TUN RAZAK: BAPA PENYATUAN UMMAH DAN BANGSA MALAYSIA

361
SHARES
2.1k
VIEWS

Oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Hari ini (14 Januari) genap 45 tahun pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Di antara sejumlah besar jasa-jasa Almarhum Tun Razak selain dikenali sebagai Bapa Pembangunan Negara dan pelopor pelbagai inisiatif yang menjana ekonomi orang Melayu-Bumiputera, beliau juga adalah Negarawan yang berjaya mencetuskan gerakan besar menyatukan umat Melayu dan rakyat Malaysia berbilang bangsa.

Sejurus selepas berlakunya krisis kaum terburuk dalam sejarah Malaysia pada 1969 hingga memaksa Almarhum Tunku Abdul Rahman mengundurkan diri, Tun Razak diangkat menjadi Perdana Menteri ke-2 pada 22 September 1970.

Tun Razak sedar bahawa kestabilan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum mesti dimulakan dengan memperkuatkan dulu kaum teras majoriti iaitu Melayu-Islam. Justeru, Tun Razak memulakan langkah memperkukuhkan permuafakatan bangsa dengan menawarkan kerjasama politik kepada parti Melayu kedua terbesar orang Melayu-Islam iaitu PAS.

PAS yang diketuai oleh Presiden ke-4, Mohammad Asri Muda menyambut tangan yang dihulurkan dengan membawa cadangan tersebut ke dalam Kongres PAS KE XVII pada 18 Jun 1971 (Muktamar Tahunan dikenali Kongres waktu itu). PAS meletakkan 13 tuntutan kepada Tun Razak sebagai syarat kemasukan ke dalam Kerajaan Campuran yang ingin diwujudkan.

Sebuah Jawatankuasa Perundingan dibentuk yang dipengerusikan oleh Tun Dr Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dengan melibatkan pimpinan utama PAS termasuk Ustaz Yusof Rawa, Abu Bakar Umar, Ustaz Kassim Ahmad dan Dr Muhammad Dali Muin. Seterusnya, PAS masuk dalam kerajaan campuran Parti Perikatan dan diberikan beberapa portfolio Menteri seperti Menteri Tanah dan Tugas Khas Asri Muda, Abu Bakar Umar Timbalan Menteri dan Ustaz Yusof Rawa sebagai Duta Malaysia ke Turki dan Iran.

Setelah berjaya menyatukan UMNO-PAS sebagai kekuatan induk orang Melayu dalam kerajaan campuran Perikatan, Tun Razak mula mencetuskan idea membentuk gabungan baharu dengan menawarkan kepada parti-parti lain termasuk Parti Gerakan yang dikenali waktu itu antara yang paling rasis dan chauvinistik hingga dikaitkan dengan komunis.

Hasil daripada mesyuarat pimpinan parti-parti politik pada 17 Januari 1974 di Kuala Lumpur, sebuah parti gabungan baharu dengan nama BARISAN NASIONAL ditubuhkan dengan menggantikan PERIKATAN, yang turut merubah simbol parti daripada kapal layar kepada lambang DACING.

Idea DACING ini diambil pandangan oleh Tun Razak daripada sahabatnya Presiden PAS Asri Muda yang menjelaskan bahawa DACING menggambarkan kesepakatan yang diasaskan atas prinsip keseimbangan, adil dan saksama.

Selain UMNO dan PAS sebagai parti pengasas Barisan Nasional bersama-sama MCA dan MIC, parti-parti lain yang dipujuk sendiri oleh Tun Razak untuk menyertai BN termasuklah GERAKAN, PPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Perikatan Sabah.

Hasil daripada kerjasama politik dan Rekonsiliasi Nasional yang digagaskan Tun Razak inilah Malaysia mula mengorak langkah maju ke hadapan dari segi ekonomi, pelaburan, pembangunan dan perdagangan hasil daripada kestabilan politik yang berasaskan formula KEINDUKKAN MELAYU-BUMIPUTERA DALAM REALITI KEMAJMUKAN BANGSA DAN AGAMA.

Namun tidak sempat untuk beliau melihat hasilnya yang menyeluruh, Allah lebih sayangkan Almarhum kerana pada 14 Januari 1976, Tun Razak kembali ke Rahmatullah setelah bertarung dengan penyakit leukemia yang hanya diketuhui umum ketika beliau sudah di peringkat akhir pengubatan.

Moga Allah rahmati roh Almarhum yang begitu besar jasanya yang bukan sahaja meninggalkan legasi sebagai Bapa Pembangunan tetapi yang juga berimpak besar sebagai BAPA PENYATUAN UMMAH, BANGSA MELAYU DAN BANGSA MALAYSIA.

‎الفاتحة
‎بِسْــــــــمِ اٌللَّهِ اٌلرَّحْمَنِ اٌلرَّحِيْـــــــــمِِ
‎◄.اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِينَ ۞ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ۞ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ۞ إيَّاكَ نَعْبُدُ وإيَّاكَ نَسْتَعِينُ ۞ اِهْدِنَا الصِّراطَ الْمُسْتَقِيمَ ۞ صِرَاطَ الَّذِينَ أنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيِنَ.. آمِّيْن

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts