UMNO UNDUR SETAPAK UNTUK MAJU JAUH KE HADAPAN

504
SHARES
1.6k
VIEWS

ANALISIS PILIHAN RAYA NEGERI SABAH KE-16

Oleh Shahbudin Embun

1. Debaran PRN Sabah telahpun berakhir dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentuk Kerajaan Negeri. Walaupun di atas kertas Warisan Plus mempunyai kelebihan untuk memenangi PRN tersebut namun akhirnya GRS ( PN dan BN) berjaya memenangi 38 kerusi, Warisan Plus 32 dan Bebas 3 kerusi. 

2. Dalam GRS, UMNO telah memenangi 14 kerusi, Perikatan Nasional memenangi 24 kerusi (PPBM 11, PBS 7 dan STAR 6). Manakala calon Bebas memenangi 3 kerusi yang akhirnya memberi sokongan kepada GRS.

3. Setelah beberapa siri rundingan, teka-teki siapakah Ketua Menteri Sabah terjawab dengan pelantikan Dato’ Sri Panglima Hj Hajiji Mohd Noor (PPBM Sulaman).

Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Dato’ Bung Mokhtar Radin terpaksa akur dengan pelantikan tersebut dengan beberapa syarat yang dipersetuju bersama iaitu:

a. Dato’ Sri Bung Mokhtar dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri.

b. UMNO diperuntukkan 4 jawatan Menteri, 6 Pembantu Menteri, Timbalan Speaker serta pelantikan dalam beberapa GLC.

4. Walaupun pada awal rundingan Bung Mokhtar berkeras mahukan jawatan KM diberikan kepada UMNO namun akhirnya terpaksa bersetuju dengan keputusan tersebut berdasarkan beberapa situasi berikut:

a. UMNO hanya memenangi 14 kerusi sedangkan Perikatan Nasional (PPBM, PBS dan STAR) memenangi 24 kerusi dan 3 calon Bebas juga secara bertulis menyokong Dato’ Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.

b. Diberitakan juga bahawa TYT Yang Dipertua Negeri Sabah hampir melantik Dato’ Sri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri berdasarkan perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah iaitu ‘single party’ yang terbesar memenangi pilihan raya negeri. GRS pula bukanlah gabungan parti yang berdaftar.

c. Di samping itu juga difahamkan bahawa14 ADUN BN mendesak Dato’ Sri Bung Mokhtar dengan apa cara sekalipun untuk berada dalam kerajaan baharu Sabah dan tidak mahu duduk sebagai pembangkang.

d. ADUN BN juga telah dihubungi oleh Dato’ Sri Shafie Apdal untuk bergabung dan ditawarkan pelbagai jawatan. Namun ditolak disebabkan tidak mahu bersekongkol dengan DAP.

5. Walaupun UMNO Sabah dilihat mengalah, namun situasi tersebut telah difikir semasak-masaknya dengan mengambil kira beberapa faktor seperti berikut:

a. Adalah lebih baik berada dalam Kerajaan berbanding sebagai pembangkang untuk menghadapi PRU-15 yang lebih mencabar.

b. Fokus kepada pembangunan Sabah yang telah terabai semenjak jatuhnya BN selepas PRU-14.

c. Kebajikan rakyat Sabah boleh diberi perhatian sekiranya UMNO berada DI dalam Kerajaan.

6. DI dalam PRN Sabah kali ini beberapa perkara yang harus diambil perhatian, antaranya adalah seperti berikut:

a. Daripada 32 DUN yang dimenangi Warisan Plus, 21 kawasan adalah majoriti bukan Bumiputera. Ini jelas menunjukkan bahawa majoriti Bumiputera masih bersama PN dan BN.

b. Terdapat unsur-unsur sabotaj dalaman untuk melemahkan BN dengan meletakkan calon-calon Bebas yang ‘mesra PN’ di 8 DUN yang ditandingi UMNO. Hal ini kerana pada awalnya UMNO diramal mampu memenangi lebih 20 kerusi seterusnya menjadi parti yang dominan di dalam GRS.

c. Warisan Plus tidaklah sekuat mana, sepatutnya GRS boleh mendapat kemenangan yang lebih besar tetapi kurangnya kesepaduan di pihak GRS menyebabkan hanya kemenangan tipis sahaja.

d. Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah membuat keputusan yang betul dengan memberi kuasa autonomi kepada UMNO Sabah. Bung Mokhtar sebagai Peneraju UMNO Sabah juga bolehlah dianggap ‘Panglima Perang’ yang kental dengan sikap wira sejati.

7. Takdir telah menentukan UMNO hanya memenangi 14 kerusi, namun pujian harus diberikan kepada seluruh jentera UMNO BN yang diketuai oleh Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Bung Mokhtar Radin yang berjaya menempuh berbagai rintangan demi memenangkan calon-calon BN.

Ucapan penghargaan juga kepada semua jentera-jentera parti dan tidak ketinggalan ‘Bossku’ Dato Seri Mohd. Najib Tun Razak yang tidak tahu penat lelah merentasi seluruh bumi Sabah untuk membantu. Walau apapun situasinya, UMNO BN seharusnya ‘move on‘ dan berlapang dada serta terus memberikan tumpuan kepada PRU-15 dengan memperkukuhkan Muafakat Nasional bersama PAS.

Semoga kemenangan bergaya kita di Sabah akan menjadi pembakar semangat pada PRU-15 yang akan diadakan bila-bila masa selepas kita berjaya semasa PRK sebanyak 7 kali berturut-turut.

Iringan doa dan sujud syukur pada Mu Ya Allah atas reda Mu kami mencapai kejayaan demi kejayaan. Amin.

Coretan:

Shahbudin Embun

Pengerusi Biro Politik

Majlis Perundingan Melayu (MPM)

29 September 2020

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts