NIKAH DI JAWI: MENTERI AGAMA PERLU TINJAU

108
SHARES
349
VIEWS

Jalinan Persahabatan Nusantara (JASANUSA) menyeru kerajaan membenarkan majlis pernikahan dilangsungkan di masjid-masjid di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama di Kuala Lumpur.

Jasanusa telah menerima banyak maklum balas daripada bakal-bakal pasangan pengantin Islam yang kini berdepan dengan kesukaran.

Berikutan pelaksanaan PKP di ibu negara misalannya, ramai bakal pengantin yang telah berdaftar untuk bernikah di Masjid Wilayah Persekutuan tetapi terpaksa ditangguhkan.

Malah terdapat sebahagian pasangan yang permohonan mereka untuk menukar majlis pernikahan ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI) telah ditolak.

Keadaan ini mewujudkan kekecewaan dan menyulitkan orang Islam yang mahu melangsungkan pernikahan walaupun pernohonan telah lama dikemukakan.

Apatah lagi orang ramai terpaksa beratur panjang berjam-jam hanya untuk berurusan di pejabat JAWI berkaitan permohonan pernikahan. Isu ini telah berlarutan berbulan-bulan lamanya tetapi masih tiada penyelesaian.

Adalah diharap pihak JAWI mahupun jabatan-jabatan agama Islam yang lain lebih proaktif dan lebih prihatin bagi mengatasi isu tersebut. Janganlah rumitkan keadaan dengan karenah birokrasi yang tebal dan menyukarkan.
Kerajaan termasuk Kabinet dan menteri berkenaan seharusnya campur tangan bagi mencari formula terbaik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri perlu meninjau sendiri situasi sesak di perkarangan JAWI supaya memahami isu itu dengan lebih baik.

Maka Jasanusa menggesa agar masjid-masjid utama dibenarkan untuk mengendalikan majlis pernikahan bagi mengurangkan beban di pejabat-pejabat agama Islam.

Dengan cara itu, ia dapat membantu memudahkan urusan orang-orang Islam kerana tidak lagi perlu menunggu lama untuk bernikah.

Sudah tentu kemudahan seperti ruang nikah yang selesa dan ruang parkir sedia ada boleh dimanfaatkan, selain khidmat jurunikah masjid. Ia jauh lebih baik berbanding upacara nikah di bawah khemah di perkarangan pejabat JAWI yang agak panas dan terkena tempias hujan selain sukar mendapatkan ruang parkir.

Jasanusa tidak nampak adanya sebarang masalah kerana majlis pernikahan di masjid boleh diadakan dengan SOP yang ketat dan kehadiran tetamu minimum dan terhad.

Jika premis lain seperti gedung membeli-belah, kilang-kilang, tapak pembinaan, pejabat-pejabat, bank, restoran, kedai-kedai, taman rekreasi dan Taska boleh dibenarkan beroperasi, mengapa pernikahan tidak boleh diadakan di masjid?

(Malah sektor perkilangan dan pembinaan adalah dua sektor berisiko tinggi Covid-19 sebagaimana terbukti dengan kes ribuan pekerja asing positif Covid-19).

Di kebanyakan negara termasuk Eropah, masjid-masjid membenarkan majlis pernikahan untuk pasangan pengantin walaupun ketika pandemik Covid-19 melanda.

Sehubungan dengan itu, Jasanusa berharap kerajaan dapat mengambil langkah segera membetulkan keadaan ini demi kepentingan rakyat terutama orang Islam.

Presiden Jasanusa

Samsudin Awang

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts