KENYATAAN MEDIA KETUA PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA
26 November 2020 | 10 Rabiul’akhir 1442H
1. Muslihat kepimpinan negara yang diterajui Perikatan Nasional hari ini yang bertopengkan gagasan pemimpin yang membawa agenda Melayu dan Islam mempamerkan belang sebenar apabila tiada yang bertegas menyuarakan hal peruntukan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang dianggarkan penambahan sehingga 48.1 peratus bagi tahun 2021.
2. Wira PUTRA kecam sekeras-kerasnya belanjawan tahun 2021 oleh kerajaan PN yang agihan peruntukan penyelenggaraan SJKC dinaikkan secara mendadak iaitu sebanyak RM74.07 juta berbanding RM50 juta tahun lalu. Sedangkan peruntukan bagi sekolah agama diturunkan daripada RM50 juta kepada RM12.23 juta sahaja. Peruntukan yang dikurangkan bagi UiTM sekitar RM3 juta memperlihatkan pembangunan pendidikan bagi kaum Bumiputera dipandang remeh. Di kala penularan wabak pandemik ini, pelajar universiti terbesar di Malaysia dengan kapasiti pelajarnya yang ramai memerlukan akses dan kemudahan jaringan yang lebih baik. Universiti perlu menambah baik infrastruktur bagi sistem jaringan agar para pelajar di segenap sudut boleh mendapat capaian dengan lebih baik. Manakala peruntukan kolej swasta TARUC dinaikkan peruntukan dari RM30 juta kepada RM58 juta.
3. Wira PUTRA serta rakyat majoriti di Malaysia amat kecewa dan membantah peruntukan yang terlalu rendah untuk institusi agama yang dilihat tidak serius untuk memartabatkan Islam seperti sepatutnya, terutamanya bagi kerajaan yang menggelar dirinya kerajaan Islam – Melayu.
Inikah dikatakan Kerajaan Islam – Melayu? Layakkah mereka menggelar diri mereka sebegitu sedangkan hakikat sebenar sekadar hendak menarik hati majoriti rakyat. Muafakat Nasional, Perikatan Nasional nama sahaja hebat, tetapi ‘menjual nama’ perjuangan Melayu Islam. Akhirnya setelah diberi peluang memimpin, rakyat majoriti ditindas di tanah sendiri. Inilah yang dikatakan menang sorak kampung tergadai. Rakyat bertepuk tangan, bersorak apabila pemimpin pilihan mereka dapat memimpin negara, namun akhirnya kepercayaan itu ‘dibaham’ bagi memenangi hati bukan kaum peribumi dan orang Islam.
4. Apabila menjenama diri sebagai pentadbiran Islam mereka sepatutnya menjadi contoh dari segenap aspek termasuk ketegasan dalam memperkasakan pendidikan dan menambahbaik institusi orang Islam dalam negara. Takbir sana sini, sorak hidup Melayu, laung perjuangkan hak rakyat tetapi semua temberang sahaja. Ibarat “anak kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.”
5. Pemimpin sejati tidak akan membiar belanjawan berat sebelah seperti ini sewenang-wenangnyanya diluluskan. Hanya pemimpin yang buta hati terhadap pembangunan anak bangsanya dan pentingkan kuasa serta jawatan semata-mata pasti akan menyokong belanjawan ini. Pemimpin Melayu Islam di dalam Dewan Rakyat yang buta dan gagal melihat perspektif pentingnya pembangunan pendidikan khusus kepada orang Islam dan peribumi dengan meletakkannya sama taraf atau sama rata dengan sekolah jenis kebangsaan Cina adalah pemimpin yang tidak lagi mempunyai roh terhadap perjuangan agama dan bangsanya.
Sekian.
Oleh Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia