Pendedahan portal Free Malaysia Today mengenai ada beberapa induvidu yang menyertai Bersatu kemudiannya menyingkirkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, adalah sebagai ‘dalang’ yang menasihati Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempersembahkan cadangan darurat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
Adakah ia kumpulan Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali yang menyertai Bersatu kemudiannya di mana dua kumpulan inilah yang paling ramai menjadi Menteri Kabinet dan diberikan jawatan yang penting dalam kerajaan.
Portal tersebut turut melaporkan bahawa Majlis Tertinggi Bersatu sendiri tidak dimaklumkan mengenai cadangan darurat tersebut dan mereka khuatir rancangan itu akan ‘memakan diri’ sendiri.
Seperti yang diketahui, cadangan tersebut akhirnya tidak mendapat perkenan YDP Agong setelah baginda berunding dengan Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu lainnya sebelum membuat keputusan.
Malah, YDP Agong sendiri turut yakin dan menzahirkan pujian kepada petugas-petugas kesihatan dan barisan hadapan yang bertungkus lumus tanpa henti siang dan malam dalam menghadapi ancaman pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Malangnya keyakinan ini tidak dikongsi dan dirasai bersama oleh pihak kerajaan di mana Muhyiddin dan Menteri Kabinetnya sendiri tidak yakin akan kemampuan mereka, sebaliknya sanggup mencadangkan pelaksanaan darurat dan menggantung Parlimen.
Atau mungkin juga cadangan itu mempunyai maksud dan matlamat lain yang ingin dicapai namun apa yang pasti tidak kira apapun agendanya, kini sudahpun terkandas di tengah jalan.
Perkara ini amat memalukan dan menjadi tamparan hebat buat Muhyiddin apabila beliau dengan seluruh Menteri Kabinet, pasukan penasihat dan pegawai-pegawai kanannya gagal mencadangkan perkara yang lebih baik untuk dilaksanakan demi kebaikan dan kesihatan rakyat serta kemakmuran negara.
Justeru Muhyiddin wajar bermuhasabah melihat kembali siapa di sekelilingnya yang memberi nasihat salah dan selepas ini jangan sesekali melibatkan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan pihak istana dengan sebarang percaturan politik dan agenda peribadi diri sendiri.