Kenyataan Media
Tarikh 24 November 2020
1. Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengikuti setiap perkembangan politik semasa terutamanya mengenai Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan bakal dibahas seterusnya menentukan sama ada belanjawan kali ini berjaya diluluskan atau gagal.
2. PEMBELA ingin mengingatkan Ahli-ahli Parlimen akan keadaan rakyat marhaen yang sedang dalam kesusahan mengharungi tempoh-tempoh getir sepanjang krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang semakin kritikal.
3. Perbalahan serta perebutan antara pemimpin dan parti politik terutamanya apabila dikhabarkan bahawa usaha-usaha bagi menggagalkan Belanjawan 2021 ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab serta berlawanan dengan titah YDP Agong baru-baru ini.
4. PEMBELA sedar ketidakstabilan ini boleh menyebabkan Parlimen dibubarkan dan pilihan raya terpaksa diadakan dalam tempoh terdekat. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar tidak mengulanginya dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pula.
5. Rakyat sudah muak dengan perbalahan politik yang hanya menguntungkan pihak-pihak dan individu-individu tertentu. Apa yang pasti ialah rakyat mahukan kestabilan negara ketika memerangi wabak COVID-19 dan berusaha untuk menangani krisis ekonomi yang melanda negara kini.
6. Jika politik negara stabil, PRU akan diadakan juga sekitar dua tahun lagi. Maka, ahli-ahli politik perlu bersabar kerana tempoh itu tidaklah begitu lama tetapi mungkin cukup untuk rakyat menstabilkan kehidupan mereka dalam mengharungi krisis yang melanda.
7. Oleh itu, PEMBELA menuntut agar semua ahli politik khususnya Ahli Parlimen untuk memastikan Belanjawan 2021 ini dapat diluluskan demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara serta sejajar dengan saranan YDP Agong baru-baru ini.
8. Namun, ini tidak bermakna PEMBELA bersetuju dengan segala yang dicadangkan. Kami yakin ada caranya untuk mengubah intipati belanjawan tanpa menggagalkannya. Kami pasti ahli-ahli politik juga menyedari akan hal ini agar ada kepekaan untuk mengutamakan rakyat dan negara dari kepentingan diri atau parti masing-masing.
AMINUDDIN YAHAYA
Pengerusi Gabungan PEMBELA