KENYATAAN MEDIA WANITA PEMBELA
15 Januari 2021
إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
Yang bermaksud: “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
1. Kami daripada Pertubuhan-pertubuhan Pembela Wanita Islam atau Wanita PEMBELA amat bersetuju dan menyokong penuh perisytiharan darurat bawah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan memperkenan tempoh pelaksanaan sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes pandemik COVID-19 lebih positif dalam usaha mengekang penularannya daripada merebak luas dan membahayakan nyawa rakyat Malaysia.
2. Kami juga dari Wanita PEMBELA menyeru agar rakyat terutamanya kaum wanita agar jangan mudah terpedaya dengan dakyah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang bertujuan mahu menghuru-harakan keadaan negara, kita kaum wanita harus terus tenang dan fahami bahawa Pengisytiharan Proklamasi Darurat ini adalah sah berdasarkan kepada Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
3. Ia bukan darurat ketenteraan seperti yang digembar-gemburkan seolah-olah seperti peristiwa 13 Mei 1969 yang mana angkatan bersenjata turun dan mengawal keadaan, tetapi ia merupakan darurat bagi memudahkan pihak kerajaan membasmi penularan wabak COVID-19 tanpa gangguan daripada politikus yang mementingkan agenda politik mereka, yang bukan meletakkan keutamaan bagi menjaga kesihatan rakyat dan keselamatan negara.
4. Wanita PEMBELA berasa yakin bahawa perisytiharan darurat ini selain bertujuan untuk menangani pandemik COVID-19, ia juga bertujuan untuk kelancaran kerajaan menjana semula kepesatan ekonomi negara, dan ini terbukti apabila pagi ini catatan bursa saham menunjukkan peningkatan pelaburan.
5. Tidak ada kerahan atau arahan supaya sektor perniagaan runcit dan yang lainnya dipaksa tutup, malah jentera kerajaan dan juga beberapa sektor ekonomi seperti pasaraya, perkilangan dan seumpamanya masih berjalan seperti biasa sebagai langkah kepada usaha untuk memberi fokus sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi bukan hanya tertumpu pada kesihatan rakyat tetapi juga memberi kepercayaan kepada pelabur bahawa kerajaan menguasai negara sepenuhnya.
6. Yakinlah dan akurlah dengan hemat perkenan Yang DiPertuan Agong setelah baginda Tuanku memperhalusi penjelasan YAB Perdana Menteri beserta sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara; Peguam Negara; Panglima Angkatan Tentera; Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, maka Tuanku Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan keperluan kepada mengisytiharkan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dalam mengemudi negara kita.
7. Semua ahli politik, NGO atau Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), dan jentera kerajaan diseru untuk bersama-sama turun membantu rakyat yang kesusahan dalam mengharungi saat yang sangat genting ini. Negara bukan hanya berdepan dengan COVID-19 tetapi juga bencana banjir besar yang melanda sebahagian negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan tidak terkecuali negeri Johor. Banjir besar ini telah mengakibatkan ramai rakyat sengsara apabila kebanyakan rumah ditenggelami air.
8. Justeru, sebagai penutup kalam, kami dari Wanita PEMBELA mengajak rakyat seluruhnya khusunya kaum wanita agar kita sama-sama bermuhasabah memperbaiki diri dan berdoa agar kesengsaraan rakyat yang menimpa ke atas negara yang kita kasihi hari ini, dapat dipulihkan dengan seberapa segera daripada bencana besar ini. Semoga kita semua terselamat melepasi dugaan besar daripada Allah Taala ke atas kita hamba-hamba-NYA yang lemah lagi daif yang mengharapkan pertolongan daripada-NYA.
Amin, In Sha Allah.
Daulat Tuanku.
Hajah Asral Widad
Pengasas dan Pengerusi PACU
Timbalan Ketua Wanita PEMBELA