JASANUSA: YURAN UNIVERSITI AWAM SEMAKIN TIDAK MUNASABAH

93
SHARES
301
VIEWS

Pertubuhan Jasanusa menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera campur tangan dalam menyelesaikan isu “Zero Balance Policy” bagi pembayaran yuran mahasiswa di Universiti Malaya (UM) ketika ini.

Ia bukan sahaja boleh mengancam kesinambungan mahasiswa untuk meneruskan pengajian di universiti itu malahan akan turut memberi imej buruk terhadap sektor pendidikan tertiari bila mana negara ketika ini sedang dilanda krisis “72 peratus remaja lepasan SPM enggan sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi”.

Sungguhpun universiti awam (UA) telah diberi kuasa autonomi di bawah Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara untuk mengurus sumber kewangan mereka sendiri, namun kebebasan itu tidak bermakna pengurusan UA boleh terus hilang sifat tanggungjawab sosial dan kemanusiaan sebaliknya hanya fokus terhadap keuntungan perniagaan semata-mata.

Masyarakat masih meilhat ijazah UA adalah “sijil mampu milik” untuk semua golongan masyarakat dari pelbagai kemampuan ekonomi kerana pada persepsi mereka, tanggungjawab menyediakan pendidikan tertiari untuk rakyat adalah kewajipan kerajaan.

Namun, jika UA sudah dilihat menjurus kepada penjanaan kewangan seolah-seolah seperti insitusi pengajian tinggi swasta, sektor pendidikan negara akan dilihat tidak lagi bertujuan untuk pemerkasaan komuniti atau memandaikan rakyat, sebaliknya adalah sebuah perniagaan untuk menjana ekonomi semata-mata.

KPT juga wajar menyemak kadar yuran pendaftaran pelajar baharu di UA yang ada sebahagiannya mencecah sehingga RM3,000 bagi membolehkan seseorang lepasan SPM memulakan pengajian di sesebuah UA.

Angka ini sangat tinggi dan semakin menjadi kebimbangan kepada ramai ibu bapa sehingga menyebabkan mereka lebih menyokong anak mereka menjadi “social media influencer” atau pekerja ‘gig’ berbanding memasuki universiti selepas cemerlang dalam SPM.

Sekiranya kuasa autonomi yang diberikan kepada UA sudah memgakibatkan banyak UA bergelut dengan krisis kewangan dan budaya korporat yang tersasar dari budaya akademik, KPT wajar menyemak semua kuasa autonomi tersebut.

Janganlah sampai angka 72 peratus lepasan SPM enggan menyambung belajar ini akan terus melonjak kerana ketika ini juga, trend murid tercicir SPM turut mula meningkat setiap tahun.

Samsudin Awang

Presiden JASANUSA 

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts