Semalam saya dan rakan-rakan telah menegur Menteri Besar dan Kerajaan PKR negeri Selangor kerana lima hari lepas mereka telah membuat keputusan untuk memotong separuh elaun pegawai-pegawai masjid daripada RM200 kepada RM100 sebulan seorang.
Selepas teguran ini, tengahari tadi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari telah membuat U-turn akan keputusan di atas dan tidak jadi memotong elaun pegawai-pegawai masjid ini.
Nasihat saya, lain kali jika mahu potong elaun sesiapa, potong dahulu elaun atau gaji Menteri Besar dan Exco Selangor yang berpuluh-puluh ribu itu dan jangan potong elaun orang-orang penjaga masjid yang bukannya banyakpun.
Saya juga ingin cadang supaya Menteri Besar Selangor dan Exco potong terus gaji dan elaun mereka sendiri dengan serta-merta kerana kegagalan mereka menangani masalah-masalah asas di negeri Selangor seperti masalah air yang kerap terputus, masalah pencemaran sungai yang serius, masalah kilang-kilang haram yang beleluasa, masalah premis-premis judi haram yang bertebaran dan sebagainya di negeri Selangor.
Menteri Besar Selangor dan Exco-Exco menerima gaji dan elaun yang tertinggi di Malaysia dan rakyat Selangor adalah pembayar cukai yang juga tertinggi di Malaysia, namun perkhidmatan yang diberikan oleh Menteri Besar dan kerajaan negeri kepada rakyat Selangor adalah amat tidak memuaskan seperti di atas berbanding negeri-negeri lain walaupun gaji mereka tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
Kepada Menteri Besar dan Exco-Exco kerajaan negeri Selangor, jika masih tidak boleh atau tidak mampu untuk menjalankan tugas, letaklah jawatan kerana ia tidak adil untuk rakyat, dan gaji besar yang diterima itu tidak berkat kerana amanah yang diberikan tidak terlaksana.
ISHAM JALIL
15 September 2020