Tersebar satu rakaman video yang amat mengejutkan mengenai pengakuan Presiden Insititut Republikan Antarabangsa (IRI), Daniel Twining yang mengaku terlibat menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dengan kolaborasi mereka bersama pihak pembangkang sejak 2002 yang ketika itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat dan kini dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH).
Pakatan Harapan selaku pembangkang tidak sewajarnya membuka ruang untuk bekerjasama dengan pihak asing dan mengajak mereka campur tangan dalam urusan negara ini walau apa jua alasan sekalipun kerana kedaulatan dan maruah setiap negara wajar dihormati oleh semua pihak.
Niat tidak menghalalkan cara kerana tentunya kini pihak asing yang membantu tersebut mengharapkan ganjarannya selain daripada yang telah mereka nyatakan iaitu mengenai ‘salah satu tindakan’ yang diambil oleh kerajaan Malaysia ialah dengan ‘pembekuan pelaburan infrastuktur China’ kerana kononnya melibatkan penipuan wang dan sistem yang korup.
Jika bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abd. Hamid yang menulis surat kepada Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Gina Haspel dituduh sebagai mengkhianati negara, apatah lagi dengan meminta campur tangan langsung dalam proses pilihan raya umum untuk menjatuhkan kerajaan yang sah.
Persoalannya apa lagi yang digadaikan oleh Pakatan Harapan kepada mereka?
Apakah ‘tindakan-tindakan lain’ yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk ‘membayar harga’ bantuan IRI sebelum ini?