WAJARKAH PENGELUARAN AKAUN 1 KWSP? – SHAHRIR SAMAD

5.6k
SHARES
18.1k
VIEWS

Sejak beberapa hari ini tercetus pelbagai polemik berkenaan isu pengeluaran wang dari Akaun 1 pencarum KWSP. Kesan pandemik Covid-19 terhadap eko sistem ekonomi Malaysia mahupun di peringkat global saya lihat masih belum nampak penghujungnya. 

Stimulus package‘ atau pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan kerajaan sebelum ini antaranya seperti tempoh moratorium yang telah tamat pada September yang lalu kemudian penyambungan moratorium bersasar yang akan tamat pada Disember 2020 juga dilihat hanya memberi ‘kelegaan’ sementara buat rata-rata rakyat Malaysia. Sekarang majoriti rakyat sudah mula bertanya “what’s next?

Hutang kerajaan tidak sama dengan hutang rakyat. Jika kerajaan terpaksa berhutang pada skala yang besar maka instrumen pembayaran melalui terbitan bon, sukuk ataupun dalam situasi tertentu kerajaan masih boleh mencetak wang bagi membayar hutang. 

Manakala berbeza dengan hutang rakyat ataupun hutang isi rumah (household debt) pada kadar 82 peratus melebihi KDNK adalah terlalu tinggi buat Malaysia. Ia merangkumi hutang rumah, kereta, kad kredit dan lain-lain, jika tidak mampu bayar maka bank akan mengejar peminjam sehingga ke lubang cacing sekalipun. 

Golongan B40 saya jangkakan yang paling terkesan akibat tekanan ekonomi ini dan seterusnya golongan M40 yang mana kedua-dua golongan ini meliputi 80~85 peratus rakyat Malaysia. 

Kadar pengangguran (unemployment rate) saban hari semakin meningkat, apabila ketua sesebuah keluarga (breadwinner) kehilangan pekerjaan maka kesan domino apabila keperluan fisiologi seperti makan, minum serta tempat tinggal sudah tidak mampu disediakan seperti dahulu. Ini akan memberi kesan psikologi kepada anak-anak dan tidak mustahil mampu meruntuhkan institusi keluarga itu sendiri. 

Bila sudah kehilangan pekerjaan atau pendapatan maka pendapatan isi rumah juga turut terjejas, berkemungkinan langkah mudah si bapa akan meminjam daripada Ah Long atau ceti haram. Masalah hutang yang melebar akan semakin meruncing dan memberi kesan emosi serta psikologi bagi mereka yang terlibat dan ia mampu menjurus kepada gejala sosial serta jenayah dan akhirnya golongan T20 juga akan menjadi sasaran. Jangan sesekali kita biarkan rakyat yang kelaparan “a hungry man is an angry man

Kesimpulannya, atas segala justifikasi yang saya nyatakan di atas maka pengeluaran akaun 1 KWSP wajar diberi kelonggaran secara bersabar atau bersyarat. Golongan sasar adalah hanya kepada mereka yang kehilangan sumber pendapatan ataupun pekerjaan sahaja. Jika RM10 ribu terlalu tinggi maka boleh hadkan kepada RM5 ribu dan dibayar selama 6-10 bulan sepertimana akaun 2 untuk pembayaran perumahan. Dalam masa yang sama, mari kita sama-sama berdoa agar pandemik Covid-19 ini segera berlalu.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan; https://www.facebook.com/1909073655805515/posts/3560035267376004/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts