Oleh Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Ya, saya tahu berlaku pendakwaan politik ketika zaman Pakatan Harapan dan diteruskan pada zaman Perikatan Nasional. Saya tahu. Kita semua tahu.
Sebagai contohnya tahun 2019, balu kepada Allahyarham YB Abdul Manan, Ahli Parlimen UMNO Paya Besar, disiasat SPRM dan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan semula dana sebanyak RM270 ribu yang didakwa sebahagian dari dana 1MDB.
Yang belanja itu suami beliau. Yang dituntut adalah balu dan anak-anaknya. Duitpun sudah habis digunakan sama ada bagi tujuan politik atau kebajikan rakyat jelata.
Tetapi akhirnya kerajaan berjaya melucut hak RM265 ribu yang masih ada dalam akaun Allahyarham selepas si mati tidak lagi mampu mempertahankan dirinya di mahkamah. Bilakah ia berlaku? Bulan Jun 2020 ketika Perikatan Nasional memerintah.
Di bawah adalah gambar Rohizah Ahmad, balu Allahyarham YB Abdul Manan Ismail.
Bukan salah hakim kerana hakim hanya membuat keputusan berdasarkan undang-undang yang ada. Tetapi tergamaknya kerajaan hari ini meneruskan tindakan tersebut yang semacam tidak menghormati hak perwarisan harta menunjukkan mereka (bukan semua) dan Pakatan Harapan seolah tidak ada bezanya.
Kami tahu.
Kami tahu macammana Datuk Seri Mohd Najib Razak dibekukan akaun pada zaman Pakatan Harapan kemudian diarah bayar tuntutan cukai RM1.6 bilion. Bayar dahulu baru cerita di mahkamah.
Takkan tidak boleh fikir? Hendak bayar macamana kalau pergi ATM tidak boleh keluar duit?
Tetapi tuntutan ini masih diteruskan kerajaan sedia ada.
Kami tahu.
Tetapi bila tuan-tuan segelintir pemimpin UMNO ini menggunakan naratif kezaliman kepada diri sendiri sebagai salah satu asas meminta pilihan raya, sentimen rakyat anda hendak letak di mana?
Kalau begitu apa bezanya tuan-tuan dengan PKR pada awal penubuhannya? Memanglah PKR ketika itu ada banyak manifesto dan polisi yang mereka tawarkan.
Tetapi yang orang tahu adalah perjuangan mereka untuk bebaskan Anwar sahaja. Letak Anwar jadi Perdana Menteri sahaja. Sebab itu perkara yang paling senang diingat dan senang juga dimanipulasi musuh.
Akhirnya PKR cuma tinggal satu kerusi pada PRU 2004.
Kami rakyat ini usahkan kata hendak berkorban beratur mengundi. Disuruh angkat parang korbankan diripun sanggup jika benar itu boleh menyelamatkan agama dan kedaulatan negara.
Apa perjuangan dan tindakan tuan-tuan mestilah dilihat ‘people-centric‘. Dilihat mementingkan rakyat. Baru rakyat suka. Baru rakyat lembut bicara.
Banyak lagi kelompangan kerajaan yang ada. Janji buat keretapi laju HSR dalam Belanjawan 2021 tetapi akhirnya batalkan. Janji permudahkan pengeluaran KWSP tetapi akhirnya ‘sembang’. Polisi ekonomi tidak tahu di mana, dasar kerajaan Pakatan Harapan pula yang diteruskan.
Yang jadi buruk nama tuan-tuan semualah; UMNO dan PAS. Duduk dalam kerajaan tetapi tidak ada kuasa.
Berpuluh tahun dalam politik takkanlah “kawalan sentimen” inipun kita hendak kena tolong cerita?