PASCA PRN SABAH DAN PERSEDIAAN PRU-15: KESILAPAN DAN PENGORBANAN PAS-UMNO YANG TIDAK BOLEH DIULANGI

926
SHARES
5.4k
VIEWS

1. Parti WARISAN mencatat jumlah kerusi tertinggi

Keputusan penuh Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-16 yang telah dijalankan semalam menunjukkan Parti Warisan Sabah (WARISAN) mendapat sokongan tertinggi iaitu 23 kerusi diikuti oleh UMNO, 14 dan Bersatu dengan 11 kerusi. STAR pula menang di 7 kerusi diikuti dengan PBS dan DAP masing-masing 6 kerusi.

PKR pula yang Presidennya sebelum ini membuat pengumuman mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen hanya berjaya mendapat 2 kerusi manakala bakinya UPKO 1 kerusi dan bebas 3 kerusi.

Namun jika mengikut kiraan melalui gabungan parti politik, Perikatan Nasional (PN) memperoleh kerusi yang terbanyak iaitu 38 diikuti dengan Warisan+ memperoleh 32 dan 3 bakinya adalah bebas.

2. Hajiji atau Shafie Apdal akan menjadi Ketua Menteri Sabah?

Persoalan siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah pula dilihat akan mencetuskan sedikit kemelut kerana kesetiaan beberapa ADUN yang pernah melompat sebelum ini diragui apatah lagi Warisan+ akan berhempas pulas mencari jalan untuk terus memerintah Sabah, sekaligus menyampaikan mesej kepada semua bahawa Pakatan Harapan masih relevan.

Sehingga awal pagi tadipun Shafie dilihat masih belum mengosongkan Pejabat Ketua Menteri Sabah, seolah-olah beliau masih berusaha sesuatu.

Sama juga di blok Perikatan Nasional di mana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah memberikan gambaran sebelum ini bahawa pembubaran Parlimen akan dibuat berdasarkan keputusan PRN Sabah.

Maka beliau akan memastikan calon Ketua Menterinya daripada parti Bersatu-Perikatan Nasional dan bukannya UMNO-Barisan Nasional yang memperoleh kerusi lebih tinggi, bagi menunjukkan partinya yang kecil tetap relevan dan ‘berkuasa’ – walaupun akan mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan gabungan Perikatan Nasional-Muafakat Nasional. 

3. Bersatu awal-awal canang mereka paling layak sebagai Ketua Menteri

Naratif mengenai Ketua Menteri daripada Bersatu telahpun ‘didendangkan’ sebaik sahaja keputusan PRN Sabah diperoleh, dengan memberikan alasan bahawa Perikatan Nasional memiliki majoriti lebih daripada Barisan Nasional melalui Bersatu-Star dengan 17 kerusi berbanding Barisan Nasional hanya 14 kerusi dan 7 kerusi PBS dilihat sebagai penentu tetapi Bersatu yakin sokongan akan memihak kepadanya memandangkan mereka memiliki kuasa ‘bargaining power‘ lebih daripada UMNO.

Selain Muhyiddin sendiri sebelum ini memberi gambaran mahukan calon Bersatu, Hajiji menjadi Ketua Menteri Sabah yang mendapat kecaman ramai.

Hajiji juga berkata siapa Ketua Menteri Sabah akan diumumkan tidak lama lagi. 

4. Kesilapan besar UMNO

Penganalisa politik melihat kesilapan besar UMNO apabila hanya bertanding di 42 buah kerusi berbanding 73 sebelum ini, yang dikorbankan untuk mengelak pertembungan sesama sendiri.

Namun pengorbanan tersebut memakan diri apabila calon Bersatu yang tidak diminati rakyat Sabah berbanding Barisan Nasional, telah menyebabkan pengundi-pengundi bertindak menyokong Warisan+ selain daripada dilihat Bersatu hanya membolot kerusi, walaupun sedar akan kalah dan langsung tidak memberikan satu kerusi yang dikorbankan UMNO kepada PAS.

Ini sangat merugikan UMNO tetapi boleh dijadikan iktibar dalam membuat strategi pembahagian kerusi lebih praktikal dan menguntungkan UMNO di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Namun jika formula berkorban kerusi di PRN Sabah ini dikekalkan, sampai bila-bilapun UMNO dan Barisan Nasional tidak akan kembali memerintah. 

5. PAS berkorban, Bersatu pula ambil kesempatan ‘membuli’ rakan

Walaupun PAS telahpun menunjukkan kesetiaan dan semangat setiakawan kepada Bersatu apabila sanggup menyertai Perikatan Nasional walaupun sudah bersama UMNO di Muafakat Nasional, namun tetap tidak dihargai oleh Bersatu.

Mujurnya pimpinan PAS mampu bersabar walaupun ‘dibuli’ Bersatu dan berjaya menenangkan ahli-ahlinya yang mematuhi pimpinannya, namun sikap Bersatu yang ‘suka membuli’ dan tidak menghargai rakan dalam gabungan ini wajar dihentikan.

6. PAS dan UMNO jangan tersalah tafsir erti pengorbanan demi agama, bangsa dan negara ‘versi’ Bersatu

PAS dan UMNO tidak boleh tersilap dengan persepsi yang dimainkan Bersatu melalui naratif “pengorbanan demi agama, bangsa dan tanahair” jika mereka sendiri langsung tidak mahu berkorban.

Ini menunjukkan pengorbanan yang diminta Bersatu itu sebenarnya hanya untuk parti mereka sendiri dan berselindung di sebalik pengorbanan demi agama, bangsa dan negara, dengan ‘menunggang’ kekuatan parti-parti lain. 

Bulian ini diilihat berterusan jika Bersatu tetap berkeras meminta Ketua Menterinya dilantik daripada parti mereka.

7. Awasi pemimpin-pemimpin yang “lebih sudu dari kuah”

PAS dan UMNO juga wajar berhati-hati dengan pemimpin-pemimpin mereka sendiri yang telah mula menunjukkan ‘kemanjaan’ kepada Bersatu yang tidak sedikitpun memberi manfaat kepada parti masing-masing kelak. 

Jika ahli parti masing-masing berjaya diyakinkan bahawa ia tiada apa-apa tetapi PAS dan UMNO tidak boleh lupa kepada pengundi-pengundi dalam kalangan rakyat biasa yang bukan ahli parti, yang melihatnya sebagai bibit-bibit pengkhianatan. 

PAS tentu lebih faham kerana pernah berlaku kepada mereka sendiri apabila ada dalam kalangan pemimpin tertinggi mereka sebegitu ‘manja’ dan lunak dengan DAP sebelum ini, yang akhirnya keluar dan mewujudkan Parti Amanah Negara (PAN).

8. Pemimpin bersih dalam kerajaan Perikatan Nasional hanyalah khayalan

Naratif Bersatu lebih bersih dan telah atau akan melantik semua pemimpin bersih sebagai Menteri Kabinet juga hanyalah khayalan semata-mata.

Perbandingan mudah, tidak mungkin Azmin Ali yang terpalit sandal seks sesama jenis, dilantik Menteri Kanan yang ‘paling kanan’, diangkat sebegitu tinggi seumpama Timbalan Perdana Menteri, adalah lebih bersih dibandingkan dengan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang tidak dilantik ke kabinet dan tidakpun mempunyai sebarang isu.

Maka apa yang Bersatu katakan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO seperti Zahid dan Najib langsung “tidak layak kerana tidak bersih” ini hanyalah retorik politik semata-mata. 

9. Apa yang PAS dan UMNO boleh belajar daripada ‘pengorbanan’ di PRN Sabah? 

Sudut positif pula, apa yang baiknya UMNO dan PAS boleh belajar daripada kesilapan ini tidak kira siapapun Ketua Menteri yang dilantik dan bekerjasama bersama lebih erat bagi menghadapi PRU-15 yang akan berlaku tidak lama lagi.

Jangan lagi berkorban tidak kena tempat, kerana Ahli Parlimen Bersatu walaupun menang, tiada jaminan Ahli Parlimen mereka tidak akan melompat semula ke kem Tun Mahathir dan Pakatan Harapan.

Tun Mahathir juga sudah menyuarakan hasrat tidak akan bertanding pada PRU-15 kelak tetapi tetap aktif berpolitik, maka pasti beliau dan Pakatan Harapan akan mengukuhkan kedudukan masing-masing sementara masih ada ruang dan kesempatan. 

10. Kesimpulan

PAS dan UMNO wajar bermuhasabah dan duduk semeja bermesyuarat pasca PRN Sabah bagi membuat ‘post mortem‘ apa yang berlaku. Sekalipun Ketua Menteri dilantik daripada gabungan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, jangan terlalu gembira kerana hakikatnya ia tetap tidak menyelesaikan sebarang masalah selagi PRU-15 tidak diadakan. 

Jika asyik berkorban sehingga parti sendiri terkorban, lebih baik bertanding sahaja di semua 222 kerusi Parlimen yang ada.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts