SYED SADDIQ TOLAK ‘POLITIK TUA’ – BAHAGIAN 1

2.2k
SHARES
7.2k
VIEWS

Oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

Memang menarik apabila Syed Saddiq mahu menubuhkan parti baru yang tujuannya menolak ‘politik tua’ di Malaysia.

Saya mendoakan misi Syed Saddiq akan berjaya.

Apapun saya tetap ada kebimbangan. Bimbang Syed Saddiq menjadi terlalu idealis tetapi tidak realis. Menjadi idealis memang penting sebab itu adalah prinsip.

Tetapi Syed Saddiq patut seimbang antara idealis dan realis. Realiti sentiasa berubah. Ia berubah cepat terutama ‘realiti politik’.

Namun Syed Saddiq sudah sedia menerima realiti politik bila berkata, “Saya mungkin kehilangan kerusi saya, mungkin kehilangan segalanya. Saya akan belajar menerimanya”.

Di Indonesia terdapat sebuah parti dokongan anak muda yang Islamis, Parti Keadilan Sejahtera (PKS). Majoriti pemimpinnya adalah profesional seperti doktor dan peguam.

Semasa tragedi tsunami 2004, parti ini amat menonjol. Mereka menang banyak kerusi semasa PEMILU. Ramai juga yang menjadi Menteri.

Tetapi setelah ada kuasa dan berjawatan Menteri, beberapa pemimpinnya terlibat rasuah. Justeru imej parti itu mula merosot.

Sebab itu tidak kira siapa, muda atau tua, berpelajaran tinggi atau rendah, islamik atau sekular, bila ada kuasa dan jadi Menteri, prinsip perjuangan mudah tergadai.

Ramai orang agama hanyut bila masuk politik. Mereka bertambah hanyut apabila mendapat kuasa. Begitulah ganasnya politik.

Syed Saddiq pernah menjadi Menteri. Dia juga dilanda berbagai kontroversi termasuk kehilangan wang tunai yang banyak dalam rumah.

Dia juga banyak berkompromi dengan ‘politik tua’ yang sekarang dia mahu lawan. Sudah tentu politik tua itu dia pelajari daripada sifunya Tun Mahathir.

Sekarang bila hilang kuasa dia kembali mahu menjadi idealis iaitu politik “Muda Malaysia”.

Justeru kepada saudara Syed Saddiq, tidak ada beza ‘politik tua’ atau ‘politik muda’. Yang beza ialah orang tua dan orang muda. Mereka tetap sama kalau perangai sama.

Kadang-kadang orang muda lagi kuat mengamalkan politik tua. Sebab itu, yang membezakan ialah sama ada berprinsip atau tidak berprinsip.

Dengan kata lain, “pejuang atau pujawang”. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts