa erti apapun dalam manifesto adalah benar, baik dan 100% telah dipersetujui bersama walaupun ada antaranya yang tidak realistik.
Maka rakyat wajar menuntut agar pihak Pakatan Harapan berusaha bersungguh-sungguh menunaikan jani manifesto antaranya memansuhkan tol, menurunkan minyak ke harga RM1.50 bukan menstabilkan di paras yang tinggi seperti sekarang iaitu RM2.20, memansuhkan 50 peratus hutang peneroka Felda dan memastikan cukai SST yang akan menggantikan GST tidak akan menaikkan harga barang.
Sekaligus akan menurunkan harga barang serta meningkatkan kualiti kehidupan rakyat yang mampu membahagiakan rakyat kerana seperti kata-kata Dr. Maszlee, “Pakatan Harapan tidak akan bercanggah kerana mereka telah bersetuju dalam manifesto yang ada.”
Jika kelak kerajaan berdolak dalih berkaitan menunaikan janji manifesto, Dr. Maszlee wajar dicari untuk memberi pencerahan mengenai perkara ini dan menuntut beliau menunaikan kata-katanya.