“Arwah Mak Jang nenek Dr Asyraf ini guru Quran saya dan adik-beradik termasuk Tuanku Agong”, jelas YAM Tengku Muhaini Binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah kepada sukarelawan Skuad Sabil dan Pemuda UMNO Malaysia sebelum naik kereta untuk berangkat pulang setelah menyaksikan penyerahan bantuan sumbangan Kerabat DiRaja Pahang di Kampung Gali Tengah, Raub.
Pertemuan yang tidak dirancang ini berkebetulan kami berhenti solat Asar di Masjid Kampung Gali Tengah setelah selesai operasi pembersihan dan misi bantuan Skuad Sabil Pemuda UMNO di Ulu Dong kelmarin.
Kebetulan juga Kampung Gali Tengah, Raub adalah kampung arwah Datuk saya Haji Mohamed bin Alias yang pernah menjadi Imam Besar Masjid Negeri Pahang. Beliau berkahwin dengan nenek saya Hajah Khadijah yang merupakan satu-satunya anak Tok Selehor atau nama penuh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Uthman yang mewarisi tradisi mengajar kelas-kelas agama walaupun tidak meneruskan institusi Pondok Tok Selehor di Tumpat Kelantan.
Apabila nenek berhijrah ke Pahang, di situlah beliau berkahwin dengan Imam Besar Masjid Negeri dan menjadi Guru Agama dan Quran kepada kerabat DiRaja Pahang termasuk DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah dan adik beradik baginda.
Moga Allah merahmati roh kedua-duanya dan menjadikan ilmu yang mereka curahkan sebagai pahala jariah yang berkekalan sehingga ke akhirat kelak.