Oleh Isham Jalil
Saya telah dimaklumkan bahawa petang tadi PPBM telah meminta UMNO untuk menulis surat kepada Presiden PPBM merangkap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon apa-apa tuntutan.
Pada pandangan saya, arahan seperti ini adalah tidak membantu.
Jika PPBM serius mahu bekerjasama dengan UMNO, sebagai Perdana Menteri yang memegang kuasa dan memerlukan sokongan gabungan parti-parti politik untuk kekal berkuasa, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin boleh membentangkan tawaran yang adil kepada UMNO atau parti-parti politik lain untuk dipertimbangkan oleh Presiden UMNO, Majlis Tertinggi UMNO, mahupun pemimpin parti-parti politik lain.
Dan sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin lebih mengetahui perkara-perkara yang boleh ditawarkan olehnya di bawah bidang kuasanya.
PPBM tidak perlu menyuruh UMNO untuk menulis surat rasmi kepada PPBM atau kepada Perdana Menteri bagi menyatakan apa-apa permohonan.
Sebaliknya, tawaran boleh dibuat oleh Perdana Menteri merangkap Presiden PPBM melalui mesyuarah terlebih dahulu.
Dan memandangkan perkara yang perlu dibincang adalah soal politik, pada peringkat awal ini ia tidak perlulah melalui surat-menyurat rasmi seperti hal ehwal kontrak atau urusan perniagaan pula.
Jika rundingan ini berjaya, maka barulah sesuai ianya dimeterai secara rasmi dalam bentuk dokumen bertulis.
Ini lebih praktikal dan afdal memandangkan permohonan secara surat rasmi di peringkat ini akan mengekang dan menghadkan UMNO atau parti-parti politik lain berkenaan pilihan-pilihan yang ada.
16 Oktober 2020
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/833333020755557/?extid=0&d=n