ANTARA RASIONAL DARURAT DAN GANTUNG PARLIMEN KETIKA ANCAMAN COVID-19

156
SHARES
504
VIEWS

1. Memilih ‘darurat’ daripada membubarkan Parlimen merupakan salah satu pilihan yang boleh diambil dan dibenarkan Perlembagaan terutamanya dalam menghadapi ancaman pandemik Covid-19, namun apakah bentuk darurat yang dicadangkan kerajaan?

2. Perlu juga difahami bahawa;

(i) Tidak bersetuju dengan darurat tidak bererti bersetuju dengan pembubaran Parlimen.

(ii) Bersetuju dengan pembubaran Parlimen tidak bererti bersetuju jika pilihan raya diadakan serta merta ketika ancaman Covid-19 masih melanda.

3. Tiada seorangpun yang waras akan memilih pilihan raya diadakan serta merta ketika ini ketika negara masih bergelut mencari jalan keluar daripada ancaman Covid-19.

4. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah membuktikan bahawa rakyat menolaknya walaupun kerajaan sendiri ketika itu tidak menghalang, malah ghairah menghantar pegawai-pegawainya ke sana untuk merundingkan perkara tersebut. 

5. Hanya UMNO dan Tan Sri Musa Aman sahaja yang memohon penangguhan di mahkamah tetapi permohonan tersebut ditolak. Rujuk; https://www.astroawani.com/berita-politik/musa-aman-tolak-keputusan-bubar-dun-kerana-bahayakan-nyawa-rakyat-sabah-253337

6. Apabila PRN Sabah tetap diadakan maka tentulah ramai ahli politik dan penyokong-penyokongnya ke sana membantu PRN tersebut, natijahnya seperti yang boleh dilihat hari ini, sehingga tiba-tiba negara dikejutkan dengan cadangan darurat. 

7. Bermula naratif bahawa sudah berpuluh negara melaksanakan darurat bagi menjustifikasikan cadangan tersebut tetapi wajar diteliti darurat apakah yang dilaksanakan di negara tersebut?

8. Mengikut negara lain tidak bererti baik buat negara sendiri apatah lagi sekiranya ada jalan lain yang boleh diambil terlebih dahulu. 

9. Perlu juga ditanya, adakah darurat di negara lain yang dibandingkan dengan negara ini membabitkan Parlimennya digantung atau melaksanakan ‘prorogue Parliament‘ atau melaksanakan darurat bencana atau kesihatan?

10. Adakah darurat keselamatan dan ‘martial law‘ dikuatkuasakan di negara tersebut dengan pihak tentera mengambil alih atau hanya ‘darurat bencana’ atau kesihatan yang dilaksanakan?

11. Selain itu, adakah negara yang dibandingkan tersebut situasinya seperti Malaysia yang sedang berdepan dengan krisis politik dan Perdana Menterinya dipercayai tidak lagi mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi – kerana itulah cadangan darurat ini dicurigai kerana dilihat sebagai tindakan yang bersifat politik menyelamatkan Perdana Menteri, bukannya demi menyelamatkan nyawa rakyat. 

12. Lainlah jika darurat yang dicadangkan oleh Perdana Menteri sama seperti darurat yang terpaksa dilaksanakan di Thailand kerana melibatkan demonstrasi besar-besaran, ribuan demonstran turun ke jalan raya menuntut perubahan sistem DiRaja serta mendesak Perdana Menterinya yang merampas kuasa meletakkan jawatan. 

13. Maka timbullah persoalan kenapakah kerajaan tidak melaksanakan ‘darurat bencana’ mengikut daerah atau negeri terlebih dahulu dan ini bukan perkara luar biasa di mana pada tahun 2013, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pernah melaksanakan “darurat bencana jerebu” apabila tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah melebihi tahap kecemasan – tanpa melibatkan perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan negara. Rujuk; https://www.astroawani.com/berita-malaysia/najib-isytihar-darurat-di-muar-dan-ledang-16954

Adalah perlu dijelaskan bahawa pengisytiharan darurat bencana jerebu ini tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung dan juga tiada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun Persekutuan sekarang ini.

14. Jika kerajaan mengikut cara yang lebih jelas, bijak dan berperingkat seperti contoh di atas, bukankah darurat bencana Covid-19 di Sabah sepatutnya sudahpun dikuatkuasakan terlebih dahulu tanpa perlu memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, kemudian dikuatkuasakan ke negeri atau daerah lain yang terkesan? 

15. Apa yang dipertikaikan ketika ini ialah apa rasional darurat yang ingin dilaksanakan perlu melibatkan corak dan sistem pemerintahan negara, sehingga melibatkan istana dan Yang DiPertuan Agong? 

16. Bukankah banyak lagi pilihan lain yang boleh dilaksanakan tanpa melibatkan istana contohnya ‘full lockdown‘ seperti yang berlaku di gelombang pertama yang terbukti berkesan atau kerajaan boleh juga laksanakan darurat bencana mengikut negeri atau kawasan?

17. Bahkan pimpinan tertinggi UMNO juga telah mencadangkan gencatan politik diadakan bagi menumpukan usaha kepada ancaman Covid-19 secara bersepadu – yang seharusnya disambut baik oleh semua pihak sama ada kerajaan ataupun pembangkang bagi menangani Covid-19 bersama-sama.

18. Justeru adakah cadangan melaksanakan darurat dan sekaligus menggantung Parlimen ini boleh menjamin kestabilan ekonomi dan politik, yang menjadi punca kepada ketidakstabilan negara selama ini?

19. Atau ia hanya akan menambah parah dan derita rakyat apabila ekonominya merudum setelah darurat dilaksanakan, tanpa ada ‘check and balance‘ dan tidak lagi boleh ditegur oleh Ahli Dewan Rakyat ketika itu?

20. Namun apa juapun keputusan yang diambil selepas ini oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang sedang bermesyuarat dan berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu, wajar dijunjung oleh seluruh rakyat jelata yang bernaung di bawah panji-panji DiRaja.

Daulat Tuanku.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts