WIRA PUTRA GESA SOP KEMPEN BERSEMUKA DAN CERAMAH DI PRN JOHOR DILONGGARKAN

345
SHARES
2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA

3 Februari 2022 | 1 Rejab 1443 Hijrah

1. Keputusan UMNO negeri Johor kali ini telah mengakibatkan keperluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Sekali lagi akibat kegopohan dan kegelojohan pemimpinnya rakyat bakal menjadi mangsa kerana perlu menghadapi pilihan raya pada ketika jumlah kes Covid-19 meningkat semula.

2. Lebih keji jika kerajaan yang dipimpin UMNO mengambil kesempatan seperti mana yang telah berlaku di PRN Melaka sebelum ini dengan mengetatkan SOP yang menyukarkan parti bukan kerajaan untuk memperkenalkan calon kepada pengundi. Bagaimana rakyat dapat melalui proses pilihan raya yang adil sedangkan demokrasi mati di bawah kerajaan UMNO?

3. Justeru, Wira PUTRA gesa Kerajaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar jangan ‘matikan’ kewajipan tuntutan demokrasi bagi memberi ruang dan saluran kepada parti-parti bukan kerajaan berkempen. Wira PUTRA menggesa SOP kempen secara semuka dilonggarkan dan kebenaran mengadakan ceramah dengan kapasiti yang lebih sesuai pada PRN Johor dan bukan diadakan dengan had atau halangan yang bersifat berat sebelah kepada parti pemerintah semata-mata.

4. Keputusan yang bakal dikeluarkan nanti perlu mengimbangi kemelut kesihatan dan juga keselamatan serta dijadikan satu keutamaan dalam waktu berkempen, namun kena ingat, keperluan berlakunya PRN adalah kehendak kumpulan dari parti kerajaan juga. Maka perlu adil beri ruang kepada parti-parti baharu seperti PUTRA dan lain-lain parti baharu yang bertanding untuk turun berkempen membantu calon masing-masing. Jangan guna alasan Covid-19 untuk SOP PRN kali ini. Sekilas ikan di air sudah tahu ikan jantan atau pun betinanya. Kalau mahu menang, menanglah cara adil, baru negeri dan rakyat ada keberkatan. Jangan bercakap berdegar-degar, tetapi ekor tahi tersangkut di gelegar. 

Wira PUTRA persilakan ke gelanggang dengan secara adil dan bermaruah jika benar-benar anak jantan. 

Sekian.

Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif

Ketua Pergerakan Wira PUTRA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts