Menyentuh isu politik negara, ada yang berpandangan bahawa apabila kes-kes perbicaraan DS Najib dan isterinya hampir selesai atau setidaknya terlihat ada cahaya di hujung terowong, maka ramai pula yang membuat andaian Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mula menuntut semula hak beliau untuk “dapatkan kembali apa yang telah hilang atau dirampas daripadanya”, iaitu posisi beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.
2. Jika demikian, tentulah tidak mustahil jika hendak dikatakan akan timbul dari dalam dirinya suatu perasaan ingin “berkuasa semula”, atau sekurang-kurangnya jika tidak ke arah itu, beliau diberi peluang dilantik sebagai Penasihat UMNO, dan ini tidak mustahil bilamana khabarnya ada sokongan dari pihak DS Zahid Hamidi sendiri dan juga ahli-ahli kepemimpinan tertinggi yang lainnya – lebih manis seperti kata perpatah “kill two birds in one stone!”
3. Senario politik kebelakangan ini juga menunjukkan UMNO sudah mulai terasa seolah-olah mereka “dikesampingkan atau tidak dipedulikan suaranya” walaupun ia mempunyai terbanyak MP dan adalah sekutu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), selain UMNO juga sudah terlebih dahulu mengikat janji dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).
4. Oleh itu, berbekalkan kepada kemenangan dalam enam PRK sebelum ini, dan kemenangan dalam PRN Sabah dan terkini berkuasa semula di Perak, di kalangan pimpinan utama UMNO mula mengorak langkah perancangan apa yang dikatakan sebagai “jajaran baru” dalam senario politik di era Covid-19 ini.
5. Dengan mengambil kira premis doktrin politik yang dikatakan; politikus sewajarnya terus berpolitik kerana dalam politik tiada istilah “permanent friends or foe“, justeru UMNO mengorak langkah semakin laju dan maju kerana politik adalah rundingan pada masa tertentu untuk dapatkan kuasa, atau berkongsi kuasa, atau asalkan “masih ada kuasa.”
6. Inilah realiti yang sedang berlaku termasuklah ura-ura ada pimpinan UMNO yang memberi restu Ahli Parlimen UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9 menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, langkah-langkah harus disegerakan seawal mungkin sebelum berakhirnya sidang Dewan Rakyat menjelang 17 Disember 2020 tidak berapa lama lagi.
7. Keadaan ini juga dilihat oleh Anwar sebagai “cahaya baru” yang memberikan nafas lega kepadanya untuk mengembalikan maruahnya yang semakin hari semakin dipersoalkan, khususnya setelah gagal di peringkat Bacaan Pertama Bajet serta beberapa siri kegagalan sebelum ini.
8. Bagi Anwar, ini kalilah sahaja peluang terakhir buat sekian kalinya peluang yang ada untuk beliau, dan kini dengan bantuan yang dikatakan terdapat sehingga 10 pimpinan UMNO yang menyokongnya, dan juga rakan-rakan dan sekutu lamanya, barangkali Anwar boleh berjaya walaupun terpaksa berkongsi kuasa, atau sekali lagi kita akan lihat bentuk politik baharu muncul julung kalinya.
9. Zaman baru memerlukan tindak balas baru, walaupun terpaksa membatalkan janji-janji lama dengan sekutu lama, namun disebabkan “beberapa keadaan terkini yang lebih mendesak dan terdesak”, maka suatu jajaran baharu perlu dilakukan. Demi kuasa, sekali lagi dinaikkan slogan; “atas suara dan kepentingan rakyat, dan pengundi yang pernah memberi mandat pada PRU-14.”
10. Maka doktrin Machiavelli bahawa; “tujuan menghalalkan cara” sekali lagi menjadi pilihan, kali ini diadunkan dengan falsafah lama yang amat berkesan beserta dengan strategik diluar jangkaan – pecah dan perintah! Jangan terkejut jika 113 Ahli Parlimen itu memang benar-benar ada sebagaimana yang didakwanya, beserta dengan Surat Akuan Bersumpah dari wakil rakyat masing-masing yang menyokong beliau?
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA