KERAJAAN PERPADUAN vs KERAJAAN PERKAUMAN – DR. RAMALAN YUNUS 

371
SHARES
2.2k
VIEWS

Keputusan PRN 3-3 tetapi gegak-gempita para penyokong PN seolah-olah seperti menang 6-0. Paling melucukan ialah apabila Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak agar Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Zahid Hamidi meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Agak-agak dari mana datangnya logik Tan Sri Muhyiddin itu? Dari akal yang sihat atau dari akal yang sakit? Mungkin beliau sudah lupa bahawa Kerajaan Perpaduan itu disokong oleh 148 Ahli Parlimen dari 222 Ahli Parlimen keseluruhannya ?

Ini menjadikan Kerajaan Perpaduan menguasai dua pertiga Ahli-ahli Parlimen Malaysia. Mungkin beliau juga lupa bahawa PN hanya memiliki 74 Ahli-ahli parlimen sahaja? Mungkin juga beliau terlupa bahawa pemilihan baru-baru adalah PRN tetapi beliau anggap sebagai PRU?

Kalau beliau lupa, setelah selesai semua negeri melaksanakan PRN maka jumlah kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri yang dimiliki oleh Kerajaan Perpaduan adalah 392 kerusi. Manakala Perikatan Nasional atau PN hanya memiliki 208 kerusi sahaja.

Adakah data dan fakta seperti ini boleh dijadikan asas untuk mendesak Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Zahid meletakkan jawatan? Kesimpulannya kenyataan beliau dan PN tidak berasas sama sekali.

Pasca PRU-15, DYMM Tuanku Agong telah menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk. Titah ini telah diperkenankan pula oleh Majlis Raja-raja Melayu. Ini kerana pasca PRU-15 tiada satupun gabungan parti-parti politik yang telah mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi Parlimen.

Parlimen tergantung pada waktu itu dan sebagai solusinya maka dititahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk. Lalu kenapa sehingga ke hari ini Tan Sri Muhyiddin dan PN beria-ia mahu menentang Kerajaan Perpaduan dan menubuhkan Kerajaan Perkauman?

Apa pesanan atau didikan politik yang ingin disampaikan oleh Tan Sri Muhyiddin dan PN kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya generasi muda? Adakah beliau dan PN ingin memberitahu kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa DYMM Tuanku Agong tidak ada kuasa atau tidak layak untuk menitahkan agar sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk?

Adakah Tan Sri Muhyiddin dan PN ingin memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa sebagai rakyat Malaysia kita tidak ada kewajipan untuk mentaati titah YDP Agong?

Lalu dari sudut mana kita harus menilai sikap dan tindakan Tan Sri Muhyiddin dan PN ini? Dari sudut agama Islam sebagai agama Persekutuan, dari sudut adat dan budaya Melayu yang menjadi teras budaya kebangsaan atau dari sudut undang-undang Malaysia?

Bukankah ada kewajipan untuk mentaati titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong baik dalam Agama Islam, adat dan budaya Melayu mahupun sebagai warganegara Malaysia.

Persoalannya adakah warganegara Malaysia itu masih boleh dianggap setia kepada Raja dan Negara sekiranya beliau menentang titah YDP Agong? Lalu kalau bukan setia sudah pasti warganegara tersebut menjadi derhaka kepada Raja dan negaranya.

Dalam isu Tan Sri Muhyiddin dan PN bukankah ini bermakna Tan Sri Muhyiddin dan PN sedang menentang titah Tuanku secara terbuka dan berterusan? Tidakkah ini merupakan satu penderhakaan terhadap Raja dan negara?

Adakah ini bermakna bahawa Tan Sri Muhyiddin dan PN sedang menghasut seluruh rakyat Malaysia untuk menderhaka kepada Raja dan negara?

Tidakkah ini bermakna bahawa Tan Sri Muhyiddin dan PN sedang menghasut seluruh rakyat Malaysia memberontak secara politik terhadap YDP Agong dan Raja-raja Melayu?

Soalan-soalan ini yang seharusnya menjadi renungan dan bahan berfikir kepada golongan yang mahu menyokong penentangan Tan Sri Muhyiddin dan PN terhadap Kerajaan Perpaduan.

Salahkah berimaginasi atau bercita-cita untuk membentuk Kerajaan Perkauman? Memang tidak salah tetapi masanya itu bukanlah sekarang. Bersabar dahulu dan tunggulah pada PRU-16 nanti.

Sekarang ini adalah zaman Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Tuanku. Sepatutnya kita semua bersatu padu menjunjung titah baginda. Kerajaan Perpaduan adalah formula terbaik untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

Bila lagi kita akan bertemu dengan keadaan seperti ini? Bukankah sebenarnya inilah masa yang terbaik untuk kita semua hidup bersatu padu?

Seharusnya kita gunakan segala sumber, masa dan tenaga kita semua untuk berkerjasama bagi memulihkan kembali keadaan ekonomi. Bukan untuk terus bertelagah dan mencaci maki kerana perbezaan pendekatan dan kaedah berpolitik.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts